Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Melayu/Islam kekal tenang meski jadi mangsa taktik politik identiti GE2025

Oct 14, 2025 | 6:55 PM
Zhulkarnain Abdul Rahim, parliament
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. - Foto MDDI

Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah menjadi mangsa taktik politik identiti semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), dan tidak bertanggungjawab bagi kejadian yang telah berlaku, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Beliau menambah bahawa masyarakat Melayu/Islam juga kekal tenang meskipun terdapat percubaan disengajakan untuk membangkitkan sentimen kaum dan agama dalam GE lalu itu.

Encik Shanmugam berkata demikian sebagai respons kepada Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), yang berkata terdapat kemungkinan sesetengah orang mungkin melihat kenyataan menteri yang dibuat Encik Shanmugam sebagai “mencadangkan bahawa kumpulan atau masyarakat tertentu, dalam kes ini, masyarakat Melayu/Islam, harus memikul tanggungjawab kerana membenarkan sentimen sedemikian berakar”.

Pada 14 Oktober, Encik Shanmugam telah menyampaikan kenyataan menteri mengenai kaum dan agama di Parlimen, dan antara lain menegaskan bahawa perbuatan mencampuradukkan isu kaum dan agama dalam politik harus ditolak.

Beliau memberi contoh beberapa individu dan entiti yang cuba membawa isu kaum dan agama ke dalam GE2025, termasuk guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros, yang berpangkalan di Malaysia, dan interaksinya dengan Parti Pekerja (WP).

“Saya fikir kita harus jelas, saya bukan memilih mana-mana masyarakat tertentu. Masyarakat Melayu/Islam kita, semasa GE ini, merupakan mangsa taktik ini.

“Mereka tidak meminta provokasi ini mahupun menyokong taktik ini.

“Mereka berkongsi komitmen kuat yang sama seperti mana-mana masyarakat lain terhadap pendekatan berbilang kaum dan agama Singapura.

“Masyarakat Melayu/Islam kekal tenang meskipun terdapat percubaan disengajakan untuk membangkitkan sentimen kaum dan agama dalam masyarakat,” kata Encik Shanmugam.

Namun, meskipun kejadian dalam GE2025 itu menyasar masyarakat Melayu/Islam, pilihan raya pada masa lalu telah menyaksikan masyarakat Cina menjadi sasaran, dengan mereka yang terlibat dalam politik identiti tidak menyasar hanya satu masyarakat, tambah beliau.

Encik Shanmugam turut menjawab soalan Encik Xie Yao Quan (Jurong Central), yang bertanya apakah ini bermakna adalah salah bagi parti politik merayu kepada pengundi berdasarkan apa yang mereka boleh tawarkan kepada masyarakat tertentu.

Memberikan jawapan, Encik Shanmugam berkata boleh diterima sepenuhnya bagi parti dan calon politik serta ahli politik menyatakan bahawa dasar mereka akan memberi manfaat kepada masyarakat tertentu.

“Malah, jika anda lihat pada kenyataan menteri saya, satu perkara utama adalah dasar pemerintah ini sepanjang 60 tahun lalu telah memberi manfaat kepada kaum minoriti – Melayu, India dan lain-lain.

“Dan jika kami mengikuti norma yang ditetapkan di negara lain di dunia, kaum minoriti akan berada dalam kedudukan yang jauh lebih teruk,” kata beliau.

Menjawab soalan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) mengenai cara memastikan wujudnya ruang selamat bagi rakyat terus berbincang tentang isu kaum dan agama, Encik Shanmugam berkata terdapat pelbagai kumpulan, termasuk persatuan dan badan akar umbi, serta format isu sedemikian boleh diutarakan dalam ruang selamat.

Sekiranya ada yang mahu menganjurkan sesi perbincangan sendiri, mereka dialu-alukan berbuat demikian dan membincangkan isu tersebut.

“Apa yang kami minta adalah, pertama sekali, jangan menyerang agama atau kaum lain, kerana itu akan melanggar undang-undang, dan kami akan menguatkuasakan undang-undang.

“Kedua, hormat dan ambil pendekatan bertolak ansur… Ingatlah bahawa kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, dan oleh itu, dekatinya dengan akal budi dan tolak ansur,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg