Masyarakat Islam di Singapura boleh menunjukkan sifat ihsan dan rahmah dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Berkongsi kepada media selepas menyertai kutipan derma anjuran Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) di Masjid Al-Istighfar pada 11 September, Encik Zaqy berkata bencana tersebut telah meragut banyak nyawa, memusnahkan rumah dan menyebabkan sesetengah keluarga masih mencari orang tersayang.

“Agama kita mengajar kita tentang rahmah dan ihsan, yang dalam konteks ini bermaksud menyokong mereka yang memerlukan, khususnya mereka yang memerlukan bantuan.

“Jadi, berlandaskan sifat ihsan dan juga rahmah itu, kita ingin menunjukkan semangat itu kepada mereka yang sedang berada dalam kesusahan tidak kira bangsa dan agama,” ujar beliau sambil melahirkan rasa sedih dengan apa yang sedang dilalui oleh keluarga mangsa di Nepal.

Encik Zaqy menambah meskipun Nepal terletak jauh dari Singapura, masyarakat Islam di sini masih boleh memainkan peranan dalam menghulurkan sokongan kepada mereka yang memerlukan di sana.

“Meskipun Nepal jauh dari Singapura, saya rasa belas ihsan tidak mengenal sempadan.

“Ini merupakan satu peluang bagi kita sebagai sebahagian daripada masyarakat Islam untuk menyokong usaha bantuan yang dijalankan melalui 70 masjid di sini, sekali gus menzahirkan sifat ihsan yang kita pegang.

“Sebagai sebuah negara kecil seperti Singapura, masyarakat kita boleh membawa perubahan kepada mereka yang memerlukan dan kepada mereka yang memerlukan bantuan,” kongsi beliau.

Kutipan di Masjid Al-Istighfar itu merupakan sebahagian daripada kempen kutipan dana oleh RLAF yang berlangsung dari 1 hingga 14 September bagi menyokong mangsa banjir di Nepal.

Selain itu, RLAF mengadakan kutipan derma di 70 masjid melalui tabung khas yang ditandakan dengan logo RLAF dan Palang Merah Singapura (SRC), dari 7 hingga 14 September.

Apabila ditanya Berita Harian (BH) sama ada RLAF berdepan cabaran kekurangan penderma dalam usaha mengumpul dana setakat ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata sambutan terhadap rayuan bantuan tersebut “amat memberangsangkan”.

“Selain daripada $50,000 yang telah diikrarkan, sambutan yang diterima amat baik dan memberangsangkan menerusi platform bayaran kami dan insya-Allah, jumlahnya akan mencecah lebih daripada $200,000.

“Jumlah ini belum termasuk kutipan dana melalui saluran masjid-masjid pada 11 September,” jelas Encik Adnan.

“Jadi, dari segi sama ada ada kekurangan penderma kami tidak dapati sedemikian sebab kita lihat daripada SRC, ada juga yang datang menderma.

“Alhamdulillah, pungutan juga agak baik,” tambahnya.

Sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan melalui SRC bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan di lapangan.