Penglibatan lebih ramai orang termasuk masyarakat orang asli di New Zealand, membawa lebih banyak sokongan dan sumber dalam mengendalikan dan mengatasi situasi bahaya gempa bumi, kata Superintenden, Pengurus Perkongsian Nasional – Etnik, New Zealand, Encik Rakesh Sharanund Naidoo.
Menjelaskan tentang penglibatan orang asli, beliau berkata mereka membawa sumber dan pengalaman untuk menyokong dan memberi ketenangan ketika gempa bumi berlaku di Canterbury pada 2011.
Warga New Zealand itu berkongsi kejayaan respons masyarakat etnik terhadap gempa bumi Canterbury pada 2011 dan serangan pengganas Christchurch pada 2019 di perbincangan panel mengenai topik Kepaduan Sosial untuk Masa Depan di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 pada 14 Oktober di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.
Anggota panel lain dalam perbincangan itu termasuk Datuk Bandar Yala, Thailand, Encik Pongsak Yingchoncharoen; Ketua Pusat Harmoni, Ustazah Liyana Rosli Asmara; dan Ketua Makmal Sosial, Zamil Penyelidik Utama di Institut Kajian Dasar (IPS) Singapura, Dr Mathew Mathews, yang bertindak selaku moderator.
Menjelaskan lebih lanjut tentang penglibatan orang asli, Encik Naidoo berkata:
“Mereka membawa seluruh sumber, pandangan generasi terdahulu, sejarah, penderitaan dan kehilangan yang dialami, untuk tampil sebagai penenang dan pemberi sokongan.
Encik Naidoo juga terlibat dalam melaksanakan pendekatan sistem menyeluruh di peringkat kerajaan untuk menangani isu-isu berkaitan kebencian, diskriminasi, eksploitasi dan keselamatan.
“Kami belajar daripada gempa bumi Christchurch (Canterbury) bahawa dengan melibatkan lebih banyak kumpulan rakan yang ingin membantu, anda akan dapat lebih banyak sokongan untuk mengatasi situasi,” ujar beliau.
Menurutnya, keputusan untuk menyertakan masyarakat orang asli adalah untuk menghormati kebijaksanaan generasi mereka terdahulu dalam menangani penderitaan dan kehilangan.
“Kehadiran mereka sudah cukup meyakinkan anda untuk mengatasi apa-apa yang anda lakukan.
“Dan dalam persekitaran itu, keputusan yang baik dapat dilakukan kerana mereka membawa perasaan aman, tenang dan pandangan jauh,” ujar beliau yang menyifatkan ketenangan itu dapat dicapai jika individu yang tepat hadir bersama untuk menyelesaikan masalah.
Encik Pongsak pula berkongsi bagaimana kota Yala – yang mempunyai masyarakat Buddha, Islam dan Cina – dapat menyumbang perspektif dan tradisi unik mereka kepada warisan budaya. Beliau berkata:
“Untuk membina masyarakat yang kukuh, majlis perbandaran telah melaksanakan pelbagai daya usaha untuk menggalakkan penyertaan, memupuk hubungan sosial dan menggalakkan penglibatan dalam kegiatan masyarakat.
“Usaha ini bertujuan mengeratkan hubungan antara penduduk dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif,” jelasnya.
Antara daya usaha yang mereka laksanakan ialah mesyuarat bulanan dengan pemimpin masyarakat serta pembelajaran silang budaya antara Buddha dan Islam.
Encik Pongsak menekankan kejayaan usaha Yala City dalam membina masyarakat yang bersatu padu ialah melalui kepimpinan inklusif, penyertaan awam, dan pemahaman budaya.
Ketua Pusat Harmoni, Ustazah Liyana, pula berkata beliau percaya bahawa adalah penting untuk menggunakan model pemikiran masa hadapan berbanding cara pemikiran lama, supaya dapat memperkaya persediaan dan perancangan strategik dalam membina perpaduan sosial.
“Untuk bergerak ke hadapan dan melakar gabungan sosial bersama, soalan utama yang perlu kita tanya kepada diri kita ialah, apakah cadangan nilainya?
“Sama ada anda sebagai sebuah organisasi atau penyokong kerja-kerja bimbingan sosial, apakah sebenarnya keperluan masyarakat, kerana perkara telah berubah dan berkembang,” ujar beliau.
Sehubungan itu, satu lagi perbincangan panel mengenai topik Pertimbangan untuk Masa Depan – Perusahaan, Profesional dan Sektor Keagamaan menekankan kepentingan peranan kepimpinan masyarakat dalam memanfaatkan sinergi antara pelbagai bidang untuk menangani isu-isu mendesak.
Panelis perbincangan itu terdiri daripada Profesor Madya dan Penyelaras Pasca Siswazah Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Sosial dan Sekolah Alam Sekitar Asia, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura, Dr Md Saidul Islam; Pengasas VersaFleet Singapura, Encik Shamir Rahim; Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas), Ustaz Tarmizi Wahid; dan Pemimpin Tunas M Kuasa Tiga (M³) Singapura, Cik Nadia Yeo, selaku moderator.
Ustaz Tarmizi berkata bahawa untuk menangani masalah kompleks, asatizah perlu diberi peluang pembangunan profesional berterusan serta kerjasama strategik dengan institusi pelengkap.
Beliau menggariskan beberapa kemahiran penting yang patut ada dalam diri asatizah seperti kemahiran teknologi dan inovasi serta kepimpinan dalam perniagaan, ekonomi, advokasi sosial dan pemerkasaan masyarakat.
Ini supaya teknik tradisional dengan pendekatan moden dapat digabungkan bagi melindungi masa depan masyarakat sambil mempertahankan nilai-nilai mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg