Yayasan Mendaki telah melantik 27 pakar industri merentasi 13 sektor pertumbuhan sebagai anggota penasihat untuk memberi pementoran secara sukarela kepada karyawan muda dalam sektor rangkaian masing-masing.
Panel Penasihat Rangkaian Karyawan Mendaki diumumkan buat kali pertama, sedang badan bantu diri itu mempergiat usaha memperkukuhkan ekosistem karyawan Melayu/Islam dan memperdalam kepimpinan masyarakat di sini, kata Mendaki dalam satu kenyataan pada 22 Oktober.
Mendaki berkata penasihat yang dilantik akan menggalas peranan secara rasmi mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
Seramai 13 daripada 27 anggota panel penasihat itu menerima surat pelantikan daripada Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dalam satu majlis di restoran Ela di Jalan Sultan pada 22 Oktober.
Anggota panel penasihat itu meliputi bidang seperti sektor teknologi, sains hayat, perbankan dan kewangan, undang-undang serta kejuruteraan.
Ini di samping perkhidmatan awam, penjagaan kesihatan, logistik dan rantaian bekalan, sumber manusia, sukan, kemampanan, media dan kreatif serta kerja sosial.
Semasa berucap, Encik Zaqy yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki berkata penasihat sedemikian dapat menyumbang kepimpinan, pengetahuan dan bimbingan mereka bagi manfaat belia atau karyawan muda.
“Hari ini, konsep kejayaan di Singapura lebih dari sekadar gred (di sekolah).
“Bahkan bagi mereka yang telah meraih tahap kelayakan tertentu misalnya ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah, mereka sedar ia membentuk sebahagian sahaja daripada perjalanan sebenar.
“Terdapat pelbagai elemen seperti modal insan – di sinilah kami (Mendaki) rasa kami dapat memberi kesan untuk mempercepatkan kejayaan itu,” ujarnya.
Salah seorang anggota penasihat rangkaian itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rekanext VC, Encik Wahab Yusoff, berkata rangkaian sedemikian dianggap satu wadah bagi membimbing karyawan baru mengasah bakat selain mencungkil bakat-bakat hebat yang terpendam.
Rekanext VC merupakan firma modal teroka berpangkalan di Singapura dan melabur dalam syarikat pemula atau ‘start-ups’ di rantau Asia Tenggara.
“Kini terdapat keperluan bagi karyawan (dalam sektor teknologi) berpengetahuan dalam berbilang pengkhususan.
“Persoalannya bagaimana kami (sebagai rangkaian) dapat menghubungkannya.
“Caranya adalah untuk memberikan peluang kepada semua karyawan atau golongan muda mengalami aspek berbeza dalam kerjaya, sama ada dalam industri teknologi mahupun luar dari sektor ini,” ujarnya.
Rangkaian Karyawan Mendaki dilancarkan pada 2022 bagi menyokong karyawan menambah rangkaian mereka, memudahkan usaha sumbangan daripada rangkaian dan meningkatkan sumber komuniti bagi membuat sumbangan kembali kepada masyarakat.
Sejak itu ia menarik lebih 1,000 karyawan merentasi 13 sektor pertumbuhan.
Selain bertujuan memupuk hubungan antara karyawan Melayu/Islam yang dianggap aset dalam masyarakat, rangkaian ini juga menyediakan wadah untuk mereka menyumbang kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.
Ia membolehkan para karyawan belajar daripada sesi perkongsian dengan pakar industri dan wakil pertubuhan.
Rangkaian itu juga bertujuan mengembangkan modal sosial dan menyediakan peluang untuk pelajar peringkat tinggi dan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) menceburi industri yang sedang berkembang.
Badan itu menambah ia akan meneruskan usahanya menjangkau lebih ramai pemimpin industri dan “meluaskan peluang bagi karyawan Melayu/Islam menyumbang secara bermakna kepada masyarakat”.
“Ini adalah sebahagian daripada visi yang lebih besar untuk memupuk ekosistem karyawan Melayu/Islam yang berdaya tahan, berkemahiran dan bersatu di Singapura”, kata Mendaki.
Seorang lagi anggota penasihat adalah Profesor Madya Abdul Razakjr Omar, yang berkata beliau ingin menurunkan ilmu yang ditimba sepanjang sekitar 30 tahun dalam bidang penjagaan kesihatan kepada golongan muda yang menceburi sektor itu.
Beliau berkata: “Cabaran (dalam sektor ini) sememangnya mendalam... begitu juga peluang yang ada.
“Saya berharap pada masa hadapan, lebih ramai anak-anak Melayu/Islam tampil dalam sektor penjagaan kesihatan ini.”
Selain Profesor Madya Razakjr, penasihat lain termasuk Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, dan Pengarah Urusan MSD Singapura, Malaysia dan Brunei, Dr Abdullahi Sheriff bagi sektor sains hayat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg