Bagi Encik Zainal Samat, 66 tahun, golf bukan sekadar sukan yang diminati.
Lebih daripada itu, ia merupakan wadah utama bagi beliau menyumbang kembali kepada masyarakat, dengan menganjurkan satu acara golf amal.
Lebih penting lagi, acara tersebut merupakan peluang baginya menghimpunkan rakan-rakan yang boleh disifatkan sebagai pemain golf veteran.
Mereka terdiri daripada Encik A Rahim Jaafar, Encik Ibrahim Atan dan Encik Mohd Said Abdul Latif.
Setelah menawarkan khidmat menganjurkan acara golf amal bagi badan seperti Pertapis dan Masjid Ar-Raudhah, mereka kini bersatu hati dan tenaga untuk acara Golf Amal BH-AMP 2025 pada 22 Julai di Orchid Country Club.
Acara anjuran bersama Berita Harian (BH) dan AMP Singapura itu menghimpunkan masyarakat untuk mengumpul dana demi membantu golongan memerlukan serta menyokong generasi akan datang.
Ia diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60) dan bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan semula kepada masyarakat.
Ia juga diadakan sehari selepas Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai.
Ini merupakan julung-julung kalinya BH menganjurkan acara golf amal.
“Sukan seperti golf bukan sekadar kegiatan riadah, malah ia boleh menjadi wadah mempererat silaturahim dan merapatkan jurang dalam masyarakat.
“Lebih penting lagi, ia juga dapat menyumbang kepada mereka yang memerlukan dan merupakan satu usaha membina masyarakat yang lebih terangkum,” kata Encik Zainal, yang juga mantan Pengarah Bersekutu syarikat pengurusan hartanah, Raffles Strata Management Pte Ltd.
Menurutnya, ikatan persahabatan beliau dan rakan-rakannya itu menjadi lebih erat melalui kerjasama rapat dalam menjayakan pelbagai acara golf amal.
“Kami telah lama bermain golf bersama, namun apabila kami berganding bahu untuk merancang dan melaksanakan acara sebesar ini demi manfaat masyarakat, semangat kebersamaan itu menjadi lebih bermakna,” kata beliau.
Tanpa mengambil sebarang ganjaran, setiap daripada mereka memainkan peranan penting, sama ada dalam aspek logistik, penyelarasan dengan penaja, mahupun pengurusan pemain.
“Komitmen kami untuk menganjurkan acara amal bagi mengumpul dana secara ikhlas selama ini mencerminkan semangat menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Rakan-rakan lain juga sanggup meluangkan masa dan tenaga tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Bagi saya, inilah nilai persahabatan dan semangat sukarela yang masih kukuh dalam kalangan pemain veteran,” ujarnya.
Nilai kebersamaan itu turut ditekankan rakannya, Encik Said, 53 tahun, seorang jurulatih golf di Sembawang Country Club.
Meskipun ini bukan kali pertama mereka terlibat dalam projek bersama, beliau mengakui setiap peluang untuk bekerjasama memperkukuh lagi hubungan mereka.
“Topik perbualan yang dahulunya hanya tertumpu pada strategi permainan di padang kini merangkumi perihal cara memperbaiki masyarakat kita, nilai murni dan hala tuju bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap dana yang dikumpulkan dalam acara Golf Amal BH-AMP 2025 itu dapat meringankan beban kewangan golongan memerlukan.
Sikap tidak mementingkan diri sendiri dan prihatin pada keperluan orang lain itu wujud dalam diri Encik Said ekoran pengalaman silam beliau, yang pernah dibantu untuk meneroka sukan golf yang kini sudah mendarah daging dalam dirinya.
“Dahulu, sukan golf dianggap kegiatan mahal. Ketika itu saya berumur 14 tahun. Saya bersyukur beberapa rakan berbilang kaum tampil dan sudi membiayai saya untuk terus berkecimpung dalam sukan ini.
“Kerana sokongan kewangan mereka, ia membakar semangat saya untuk mendalami golf sehingga akhirnya, ia menjadi kerjaya saya.
“Justeru, dengan acara amal ini, saya dapat menyumbang kembali kepada masyarakat yang juga telah membantu saya suatu masa dahulu,” tambah Encik Said.
Malah, beliau turut berharap nilai yang kerap dipelajari daripada sukan golf dapat diwarisi penerima bantuan acara amal itu.
“Dalam golf, kita belajar sikap bersabar, berdisiplin dan jujur.
“Prinsip yang sama dipegang ketika melibatkan diri dalam kerja amal.
“Lantas, saya berharap dana yang diraih menerusi acara BH-AMP ini dapat dimanfaatkan golongan yang memerlukan, dan memberi kesan positif kepada masyarakat secara keseluruhan,” tambah beliau.
“
“Sukan seperti golf bukan sekadar kegiatan riadah, malah ia boleh menjadi wadah mempererat silaturahim dan merapatkan jurang dalam masyarakat.”“
“Dalam golf, kita belajar sikap bersabar, berdisiplin dan jujur. Prinsip yang sama dipegang ketika melibatkan diri dalam kerja amal. Lantas, saya berharap dana yang diraih menerusi acara BH-AMP ini dapat dimanfaatkan golongan yang memerlukan, dan memberi kesan positif kepada masyarakat secara keseluruhan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg