Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Melayu/Islam digalak libat diri dalam inisiatif SG Lebih Sihat

May 18, 2024 | 7:26 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (kanan), menjawab soalan yang diajukan hadirin semasa sesi dialog seminar Tinjauan Masyarakat (CIR) 2024 anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP) Singapura. Bersama beliau ialah moderator dialog, pengerusi Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), Dr Nawab Osman.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (kanan), menjawab soalan yang diajukan hadirin semasa sesi dialog seminar Tinjauan Masyarakat (CIR) 2024 anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP) Singapura. Bersama beliau ialah moderator dialog, pengerusi Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), Dr Nawab Osman. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Masyarakat Melayu/Islam bukannya tidak aktif dalam menyertai kegiatan kesihatan. Malah, bilangan orang Melayu/Islam yang menjalani pemeriksaan kesihatan agak tinggi iaitu 60 peratus, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Namun, dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, hanya 30 peratus daripada mereka yang layak mendaftar bagi inisiatif SG Lebih Sihat atau Healthier SG telah berbuat demikian, kurang daripada purata nasional iaitu 37 peratus.

Oleh itu, Encik Ong mahu bekerjasama lebih rapat lagi dengan masyarakat, termasuk melibatkan masjid dan M Kuasa Tiga (M³), dalam mendekati lebih ramai golongan Melayu/Islam terutama warga emas, bagi memastikan mereka turut serta dalam inisiatif tersebut.

Hadir sebagai tetamu terhormat semasa seminar Tinjauan Masyarakat (CIR) 2024 anjuran AMP Singapura dan sayap penyelidikannya, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), di hotel Furama Riverfront pada 18 Mei, Encik Ong berkata dari segi penyertaan dalam kegiatan dan mengamalkan gaya hidup aktif, masyarakat Melayu/Islam bukanlah tidak aktif.

“Apabila saya lihat perangkaan nasional, peratusan Melayu/Islam yang mendapatkan pemeriksaan kesihatan sebenarnya agak tinggi iaitu 60 peratus, lebih tinggi daripada masyarakat Cina.

“Jika kita lihat semasa Covid-19, jumlah Melayu/Islam yang pergi mendapatkan vaksinasi juga sangat tinggi.

“Jadi konsep mengambil langkah pencegahan sebenarnya agak kukuh dalam masyarakat Melayu/Islam.

“Oleh itu, kami mahu memahami kenapa bagi inisiatif SG Lebih Sihat, jumlah masyarakat Melayu/Islam yang mendaftar adalah kurang daripada purata nasional,” ujar beliau.

Kadar pendaftaran dalam inisiatif SG Lebih Sihat bagi masyarakat Melayu yang layak ialah sekitar 30 peratus atau satu pertiga, tambah Encik Ong.

Di peringkat nasional, kira-kira 37 peratus penduduk berumur 40 tahun ke atas mendaftar dalam inisiatif itu, yang bertujuan mendapatkan doktor keluarga membantu individu menjaga kesihatan mereka.

Dilancarkan pada Julai 2023, inisiatif tersebut telah menerima hampir 890,000 peserta setakat ini.

Turut menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada orang Melayu dalam inisiatif itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Encik Dinesh Vasu Dash.

Dalam ucaptama yang disampaikannya, beliau berkata: “Kadar pendaftaran orang Melayu untuk SG Lebih Sihat boleh dipertingkat.

“Penduduk Melayu mempunyai prevalensi kencing manis, darah tinggi dan kolesterol yang lebih tinggi daripada purata nasional.

“Oleh itu, kami ingin menggalakkan lebih ramai orang Melayu untuk mendaftar kerana keperluan penjagaan kesihatan dalam masyarakat memerlukan perhatian yang lebih teliti.”

Beliau menambah bahawa warga emas Melayu/Islam, lebih-lebih lagi golongan lelaki, juga kurang menghadiri program yang dijalankan Pusat Penuaan Aktif (AAC).

Oleh itu, pertubuhan Melayu/Islam (MMO) boleh memainkan peranan dalam meningkatkan penglibatan masyarakat Melayu dalam program nasional sedemikian antaranya, dengan meningkatkan kesedaran atau dengan mengadakan sesi dialog untuk menekankan kepentingan program-program tersebut, kata beliau.

MMO juga boleh bekerjasama dengan agensi nasional untuk memberi pandangan tentang bagaimana mereka boleh mengadakan program yang mampu menarik minat masyarakat Melayu dengan lebih baik, kata Encik Dinesh lagi.

CIR 2024 yang bertemakan ‘Berkembang Maju dengan Usia: Membina Dunia Penuaan Aktif’ dihadiri 140 individu termasuk pemimpin masyarakat, karyawan kesihatan dan ahli akademik.

Acara itu memberi tumpuan kepada isu seperti cabaran unik yang dihadapi masyarakat Muslim dalam isu penuaan termasuk pilihan penjagaan sensitif budaya dan agama serta memperkasa warga emas dan penjaga mereka.

Dalam dialog sejam yang diadakan dengan Encik Ong semasa seminar itu, beliau turut menyentuh cabaran yang dihadapi penjaga serta isu tenaga kerja dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Menjadi penjaga bukan tugas mudah. Kami sedang berusaha menyediakan sebanyak mungkin sumber yang diperlukan untuk menyokong para penjaga.

“Saya fikir bagi ramai penjaga, respite care (khidmat jagaan gantian sementara) adalah sangat penting,” kata Encik Ong, sambil menambah bahawa pusat jagaan harian boleh membantu dari segi itu.

“Kita perlu membina semua prasarana ini dan ia sedang diusahakan. Kita hanya perlu salurkan sumber untuk membinanya, dan diharapkan seiring dengan penuaan penduduk kita,” ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengambil lebih ramai jururawat sepanjang 2023 untuk menambah dan mengembangkan tenaga kerjanya, dan meningkatkan kemudahan seperti rumah jagaan, bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat dengan lebih baik. – NUR FATHIN AWALLUDIN

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg