Seramai 30 penduduk dipindahkan dan seorang dikejarkan ke hospital selepas satu kebakaran tercetus di sebuah kedai kopi di Bukit Batok pada pagi 11 Oktober.

Menjawab pertanyaan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 413 Bukit Batok West Avenue 4 pada 3.50 pagi.

Kebakaran itu menjejas tiga gerai makanan di sebuah kedai kopi di tingkat bawah, tambahnya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak polis dan SCDF memindahkan kira-kira 30 orang dari blok yang terjejas itu.

Menurut Encik Lee, lantai dapur salah sebuah flat yang dilawatinya masih terasa hangat dan beliau menasihati isi rumah itu supaya berwaspada.
Menurut Encik Lee, lantai dapur salah sebuah flat yang dilawatinya masih terasa hangat dan beliau menasihati isi rumah itu supaya berwaspada. - Foto FACEBOOK LEE HONG CHUANG

Para pegawai SCDF masuk secara paksa ke dalam kedai kopi berkenaan dan memadamkan kebakaran menggunakan dua jet air. Seorang daripada individu yang dipindahkan itu telah dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Punca kebakaran masih disiasat, kata SCDF.

Dalam satu catatan Facebook, Anggota Parlimen Hong Kah North, Encik Lee Hong Chuang berkata beliau telah mengunjungi blok terjejas itu. Beliau mendapati “tiada kesan ketara” ke atas penduduk yang tinggal di tingkat dua.

“Bagaimanapun, di satu unit, saya dapat rasakan lantainya agak hangat. Saya menasihati keluarga itu supaya lebih berhati-hati dan menjauhkan anak kecil mereka dari lantai dapur buat masa ini, memandangkan kulit kanak-kanak lebih sensitif pada haba,” katanya.

Encik Lee juga berkata: “Di sebalik kerosakan fizikal dalam kedai kopi ini, kita juga mesti ingat pada mereka yang nyawa serta mata pencariannya telah terjejas.”

Tambah beliau, di sebalik setiap gerai terdapat individu dan keluarga yang bekerja keras, yang memerlukan sedikit masa untuk membersihkan kawasan dan bermula semula.

“Simpati saya bersama pemilik kedai kopi, semua pemilik gerai, pekerja mereka dan setiap orang yang terjejas oleh kejadian malang ini,” katanya.

Ini dilaporkan sebagai kebakaran kedai kopi ketiga pada 2026 selepas kejadian serupa di Hougang pada Mei, dan berhampiran sebuah kuil terkenal di Waterloo Street pada Mac.

Dalam laporan perangkaan tahunannya yang dikeluarkan pada Februari, SCDF menyatakan jumlah keseluruhan kebakaran meningkat 3 peratus kepada 2,050 pada 2025 – berbanding 1,990 pada 2024.

Daripada jumlah ini, lebih separuh melibatkan kebakaran di bangunan kediaman.

Kegiatan memasak yang ditinggalkan tanpa pengawasan dan kebakaran elektrik – termasuk kerosakan pada pendawaian elektrik atau soket berlebihan beban – kekal sebagai dua punca utama kebakaran di rumah.