Pada 1986, apabila Ketua Gereja Katolik, Paus (Pope) John Paul II, membuat lawatan selama lima jam ke Singapura, sebuah jawatankuasa penganjur yang dianggotai tujuh orang, ditugaskan membuat persiapan bagi menyambut ketibaannya.
Kini, lebih tiga kali lebih ramai orang menganggotai sebuah kumpulan yang sejak Januari melakar rancangan besar dan terperinci untuk menjadi tuan rumah kepada Ketua Gereja Katolik dan pemimpin Kota Vatican, Paus Francis, yang akan melawat Singapura dari 11 hingga 13 September.
Kumpulan itu bertanggungjawab mengurus sekitar 5,000 sukarelawan – penduduk Katolik di sini yang bakal menyanyi, bersorak, merakam dan melaksana operasi logistik sepanjang lawatan tiga hari itu, lapor The Straits Times.
Ia turut menganjurkan jualan barangan cenderahati termasuk topi, kemeja-T dan kipas lipat yang dilengkapi port USB.
Semua hasil jualan itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian kos lawatan Paus Francis, kata ketua jawatankuasa cenderahati dan pengumpulan dana, Cik Lilian Kong.
Di samping itu, masyarakat Katolik di sini akan turut menganjurkan satu acara melukis untuk kanak-kanak.
Di beberapa sekolah misi, kanak-kanak sekecil empat tahun telah menghasilkan lukisan yang diilhamkan oleh cogan kata bagi jelajah Asia oleh Paus Francis – perpaduan dan harapan.
Satu pertandingan melukis yang dibuka kepada semua sekolah rendah telah menerima lebih 250 penyertaan.
Daripada jumlah itu, 20 lukisan terbaik dipilih untuk dibingkai dan dihiasi di tempat penginapan Paus Francis di Singapura.
Hadiah utama dimenangi oleh seorang murid bukan Katolik yang menyiapkan lukisannya dalam empat hari.
Paus Francis akan turut menghadiri satu misa – upacara penting dalam lawatannya – di Stadium Negara pada 12 September yang dijangka dihadiri sekitar 50,000 orang.
Penyanyi soprano, Chiarina Mapa, anggota koir seramai 1,600 orang yang berlatih sejak Julai, berkata kumpulan nyanyian itu sedang berlatih untuk mendendangkan hampir 30 lagu.
Repertoir tersebut termasuk lagu tradisional Latin dan lagu popular Inggeris yang diubah suai untuk memasukkan sedikit lirik Tamil, bahasa Melayu dan Mandarin, bagi menggalak inklusiviti.
Semangat inklusiviti juga jelas kelihatan di tempat duduk, di mana 310 kerusi dikhaskan untuk pekerja asing yang hadir atas jemputan pihak penganjur.
Paus Francis sedang membuat lawatan ke Indonesia.
Selepas Indonesia, beliau akan melawat Timor-Leste, Singapura dan Papua New Guinea.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg