Selama 30 tahun menetap di Singapura, Cik Li Li Chung, 69 tahun yang berasal dari Taiwan tidak pernah tahu mengenai kisah-kisah di sebalik tanah wakaf di negara ini.
Namun menerusi acara Sacred Spaces atau Ruang Suci, anjuran Dialogue Centre Limited, beliau bukan sahaja lebih mendalami sejarah tanah wakaf, beliau juga berpeluang menghayati muzik Hadhrami.
Cik Li adalah antara 30 peserta berbilang kaum yang didedahkan kepada budaya masyarakat Arab setempat dalam sesi khas berkenaan warisan Arab.
Sesi itu adalah antara tiga sesi yang dianjurkan pada 26 Mei di bawah Sacred Spaces, yang pertama kali diadakan dengan tujuan memperkenalkan masyarakat agama minoriti menerusi muzik, makanan dan dialog.
Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati dan menghargai masyarakat yang kurang dikenali di Singapura.
Dalam sesi lain, Lembaga Gurdwara Sikh Pusat mengetengahkan muzik kirtan dan amalan menjamu selera di ‘langar’, iaitu dapur masyarakat dalam kuil yang menyediakan makanan vegetarian secara percuma kepada semua pengunjung, tidak kira bangsa dan agama.
Peserta juga dapat terlibat dalam dialog bersama masyarakat Sikh dalam sesi yang diadakan di Pusat Sikh.
Sementara itu, Kuil Sri Veeramakaliamman menjadi tuan rumah kepada peserta untuk mempelajari muzik Bhajan, merasakan masakan India dan berdialog bersama masyarakat Hindu. Sesi itu disokong oleh Arthanareeshwarar Thondal.
Sekitar 90 orang secara keseluruhan menghadiri ketiga-tiga sesi tersebut.
Dalam sesi berhubung warisan dan budaya Arab Muslim di Singapura, para peserta diperkenalkan kepada muzik Hadhrami dan alat muzik seperti gambus, menjamu sajian Arab, serta mempelajari asal-usul dan bertanyakan soalan mengenai komuniti itu.
Sesi selama dua jam itu dikendalikan oleh Masyarakat Rangkaian Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Pengasas dan pengarah Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata:
“Kami memerlukan titik permulaan untuk orang ramai keluar daripada zon selesa mereka dan memasuki ke dalam ruang budaya atau agama lain. Muzik dan makanan adalah titik permulaan itu.
“Ia mengurangkan kebimbangan orang ramai untuk memasuki ruang yang mereka tidak biasa pergi.”
Ditemui Berita Harian (BH) di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Cik Li yang mengambil bahagian dalam ketiga-tiga sesi itu berkata:
“Saya gemar menyertai sesi sebegini sebab ia adalah satu cara untuk saya mengajar diri saya mengenai kepelbagaian di Singapura.
“Saya amat menyukai perkongsian yang diadakan sebelum persembahan muzik Hadhrami kerana ia memberi konteks pada lagu yang dimainkan. Sesi ini memberi saya peluang untuk mempelajari perkara baru,” ujarnya.
Sesi Sacred Spaces adalah sebahagian Sojourners, iaitu program yang mengetengahkan masyarakat agama dan budaya minoriti di Singapura.
Ini adalah tahun kedua acara itu dikelolakan oleh Dialogue Centre Limited dan disokong oleh Pusat Persefahaman Antara Agama (Cifu) dan dibiayai oleh Dana Keharmonian di bawah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg