Tiga karya sastera baru oleh penulis tempatan telah dilancarkan pada 14 Ogos dalam usaha menyemai minat terhadap bahasa Melayu sambil menggalakkan golongan muda mendekati karya sastera tempatan.

Ia terdiri daripada novel remaja, JLN404, hasil karya Encik Farihan Bahron; serta dua antologi cerpen, Jangan Ikut Hantu, oleh Encik Djohan Abdul Rahman; dan Tanah Air, oleh Dr Noridah Kamari.

Ketiga-tiga penerbitan itu ditugaskan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Berucap di majlis pelancaran di The Pod, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata pada 14 Ogos bahawa karya sastera bukan sekadar memperkaya penguasaan bahasa, malah boleh menjadi wadah bagi generasi muda mengenali sejarah, budaya dan warisan mereka.

“Dalam masyarakat majmuk seperti Singapura, bahasa ibunda bukan sekadar alat komunikasi. Bahasa ialah wadah yang membawa memori, sejarah, nilai dan pandangan hidup sesuatu masyarakat.

“Melalui karya sastera, generasi muda bukan sahaja sekadar memperkayakan kosa kata dan penggunaan bahasa, malah ia peluang mereka mengenali akar budaya dan warisan,” ujar Dr Syed Harun, yang juga Pengerusi MLLPC.

Genre seperti fantasi, misteri dan seram khususnya menarik minat remaja, tambah beliau.

Justeru, Dr Syed Harun menjelaskan antologi dan novel yang dilancarkan pada 14 Ogos itu memanfaatkan peluang tersebut untuk memupuk nilai murni bagi membimbing remaja agar membuat pilihan yang baik dalam mengharungi cabaran kehidupan.

Misalnya, Tanah Air, menghimpunkan 20 cerpen spekulatif yang mengadun ciri fantasi, pengembaraan masa, dan realisme magis bagi merungkai semula sejarah serta mercu tanda ikonik yang menghubungkan warga moden dengan masa lalu Singapura.

Misalnya, Tanah Air menghimpunkan 20 cerpen spekulatif yang menghubungkan manusia moden dengan masa lalu Singapura, dengan sejarah, mercu tanda dan ikon budaya negara dibayangkan semula menerusi unsur fantasi, pengembaraan masa dan realisme magis.

Penulis dan pensyarah sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Noridah, 46 tahun, berharap novel tersebut dapat memupuk penghayatan serta penghargaan yang lebih mendalam terhadap sejarah Singapura

Malah, demi memastikan naskhah cereka beliau dapat menambat hati golongan belia yang menjadi sasaran utama, penulis mapan itu akur beliau harus terlebih dahulu ‘merentas masa’ untuk memahami realiti kehidupan generasi muda hari ini.

Ini dipaparkan menerusi watak kontemporari yang sengaja dipertemukan dengan tokoh serta watak zaman lampau melalui ciri realisme magis, kata beliau.

Langkah tersebut, tambah Dr Noridah, memerlukan usaha terancang untuk mendekati kecenderungan, landskap pemikiran, serta cara hidup remaja moden yang jauh berbeza dari zamannya dahulu.

“Antara kesukaran utama adalah menyelami semula dunia remaja yang telah lama saya tinggalkan.

“Selain faktor perbezaan teknologi, saya juga perlu memahami kecenderungan, cara berfikir, dan perwatakan mereka yang unik.

“Bila kita lihat Kota Singapura ini, ia bukan saja sebuah bandar yang mana kita dilahirkan dan kemudian kita membina hidup kita, tetapi sejarahnya itu bersimpang-siur dan panjang.

“Saya berharap mereka dapat mempunyai penghargaan yang lebih tinggi, yang lebih menebal terhadap sejarah Singapura,” ujar Dr Noridah.

Begitu juga dengan penekanan yang ingin disampaikan oleh Encik Djohan, melalui Jangan Ikut Hantu, sebuah karya yang merakam semula jenis permainan yang pernah membentuk zaman kanak-kanak generasi terdahulu.

Beliau, yang juga guru Bahasa Melayu sekolah menengah, berkata:

“Hasil karya ini diharapkan mampu mengasah daya kreativiti mereka, sekali gus merangsang perkembangan kognitif untuk mencetuskan idea-idea permainan yang baru pada masa hadapan.”

Sementara itu, JLN404 mengisahkan dua watak, Sofia dan Iskandar, yang membongkar warisan yang kian menghilang demi mempertahankan memori Singapura.

Pada majlis sama, Dr Syed Harun mengumumkan undangan bagi penerbitan buku baru pusingan ketiga, yang bertujuan menggalakkan penghasilan lebih banyak kandungan bahasa Melayu untuk kanak-kanak dan remaja.

Langkah itu merupakan inisiatif yang sama dilakukan pada 2023 dan 2025.

Ia terbuka kepada penulis, pendidik, penggiat sastera serta mereka yang mempunyai idea karya kreatif dalam bahasa Melayu.

Cadangan boleh dikemukakan sehingga 16 November.

Dr Syed Harun berharap usaha tersebut dapat memastikan bahasa Melayu terus berkembang sebagai “bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa kehidupan harian” yang dekat dengan generasi muda Singapura.

“Sesebuah tradisi sastera hanya akan terus berkembang apabila muncul suara-suara baru yang berani berkongsi cerita, pengalaman dan imaginasi mereka.

“Kita perlu memastikan sentiasa tersedia ruang, peluang dan sokongan agar kisah-kisah tersebut dapat diterjemahkan menjadi karya yang bermutu,” ujar Dr Syed Harun.