Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

315,000 warga S’pura manfaatkan platform kerjaya dan kemahiran SkillsFuture

May 23, 2025 | 4:29 PM
SkillsFuture berkata platform Pasport Kerjaya dan Kemahiran itu boleh digunakan untuk menambah keterangan diri dan meningkatkan permohonan kerja dalam talian dengan penyediaan rekod yang disahkan.
SkillsFuture berkata platform Pasport Kerjaya dan Kemahiran itu boleh digunakan untuk menambah keterangan diri dan meningkatkan permohonan kerja dalam talian dengan penyediaan rekod yang disahkan. - Foto ST

Satu platform perancangan kerjaya dan kemahiran dalam talian yang diperkenalkan oleh SkillsFuture Singapura (SSG) telah digunakan oleh 315,000 warga Singapura setakat 30 April.

Dilancarkan pada November 2024, Pasport Kerjaya dan Kemahiran menggabungkan maklumat tentang kerjaya dan kemahiran individu daripada sumber yang disahkan pemerintah di satu platform berpusat dan terjamin, sebelum dikongsi dengan majikan semasa dan bakal majikan.

SSG berkata alat ini boleh digunakan untuk menambah maklumat diri dan meningkatkan permohonan kerja dalam talian dengan penyediaan rekod yang disahkan.

Menurut The Straits Times, pengguna boleh memilih rekod yang mereka ingin kongsi dengan portal pekerjaan dalam talian seperti Jobstreet dan FastJobs.

Mereka juga boleh menjana pautan profil mereka yang boleh dikongsi dan berkongsinya secara langsung dengan bakal majikan.

Sehingga kini, 4,900 pengguna telah berkongsi data daripada Pasport Kerjaya dan Kemahiran mereka.

Dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), pasport itu mempunyai empat komponen utama.

Bahagian pekerjaan mengandungi data yang disahkan oleh Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan MOM, seperti nama majikan, tempoh bekerja dan pekerjaan.

Bahagian kemahiran mengandungi gambaran keseluruhan kemahiran yang disahkan daripada pensijilan pengguna dan daripada pengesahan majikan.

Pengguna juga boleh menambah kemahiran yang mereka perolehi sendiri.

Bahagian ketiga mengandungi rekod akademik daripada Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura dan institut pengajian tinggi yang disokong oleh MOE.

Ini termasuk Institut Pendidikan Teknikal, politeknik, universiti dan institusi seni.

Bahagian akhir mengandungi rekod latihan profesional yang disahkan, seperti pensijilan daripada Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja Singapura dan kursus lain yang dibiayai oleh SSG.

Sama seperti bahagian kemahiran, pengguna juga boleh menambah rekod pensijilan mereka sendiri.

Pasport tersebut adalah salah satu inisiatif oleh SSG sempena ulang tahun ke-10-nya pada 2025, untuk menggalakkan rakyat Singapura meningkatkan kemahiran.

Berlangsung di Hotel Four Seasons, acara pada 23 Mei itu dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; dan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.

Acara itu juga menampilkan perbincangan panel dengan individu, majikan, kesatuan sekerja dan pemerintah mengenai bagaimana pergerakan SkillsFuture menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kekal berdaya saing.

Sebagai sebahagian daripada sambutan itu, SSG dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) akan melancarkan beberapa inisiatif sepanjang 2025.

Ini termasuk skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture untuk menyediakan sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh enam bulan kepada pencari kerja berpendapatan rendah dan sederhana yang masih menganggur.

Pusat Kemahiran – Amalan Pertama akan dilancarkan oleh SSG dan Institut Pembelajaran Dewasa pada suku keempat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg