Seluruh masyarakat Singapura harus menolak keganasan, menggalak perbincangan secara bertanggungjawab serta mengesahkan semula nilai keamanan dan saling menghormati yang dikongsi bersama.
Gesaan itu dibuat susulan serangan tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi, Sydney, Australia pada 14 Disember yang meragut 16 nyawa dan puluhan lagi cedera, kata Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura dalam satu kenyataan pada 17 Disember.
Presiden pertubuhan itu, Encik Abdul Halim Kader, berkata badan tersebut “mengutuk sekeras-kerasnya” kejadian tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi.
Beliau menambah, sebarang tindakan keganasan yang meletakkan nyawa individu tidak bersalah dan keselamatan awam dalam bahaya tidak boleh diterima dan mesti ditolak tanpa berbelah bagi.
“Sebagai pertubuhan yang komited terhadap pendidikan dan dialog, Taman Bacaan menegaskan bahawa keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat sivil.
“Keselamatan yang berkekalan dibina bukan melalui ketakutan, tetapi melalui kebertanggungjawaban, belas ihsan, dan komitmen kolektif untuk melindungi maruah manusia,” kata beliau yang juga Ketua Pengasas Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG).
Kejadian itu berlaku ketika acara sambutan Hanukkah, cuti bagi penganut Yahudi, di Taman Archer berdekatan pantai tersebut.
Ia serangan tembakan terburuk di Australia dalam tempoh sekitar 30 tahun.
Sehubungan itu, Encik Abdul Halim, berkata keganasan dalam ruang dikongsi, seperti yang berlaku dekat pantai itu, membawa akibat yang jauh melangkaui peristiwa berdarah tersebut.
Ini kerana ia “menghakis keyakinan orang ramai, menanamkan ketakutan, dan melemahkan fabrik sosial” yang terjalin dalam kalangan masyarakat, ujarnya.
“Tidak kira hasrat atau keadaan (yang berlaku), penggunaan senjata untuk menyelesaikan rasa terluka mencerminkan kegagalan yang serius terhadap tanggungjawab sosial dan rasa hormat kepada nyawa manusia,” kata beliau.
Menerusi rakaman podcast pada 16 Disember, Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkata seorang bapa dan anak lelakinya yang melepaskan tembakan rambang itu didorong oleh “ideologi ISIS”.
Beliau mendedahkan Sajid Akram dan anak lelakinya, Naveed Akram, melepaskan tembakan ke arah penganut Yahudi yang sedang berkumpul di Pantai Bondi bagi acara sambutan Hanukkah pada petang 14 Disember.
Badan agama di Singapura telah tampil mengutuk serangan itu, dengan pemimpin Islam di sini menyifatkan serangan Pantai Bondi sebagai tindakan tidak masuk akal yang memecahbelahkan masyarakat.
Mereka menambah, pengganasan sedemikian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan pada 15 Disember mengecam serangan tersebut dan menegaskan “tiada sebab sama sekali” untuk melakukan serangan pengganas terhadap orang awam dan individu yang tidak bersalah.
Apatah lagi ia berlaku ketika acara keagamaan atau di tempat ibadah, atau didorong oleh sebab-sebab keagamaan, kata Muis.
Dalam satu hantaran Facebook pada 16 Disember pula, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menyatakan sokongan kepada semua pihak yang menolak pengganasan, serta menjunjung keamanan, maruah dan sikap saling menghormati.
“Kami dengan tegas menentang sebarang perbuatan keganasan terhadap orang awam dan yang tidak bersalah.
“Keganasan dan tindakan tidak masuk akal seperti itu memecahbelahkan masyarakat dan tidak mempunyai tempat dalam sebarang masyarakat,” ujar Pergas.
“
“Sebagai pertubuhan yang komited terhadap pendidikan dan dialog, Taman Bacaan menegaskan bahawa keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat sivil. Keselamatan yang berkekalan dibina bukan melalui ketakutan, tetapi melalui kebertanggungjawaban, belas ihsan, dan komitmen kolektif untuk melindungi maruah manusia.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg