Topik diikuti
Pergi ke BHkuBuku ROMM-BH himpun pengalaman Kadi, Naib Kadi bantu pasangan layari mahligai
Buku ROMM-BH himpun pengalaman Kadi, Naib Kadi bantu pasangan layari mahligai
‘Tenunan Kasih’ setebal 281 halaman rujukan penting perkahwinan Islam
Buku ROMM-BH himpun pengalaman Kadi, Naib Kadi bantu pasangan layari mahligai
Buku baru setebal 281 halaman berjudul, Tenunan Kasih: Kompilasi Hikmah Mahligai Bahagia Bersamamu Selamanya, dilancarkan pada 10 Jun.
Ia merupakan khazanah ilmu yang menghimpunkan panduan, renungan dan pengalaman mengenai perkahwinan serta kehidupan berkeluarga dalam konteks masyarakat Islam di Singapura.
Buku dwibahasa dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu adalah himpunan perkongsian pengalaman Kadi, Naib Kadi dan asatizah wanita di bawah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), yang selama ini berperanan membimbing pasangan dalam mengharungi pelbagai fasa kehidupan rumah tangga.
Namun, buku hasil kerjasama Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) dengan Berita Harian (BH) itu tidak dijual.
Sebaliknya buku tersebut turut disediakan dalam bentuk elektronik bagi rujukan awam.
Antara topik yang dikupas dalam buku tersebut termasuk peranan nafkah dalam membina keluarga bahagia, kepentingan komunikasi dalam perkahwinan serta cara menangani konflik menerusi komunikasi yang sihat.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir selaku tetamu terhormat, berkata usaha memperkukuh keluarga tidak harus terhad kepada penyediaan program dan perkhidmatan semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata ilmu pengetahuan dan pengalaman yang sekian lama membimbing masyarakat juga perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Beliau menyambut baik kerjasama antara ROMM dengan BH dalam menerbitkan buku yang menghimpunkan renungan dan nasihat daripada Kadi, Naib Kadi dan asatizah.
“Melalui penerbitan ini, generasi akan datang dapat terus memanfaatkan kebijaksanaan dan pengalaman menyeluruh mereka, yang telah bertahun-tahun membimbing pasangan dan keluarga,” katanya.
Tenunan Kasih: Kompilasi Hikmah Mahligai Bahagia Bersamamu Selamanya dilancarkan sempena Majlis Pelantikan dan Penghargaan Kadi dan Naib Kadi yang berlangsung di Hotel Fairmont Singapore pada 10 Jun.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata:
“BH amat berbesar hati kerana bekerjasama dengan ROMM bagi menerbitkan buku ini.
“Buku ini merupakan kompilasi sumbangan artikel Kadi dan Naib Kadi dalam ruangan Hidayah di BH.
“Sumbangan mereka banyak memberikan nasihat berguna bagi pasangan yang akan dan sudah pun berkahwin,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan pengumuman pelantikan Pegawai Pembangunan Keluarga di empat masjid di serata Singapura, iaitu Masjid Al-Falah, Masjid Al-Khair, Masjid Darul Ghufran dan Masjid An-Nur.
Pada masa sama, program perintis, Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif), yang diperkenalkan pada 2020 bagi membantu pasangan Islam membuat persiapan ke arah keibubapaan dan kehidupan berkeluarga, dijadikan program tetap mulai Jun 2026.
Program itu menyokong pasangan Islam, bermula sebelum perkahwinan sehingga dua tahun selepas majlis akad nikah mereka, sambil memberi tumpuan kepada isu berkaitan persediaan sebelum kehamilan, kehamilan, keibubapaan dan perkembangan awal kanak-kanak.
Projek Arif merupakan sebahagian inisiatif lebih menyeluruh, Bersamamu, yang dilancarkan pada 2019 untuk menyokong pasangan Muslim sepanjang perjalanan perkahwinan dan tahun-tahun awal kehidupan berkeluarga.
Dalam kata-kata aluannya di dalam buku tersebut, Dr Faishal, berkata:
“Perkahwinan yang kukuh merupakan asas kepada kekuatan dan daya tahan masyarakat kita.
“Apabila pasangan diberi sokongan untuk membina hubungan yang sihat, stabil dan penuh kasih sayang, ia bukan sahaja memperkukuh institusi keluarga, malah turut mengukuhkan masyarakat secara keseluruhannya.
“Buku ini mengajak kita membayangkan apa yang mampu dicapai apabila kita mengutamakan perkahwinan yang kukuh dan keluarga yang berdaya tahan, menerusi sokongan antara satu sama lain serta usaha bergerak maju bersama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu.”
