Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Islam S’pura alu-alukan kolej Islam tempatan pertama

Sedia lebih banyak laluan pendidikan serta peluang kerja baik untuk pelajar madrasah, ibu bapa harap butir lanjut dapat dikongsi
Nov 14, 2024 | 5:32 PM
Kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), yang akan menerima kumpulan 60 pelajar yang pertama pada 2028, terletak dekat Masjid Bencoolen di Bencoolen Street.
Kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), yang akan menerima kumpulan 60 pelajar yang pertama pada 2028, terletak dekat Masjid Bencoolen di Bencoolen Street. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Apabila Cik Nurfarahin Mohamed Amin tamat pendidikan prauniversiti di Madrasah Wak Tanjong bertahun lalu, satu-satunya pilihan beliau untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam landasan Islam adalah untuk menuntut di universiti luar negara.

Ini memandangkan pelajar madrasah seperti dirinya tiada pilihan melanjutkan pembelajaran di institut pengajian tinggi Islam mapan tempatan seperti yang wujud di luar negara.

Lalu, Cik Nurfarahin, kini berusia 34 tahun, pergi ke Malaysia untuk mengikuti program sarjana muda dalam sains kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum kembali ke tanah air.

“Ini sekitar tahun 2008, 2009. Biasanya, pelajar madrasah yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara akan pergi ke Malaysia atau Mesir.

“Saya sebenarnya mahu pergi ke Universiti Al-Azhar di Mesir, tetapi bapa saya sarankan saya pergi ke Malaysia sahaja, memandangkan saya anak perempuan.

“Beliau bimbang tentang keselamatan dan lagi pun, Malaysia dekat dengan Singapura, dan ibu bapa saya juga tidak begitu terbeban dari segi kewangan,” kata beliau.

Namun, keadaan kini berbeza bagi anaknya yang berusia sembilan tahun dan sedang belajar di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah - anaknya itu bakal mempunyai peluang menyambung pengajian di Singapura apabila tamat pendidikan di madrasah kelak.

Pada 10 November, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan butiran lanjut tentang Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan menawarkan satu program sarjana muda sepenuh masa selama empat tahun, dengan dua laluan dalam jurusan pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.

Kolej itu akan menerima kumpulan 60 pelajar pertamanya pada 2028 di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Bencoolen Street.

Diusulkan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pada 2016, SCIS bakal memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa depan, dengan pengetahuan dan kemahiran memberi bimbingan agama mengikut konteks masyarakat Islam yang hidup dalam masyarakat majmuk seperti Singapura.

Kolej itu akan bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi laluan sains kemasyarakatan, dan institusi Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan, dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi bagi laluan pengajian Islam.

Seperti Cik Nurfarahin, ramai ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di madrasah yang ditinjau BH,  amat mengalu-alukan berita pembentukan kolej Islam pertama di Singapura itu, sambil menambah ia akan memberikan pelajar lebih banyak laluan untuk kejayaan akademik di dalam dan luar negara.

Ini juga dengan harapan ia akan dapat meningkatkan peluang anak-anak mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa depan.

Namun, mereka juga mengharapkan lebih banyak butiran mengenai kolej itu, seperti modul yang ditawarkan, program menyeluruh untuk pelajar dan bantuan kewangan, akan dapat dikongsi dengan lebih lanjut.

“Pada waktu ini, kita dapat lihat keadaan yang tidak menentu di negara lain, yang berbeza dengan Singapura. Ini satu pilihan bagi anak saya jika dia ingin meneruskan pengajian Islam.

“Kalau zaman saya ada pilihan kolej ini, pasti ibu bapa saya akan beritahu saya supaya belajar di dalam negeri sahaja,” kata Cik Nurfarahin, seorang guru agama dan pengasas bersama syarikat bahasa Arab, Natiq.

LEBIH LALUAN UNTUK PELAJAR MADRASAH BERJAYA

Cik Farhana Mohamed Rafik, 42 tahun, berkata penubuhan kolej itu mencerminkan komitmen negara terhadap kepelbagaian, keterangkuman dan keharmonian agama, sambil menambah ia akan memberi peluang kepada anak-anaknya mendalami pemahaman mereka tentang Islam dan memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk dunia moden.

Beliau mempunyai tiga anak berusia antara empat dengan 13 tahun, dengan anak sulungnya kini belajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan anak keduanya pula di Madrasah Irsyad.

“Saya teruja mengenai prospek anak saya yang dapat mengakses pendidikan tinggi yang berkualiti, sejajar dengan nilai kami, di sini di Singapura. Ini juga bermakna asatizah tempatan kita juga akan diiktiraf dan mereka akan sama-sama melakar sejarah menghasilkan lulusan Singapura yang cemerlang,” kata beliau, seorang pakar embriologi.

Pengasas syarikat kereta Gynacarlogist, Encik Farehan Hussein, yang mempunyai dua anak yang bersekolah di madrasah, berkata SCIS memberikan laluan berterusan kepada anak-anaknya meneruskan pengajian dengan pilihan dalam negara.

“Dengan kurikulum ditawarkan akan lebih relevan kepada konteks Singapura, ia juga akan membolehkan anak-anak mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan di sini,” kata beliau.

Guru agama, Cik Nur Musfirah Mufid, 32 tahun, pula berkata program sarjana muda dengan dua laluan dalam jurusan pengajian Islam atau sains kemasyarakatan di kolej itu adalah baik kerana ia memberi lebih banyak peluang bagi anak-anak madrasah berkecimpung dalam kerjaya yang berbeza pada masa depan.

“Harapannya adalah dengan adanya kolej ini, generasi asatizah seterusnya akan dapat lebih banyak peluang pekerjaan, dengan gaji lebih baik dan masa depan lebih cerah,” kata beliau, yang mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun yang bersekolah di Madrasah Wak Tanjong.

Cik Nur Musfirah bagaimanapun berharap SCIS akan dapat menawarkan program pertukaran pelajar dengan universiti Islam lain supaya pelajar dapat meraih pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Cik Nurfarahin juga berharap penuntut SCIS akan dapat memanfaatkan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) – yang menyediakan sokongan kewangan bagi pendidikan posmenengah untuk rakyat Singapura – mereka untuk membiayai pengajian.

Pada 13 November, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkongsi bahawa SCIS akan disokong sepenuhnya masyarakat Melayu/Islam di sini dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) menjadi sumber dana utama.

Sementara itu, pembiayaan bagi subjek ‘sekular’ di bawah laluan sains kemasyarakatan yang ditawarkan SUSS pula adalah sesuatu yang pemerintah akan dan telah pun berikan kepada universiti itu untuk menjalankan programnya.

JADI ASATIZAH DENGAN PENGETAHUAN LUAS

Asatizah dalam masyarakat mengalu-alukan penubuhan kolej Islam tempatan itu yang menyediakan dua laluan, sambil menekankan bahawa adalah penting mempersiapkan asatizah masa depan dengan ajaran Islam yang digabungkan dengan sains kemasyarakatan supaya mereka dapat menangani cabaran sosial yang rumit dan memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih baik.

Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid, berkata tumpuan dua laluan itu akan membolehkan “asatizah menjadi pemimpin agama yang lebih berpengetahuan, sedar akan isu-isu sosial dan berupaya mewujudkan kesan bermakna dalam pelbagai bidang masyarakat, daripada kesihatan mental dan kebajikan keluarga hingga ke keadilan sosial”.

Anggota pengasas dan anggota lembaga pengarah Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Dr Abdullah Othman, pula berkata adalah penting ilmu fardu kifayah didasari serta dipandu ilmu fardu ain agar tidak tersasar daripada kerangka pandangan Islam.

“Dengan ini, kita berupaya tekuni dan yakini pelbagai jenis ilmu secara beradab dan tidak seharusnya berlaku kekaburan, kekeliruan dan kegelisahan ehwal berkenaan,” kata beliau.

Pergas mengelolakan Institut Pengajian Islam Pergas yang menawarkan pengajian Islam sambilan kepada pelajar dewasa yang ingin mendalami Islam dalam cara berstruktur.

Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri pula menawarkan pelbagai program, termasuk diploma hingga pascasarjana, namun ia tertumpu dalam pengajian Islam sepenuhnya.

Walaupun terdapat kebimbangan semula jadi tentang struktur, kurikulum, kredibiliti mana-mana institusi baru, Ustaz Tarmizi berkata SCIS direka untuk menawarkan pengalaman akademik sepenuh masa mendalam yang menyepadukan pengajian Islam dengan sains kemasyarakatan.

Namun, beliau menambah bahawa pelajar mungkin akan terlepas peluang melalui pengalaman hidup dan belajar di luar negara - yang secara tradisinya berharga dalam membentuk asatizah dengan pengalaman menyeluruh dan peka tentang budaya.

“Adalah penting bagi kolej itu menyediakan peluang yang setanding dan memperkaya dalam programnya untuk memupuk pandangan dunia yang luas dalam kalangan pelajar,” kata beliau.

Di samping itu, Ustaz Tarmizi menambah bahawa masyarakat juga memerlukan jaminan tentang kredibiliti kurikulum dan standard akademik kolej baru itu.

“Memastikan asas akademik yang kukuh, anggota fakulti berkelayakan, dan kurikulum yang mengimbangi ilmu Islam tradisional dengan disiplin moden seperti sains kemasyarakatan adalah kunci dalam meraih kepercayaan.

“Adalah penting kolej itu juga memupuk rasa kekitaan dan sokongan untuk pelajarnya, mempersiapkan mereka bukan hanya dari segi akademik, malah dari segi rohani dan sosial sedang mereka berhubung dengan masyarakat asatizah dan Islam yang lebih luas,” katanya.

Dr Abdullah pula berkata kolej tersebut harus secara serius mengoptimumkan ukurtara kehebatan institusi-institusi terpilih dari segi struktur, organisasi, kepimpinan, strategi, dan kualiti khidmat.

Ini selain mengutamakan hala tuju pendidikan, kandungan pengajian, kaedah pembelajaran, kualiti dan komitmen pensyarah.

“Sekiranya kolej Islam ini berjaya, maka ia berpotensi melahirkan insan-insan yang berwibawa dan berkemahiran dalam pelbagai bidang yang diceburi sepanjang hayat dan tidak terbatas kepada sektor keagamaan atau khidmat sosial.

“Mereka boleh berperanan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam yang dinamik dan juga negara global bersifat kosmopolitan,” kata beliau.

“Adalah penting kolej itu juga memupuk rasa kekitaan dan sokongan untuk pelajarnya, mempersiapkan mereka bukan hanya dari segi akademik, malah dari segi rohani dan sosial sedang mereka berhubung dengan masyarakat asatizah dan Islam yang lebih luas.”
Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

“...ia berpotensi melahirkan insan-insan yang berwibawa dan berkemahiran dalam pelbagai bidang yang diceburi sepanjang hayat dan tidak terbatas kepada sektor keagamaan atau khidmat sosial. Mereka boleh berperanan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam yang dinamik dan juga negara global bersifat kosmopolitan.”
Dr Abdullah Othman, anggota pengasas dan anggota lembaga pengarah Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg