Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuis: Sekitar 400 haiwan korban dari Australia mungkin tiba lewat di 4 masjid
Muis: Sekitar 400 haiwan korban dari Australia mungkin tiba lewat di 4 masjid
Permit eksport haiwan syarikat pengendali korban, The Meat Brothers Pte Ltd belum dilulus pihak berkuasa Australia
Muis: Sekitar 400 haiwan korban dari Australia mungkin tiba lewat di 4 masjid
Sekitar 400 ekor haiwan korban dari Australia yang dikendalikan syarikat pengendali korban, The Meat Brothers Pte Ltd, mungkin tiba lewat bagi ibadah korban secara langsung di sini, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Menurut Muis, kelewatan tersebut dijangka menjejas empat masjid iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman, dan sebahagian daripada bekalan haiwan korban di Masjid Jamae Chulia.
Kesemua masjid itu menyediakan tempat bagi ibadah korban di sini.
Walau demikian, Muis berkata baki perkhidmatan korban tempatan oleh pengendali korban berlesen lain yang dilantik di Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah, dan Masjid Tentera Diraja akan diteruskan seperti yang dirancang pada Hari Raya Aidiladha.
Korban di ketiga-tiga masjid itu dikendalikan oleh sebuah lagi syarikat pengendali korban, Aliyah Rizq Farm.
Menjelaskan hal itu dalam satu kenyataan pada 21 Mei, Muis berkata:
“Setakat 21 Mei 2026, permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) Australia bagi salah satu pengendali korban tempatan yang berlesen, The Meat Brothers, masih lagi tertangguh.”
Muis menambah bahawa ia faham akan kebesaran ibadah korban dan insiden sedemikian boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan sohibul korban (mereka yang kerjakan korban) yang telah menempah menerusi The Meat Brothers.
Menurut Muis, The Meat Brothers akan menghubungi sohibul korban yang terjejas, sementara Muis akan bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut untuk menyediakan langkah sokongan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas.
Berita Harian (BH) difahamkan bagi urusan korban secara langsung yang diadakan di masjid tempatan, masjid hanya menyediakan ruang dan sukarelawan.
Urusan tempahan dan operasi korban pula dikendalikan sepenuhnya oleh vendor yang dilantik, iaitu dalam hal ini, The Meat Brothers.
Lantas, sebarang perubahan pada operasi ibadah korban akan diselaraskan dan dikomunikasikan secara langsung daripada vendor.
Antara mereka yang terjejas dengan perkembangan itu ialah Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang telah menempah seekor kambing biri-biri untuk dilaksanakan di Masjid Al-Firdaus, di Jalan Ibadat.
Menulis di Facebooknya pada hari yang sama, beliau berkata:
“Seperti yang lain, saya juga merupakan antara mereka yang terjejas akibat kemungkinan kelewatan penghantaran haiwan ternakan korban pada tahun ini (2026).
“Bagi keluarga saya, saya telah menguruskan ibadah korban kami melalui Masjid Al-Firdaus, dan saya telah mengikuti perkembangan situasi ini dengan rapat walaupun sedang berada di luar negara atas urusan rasmi.”
Beliau, yang kini berada di Suriname, Amerika Selatan, melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa, Muis, masjid, sukarelawan, dan semua pihak yang bekerja tanpa henti di sebalik tabir untuk bertindak pantas, menghulurkan bantuan, serta jaminan yang diberikan kepada sohibul korban yang terjejas sepanjang tempoh ini.
“Walaupun kita semua berharap agar haiwan korban itu akan tiba tepat pada masanya untuk Hari Raya Haji, ini juga merupakan satu peringatan tentang semangat ibadah korban yang sebenar: keikhlasan, pengorbanan, kesabaran, dan ketaatan kepada Allah swt,” ujarnya.
Dalam satu laporan BH pada 11 Mei, The Meat Brothers berkongsi bahawa sekitar 50 peratus daripada sasaran sebanyak 850 slot tempahan telah dicapai setakat ini, sambil menyaksikan peningkatan dalam sambutan terhadap ibadah korban secara langsung di sini.
