Seramai 40 belia menyertai Dialog Belia BH-Mendaki yang diadakan buat kali kedua, anjuran bersama Berita Harian (BH) dan Yayasan Mendaki sempena Kempen Raikan Ilmu, pada 13 Jun.
Diadakan di bilik berita BH di Toa Payoh North dan Studio 65, dialog tersebut bertujuan mengupas pandangan dan aspirasi golongan belia mengenai masa depan masyarakat Melayu/Islam, termasuk sumbangan yang boleh diberikan anak muda dalam membentuk perubahan positif.
Perbincangan tertumpu kepada visi mereka bagi 2040, cabaran yang bakal dihadapi, serta usaha yang perlu digembleng untuk merealisasikannya.
Antara topik yang dibincangkan termasuk harapan dan aspirasi peserta terhadap masa depan masyarakat Melayu/Islam dalam tempoh 15 tahun mendatang, serta matlamat peribadi dan kerjaya masing-masing.
Di samping itu, mereka turut berbincang dan berkongsi tentang peranan yang boleh dimainkan anak muda sebagai ejen perubahan dan sebahagian daripada penyelesaian kepada isu yang dihadapi.
Peserta turut dibawa ke bilik berita untuk meninjau lebih mendalam tentang pelbagai kerjaya dalam bidang kewartawanan seperti wartawan, wartawan media sosial, pereka visual dan penyunting, bagi meningkatkan pengetahuan tentang industri media.
Antara yang hadir ialah belia dari masjid, Mendaki dan badan Melayu/Islam (MMO).
Sesi pertama dialog telah diadakan pada 23 Mei lalu, dengan penyertaan sekitar 50 belia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg