Masa depan masyarakat Melayu/Islam terletak pada peningkatan kehadiran mereka dalam sektor profesional dan akademik, satu visi bagi masyarakat Melayu/Islam 2040 yang dikongsi salah seorang peserta, Encik Iskandar Zulkarnain, semasa Dialog Belia BH-Mendaki yang diadakan buat julung kalinya pada 23 Mei.
Encik Iskandar menyuarakan keyakinan bahawa masyarakat Melayu/Islam berada pada landasan yang betul untuk mencapai kejayaan lebih besar merentas pelbagai bidang, asalkan mereka terus kekal fokus dan saling menyokong antara satu sama lain.
Beliau merupakan antara sekitar 50 belia yang mengambil bahagian dalam sesi dialog tersebut, anjuran bersama Berita Harian (BH) dan Yayasan Mendaki sempena Kempen Raikan Ilmu.
Dialog itu turut memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai cabaran yang mungkin dihadapi masyarakat pada masa hadapan dan usaha yang perlu digembleng dalam merealisasikan aspirasi bersama menjelang 2040.
Berkongsi dengan BH, Encik Iskandar, 29 tahun, berkata: “Saya nampak sendiri perubahan dalam aspirasi masyarakat Melayu/Islam sejak zaman ayah saya hingga sekarang.
“Kalau dulu ada yang anggap pekerjaan saintis atau ahli biologi sebagai satu angan-angan, kini ia sudah jadi kenyataan.
“Saya yakin ini bukan sesuatu yang rare (jarang berlaku) lagi kerana ramai dalam kalangan kita yang mampu dan sudah pun mencapainya.”
Juruteknik data pendidikan sepenuh masa di Sekolah Singapura Jerman Eropah (GESS) – sebuah sekolah antarabangsa di Singapura – itu mendapati semakin ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam menunjukkan minat terhadap bidang seperti data sains dan bioteknologi, selain daripada kerjaya yang lebih lazim seperti perguruan dan perundangan.
“Walaupun masyarakat Melayu/Islam kecil, impian mereka semakin realistik dan sokongan masyarakat menjadi faktor utama dalam mendorong pencapaian ini,” ujar Encik Iskandar yang juga pelajar tahun ketiga dalam pengajian ijazah sambilan bidang Teknologi Maklumat (IT) dan Perniagaan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Sokongan itu, menurutnya, termasuk seperti dialog tersebut yang dapat menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai belia Melayu/Islam.
“Selagi wujud platform untuk mereka tampil berkongsi pandangan dan maklum balas yang terbuku, ia akan memberi isyarat bahawa hala tuju masyarakat Melayu/Islam kita akan terus meningkat,” tambah Encik Iskandar.
Seperti bidang keusahawanan yang diketengahkan Cik Mahira Nursyaza, 23 tahun, sokongan juga perlu dipertingkat, khususnya daripada pihak pemerintah.
Pengalaman beliau sendiri boleh dijadikan contoh apabila permohonan bantuannya pernah ditolak atas alasan beliau masih bergelar pelajar.
“Saya berharap pada masa hadapan, lebih banyak sokongan diberikan kepada masyarakat Melayu/Islam, termasuk mereka yang masih belajar dan mahu menceburi bidang keusahawanan.
“Minat dan usaha belia wajar dihargai tanpa prejudis terhadap usia atau latar belakang pendidikan,” ujar pelajar tahun pertama dalam jurusan Kejuruteraan Awam di Institut Teknologi Singapura (SIT) itu.
Sokongan sebegini mampu menyumbang kepada peningkatan bilangan Masyarakat Melayu/Islam yang memegang jawatan tinggi di tempat kerja.
Demikian dikongsi Cik Hannah Batrisyia Hamdi Hidayat, 24 tahun, yang berkelulusan jurusan Sosiologi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Di samping sokongan yang sewajarnya, beliau turut “percaya akan kemampuan orang Melayu kita” dalam mengejar kejayaan.
Namun, usaha mengejar kejayaan itu turut menjadi persoalan yang dibentangkan Encik Amirul Mukminin Abdullah, 23 tahun.
Pelajar tahun pertama jurusan Sosiologi di NTU itu bertanya: “Sekiranya menjelang 2040 masyarakat Melayu/Islam masih dianggap sebagai masyarakat yang “sedang membangun”, “masih berusaha maju”, atau “belum cukup berjaya”, sampai bilakah tanggapan itu akan berterusan?
“Bila agaknya kita akan dianggap sudah cukup berjaya, sudah cukup dihargai?
“Jadi, saya harap kita dapat keluar daripada pemikiran bahawa kita ini sentiasa dalam proses pembangunan.
“ Sudah sampai masanya kita dilihat — dan melihat diri kita sendiri — sebagai satu masyarakat yang telah berjaya, sudah cukup dan tidak perlu terus dibandingkan atau dikejar-kejarkan dengan konsep ‘kemajuan’,” jelas beliau.
Dan konsep kemajuan itu sendiri, menurut Encik Mikail Idris Mohammad Ramawan, 25 tahun, wajar ditakrif semula.
“Kita sering melihat kejayaan dari sudut material iaitu rumah besar, kereta mewah. Tetapi kejayaan juga harus merangkumi kesihatan mental, masa bersama keluarga dan keseimbangan dari segi kerohanian,” kata paralegal itu.
Beliau berpendapat bahawa sesi dialog tersebut berguna untuk belia kerana ia menawarkan wadah untuk bertukar pelbagai idea dan berbincang tentang isu-isu penting untuk masa hadapan mereka.
Diadakan di bilik berita BH dan studio The Straits Times di Toa Payoh North, dialog tersebut merupakan sesi pertama daripada dua, dengan sesi kedua dialog dijadualkan berlangsung pada Jun.
“
Kalau dulu ada yang anggap pekerjaan saintis atau ahli biologi sebagai satu angan-angan, kini ia sudah jadi kenyataan. Saya yakin ini bukan sesuatu yang rare (jarang berlaku) lagi kerana ramai dalam kalangan kita yang mampu dan sudah pun mencapainya.“
Jadi, saya harap kita dapat keluar daripada pemikiran bahawa kita ini sentiasa dalam proses pembangunan. Sudah sampai masanya kita dilihat — dan melihat diri kita sendiri — sebagai satu masyarakat yang telah berjaya, sudah cukup dan tidak perlu terus dibandingkan atau dikejar-kejarkan dengan konsep ‘kemajuan’.“
Kita sering melihat kejayaan dari sudut material iaitu rumah besar, kereta mewah. Tetapi kejayaan juga harus merangkumi kesihatan mental, masa bersama keluarga dan keseimbangan dari segi kerohanian.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg