Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki, ACCA lancar biasiswa untuk pelajar kewangan dan perakaunan

May 17, 2025 | 6:35 PM
(Berdiri, dari kiri) Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, dan Pengarah Urusan Asia Pasifik, ACCA, Encik Pulkit Abrol, menyaksikan MOU yang ditandatangani oleh (duduk, dari kiri)  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki Cik Zulaiha Yusuf; Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah; Pengurus Negara, ACCA, Encik Daniel Leung dan Ketua Perhubungan Pendidikan, ACCA, Encik Gavin Goh.
(Berdiri, dari kiri) Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, dan Pengarah Urusan Asia Pasifik, ACCA, Encik Pulkit Abrol, menyaksikan MOU yang ditandatangani oleh (duduk, dari kiri) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki Cik Zulaiha Yusuf; Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah; Pengurus Negara, ACCA, Encik Daniel Leung dan Ketua Perhubungan Pendidikan, ACCA, Encik Gavin Goh. - Foto MENDAKI

Pelajar politeknik Melayu/Islam yang cemerlang dalam bidang kewangan dan perakaunan kini boleh memanfaatkan biasiswa baru berikutan satu kerjasama antara Yayasan Mendaki dengan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Di bawah satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 17 Mei, kededua pihak itu akan melancarkan 15 biasiswa dari 2026 hingga 2028, iaitu lima biasiswa setiap tahun, menurut kenyataan Mendaki.

Biasiswa itu menyasarkan pelajar sepenuh masa dalam bidang kewangan dan perakaunan di empat politeknik di Singapura – Politeknik Nanyang, Politeknik Ngee Ann, Politeknik Singapura dan Politeknik Temasek.

Setiap biasiswa bernilai $3,000 dan akan diberikan kepada pelajar Melayu/Islam cemerlang yang mempunyai gred mata purata (GPA) sekurang-kurangnya 3.5 atau pencapaian akademik yang setaraf.

Menyaksikan pemeteraian MOU tersebut semasa acara NextInFinance di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat berkata inisiatif itu adalah satu pencapaian penting dalam memperkasakan generasi akan datang dalam bidang kewangan.

“Saya berharap sokongan sebegini dapat membolehkan lebih ramai mendapat manfaat daripada tokoh contoh dan rangkaian yang kukuh,” ujarnya.

Di bawah MOU ini, Mendaki dan ACCA juga akan bekerjasama untuk melaksanakan inisiatif penglibatan masyarakat korporat termasuk program pendidikan, bimbingan dan sesi penglibatan yang mempromosikan pendidikan kewangan dan perakaunan serta menyokong perkembangan profesional Melayu/Islam dalam industri kewangan dan perakaunan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada ACCA dan Rangkaian Karyawan Mendaki yang menyediakan bimbingan kepada penerima biasiswa.

“Saya harap inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar Melayu/Islam untuk menceburi bidang kewangan dan perakaunan,” tambah beliau.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengurus Negara ACCA, Encik Daniel Leung berkata: “Kerjasama dengan Mendaki ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa perakaunan boleh menjadi satu kuasa yang kuat untuk mobiliti sosial. Menerusi biasiswa, pementoran, dan penglibatan masyarakat, kami berbangga dapat menyokong bakat-bakat yang bercita-cita untuk membina kerjaya yang bermakna dan diiktiraf di peringkat sejagat dalam bidang kewangan.”

Acara NextInFinance anjuran Rangkaian Karyawan Mendaki bagi bidang perbankan dan kewangan itu telah dihadiri oleh hampir 100 peserta termasuk profesional, lepasan sekolah, pelajar politeknik dan mereka yang berminat meneroka kerjaya dalam kewangan.

Ia antara lain menawarkan perbincangan panel, khidmat nasihat kerjaya serta peluang berinteraksi dan membina jaringan profesional.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg