SCDF: Jumlah cedera dalam kebakaran meningkat pada 2025
Punca utama termasuk masak tanpa pengawasan, kebakaran elektrik
Jumlah yang cedera dalam kebakaran meningkat daripada 80 kes pada 2024 kepada 94 kes pada 2025.
Demikian menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam laporan perangkaan tahunannya pada 11 Februari.
Jumlah kenderaan elektrik (EV) yang terbakar turut naik daripada satu pada 2024 kepada empat kes pada 2025.
Jumlah kebakaran pula meningkat 3 peratus kepada 2,050 kes pada 2025 berbanding 1,990 pada 2024, dengan 1,051 melibatkan bangunan kediaman.
Memasak tanpa pengawasan dan kebakaran elektrik, termasuk kerosakan pendawaian atau soket terlebih beban, kekal sebagai dua punca utama kebakaran rumah.
Daripada 304 kes kebakaran elektrik di tempat kediaman pada 2025, sebanyak 34 melibatkan alat mobiliti aktif (AMD) seperti alat mobiliti peribadi (PMD), basikal menggunakan kuasa (PAB) dan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).
Walaupun kebakaran AMD berkurang daripada 67 kes pada 2024 kepada 49 kes pada 2025, kebakaran PMD meningkat daripada 25 kepada 31 panggilan.
Pada November 2025, dua kebakaran PMD di Ang Mo Kio dan Yishun menyebabkan lebih 200 penduduk dipindahkan dan beberapa yang lain dibawa ke hospital.
Menurut SCDF, kebakaran AMD kekal membimbangkan kerana api mudah merebak dalam ruang tertutup.
Orang ramai digesa hanya menggunakan bateri asal bagi AMD serta tidak membiarkan bateri atau peranti dicaj terlalu lama atau semalaman.
Pada 28 Januari, seorang lelaki berusia 22 tahun dipenjara tujuh bulan kerana menggunakan pengecas bateri PMD tidak serasi, hingga menyebabkan kebakaran yang meragut nyawa tunang bapa saudaranya pada Mac 2022.
Jumlah kematian akibat kebakaran berkurang daripada tujuh kes pada 2024 kepada enam kes pada 2025.
SCDF menjelaskan angka kematian bagi 2024 sebelum ini dilaporkan enam, namun diubah selepas siasatan terhadap satu kejadian selesai.
Enam kematian pada 2025 berlaku di Hougang, River Valley Road dan Bukit Merah.
Pada Januari, kebakaran di Blok 971, Hougang Street 91, meragut nyawa sepasang suami isteri dan anak perempuan remaja mereka.
Pada April, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia selepas kebakaran di sebuah sekolah memasak, di River Valley Road, manakala 21 lain cedera.
Pada Ogos, sebuah PMD terbakar di sebuah flat di Bukit Merah, mengorbankan pasangan berusia 30-an tahun.
Perangkaan itu tidak termasuk kes yang masih dalam siasatan.
Bagi kebakaran EV, tiga daripada empat kes pada 2025 berpunca daripada kerosakan bateri.
Secara keseluruhan, kebakaran kenderaan berkurang daripada 257 kes pada 2024 kepada 226 kes pada 2025.
Sehingga 31 Disember 2025, terdapat 50,025 EV berdaftar daripada 833,103 kenderaan di Singapura, berdasarkan data Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Jumlah panggilan perkhidmatan perubatan kecemasan meningkat daripada 245,279 pada 2024 kepada 257,158 pada 2025, dengan hampir separuh melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas.
SCDF menjangkakan jumlah panggilan terus meningkat dalam lima tahun akan datang, dengan sekurang-kurangnya 21 peratus penduduk Singapura dijangka berusia 65 tahun ke atas, menjelang 2026.
Daripada keseluruhan panggilan Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS), 11,064 adalah panggilan bukan kecemasan manakala 6,239 merupakan panggilan palsu.
Daripada 239,855 panggilan kecemasan pula, 188,474 berkaitan perubatan termasuk sakit dada, sesak nafas, tidak sedarkan diri dan serangan jantung.
Satu perkembangan yang membimbangkan adalah peningkatan panggilan kecemasan melibatkan kemalangan jalan raya, daripada 9,564 kes pada 2024 kepada 10,737 kes pada 2025, atau purata 29 kes sehari.
Kadar respons Pihak Pertama Bertindak dalam Masyarakat (CFR) terhadap kes serangan jantung dan kebakaran kecil meningkat daripada 50.3 peratus pada 2024 kepada 72.4 peratus pada 2025 melalui aplikasi myResponder.
Aplikasi itu memaklumkan CFR kes dalam lingkungan 400 meter serta lokasi alat defibrilator berhampiran.
Menurut SCDF, terdapat 47,240 pendaftaran baru pada aplikasi itu pada 2025, menjadikan lebih 250,000 CRF berdaftar sejak pelancarannya pada 2015.
Sehingga akhir November 2025, CFR yang menerima amaran melalui aplikasi itu telah menyelamatkan nyawa 160 mangsa serangan jantung.

