Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek Dian bantu 60 keluarga di Bedok

Jan 11, 2025 | 9:06 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga menerajui Projek Dian, mendekati penduduk Blok 113 dan Blok 114 Bedok North Street 2 semasa satu acara pendekatan Projek Dian pada 11 Januari.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga menerajui Projek Dian, mendekati penduduk Blok 113 dan Blok 114 Bedok North Street 2 semasa satu acara pendekatan Projek Dian pada 11 Januari. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sekitar 60 keluarga di Bedok kini telah menerima manfaat daripada Projek Dian, satu inisiatif M Kuasa Tiga (M³) untuk menyokong isi rumah menetap di flat sewa awam dalam kawasan itu.

Ini setelah Projek Dian diperluaskan kepada 45 lagi keluarga yang tinggal di Blok 113 Bedok North Street 2 pada 2024, serta Blok 114 pada 2023.

Sebelum ini, sekitar 15 keluarga yang menetap di Blok 38 Bedok South telah meraih manfaat daripada inisiatif tersebut.

Pada 11 Januari di kolong Blok 113 dan 114 Bedok North Street 2, sekitar 500 penduduk telah berpeluang beramah mesra antara satu sama lain di satu acara berinteraksi dengan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Acara itu, yang dipimpin oleh lebih 50 belia Melayu/Islam daripada pertubuhan bukan meraih untung, Membina Community, menampilkan reruai interaktif seperti seni dan kraf yang mempromosikan kreativiti dan kesejahteraan penduduk, cabaran kesihatan serta kesejahteraan, zon permainan kanak-kanak dan sudut untuk penduduk memberi maklum balas.

Menurut Dr Maliki, isi rumah yang dibantu dirujuk kepada agensi perkhidmatan sosial untuk sokongan lanjutan, sementara kanak-kanak di tahap prasekolah, terutamanya mereka yang berusia bawah enam tahun mendapat bimbingan daripada para sukarelawan.

“Hari ini, kami berada di Bedok untuk mendekati lebih ramai lagi keluarga yang tinggal di flat sewa supaya mereka memahami dan mengetahui apa itu Projek Dian dan bagaimana ia dapat dimanfaatkan bersama demi masa depan anak-anak mereka.

“Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, duta Projek Dian, yang terdiri daripada sukarelawan, dapat mendekati anak-anak mereka dan menunjukkan contoh bagaimana anak-anak mereka dapat diasuh,” jelas Dr Maliki kepada wartawan.

Cara pendekatan tersebut termasuk membaca kepada kanak-kanak, bermain dengan permainan bersama mereka, serta kaedah lain yang dapat menarik perhatian kanak-kanak kecil.

Menerusi pendekatan itu, Dr Maliki berkata beliau berharap ibu bapa kanak-kanak tersebut boleh memanfaatkan kemahiran baru yang diperolehi mereka ketika berinteraksi dengan duta Projek Dian.

“Saya berbangga kerana ramai duta Projek Dian memainkan peranan mereka begitu baik sekali kerana mereka bukan sahaja merupakan contoh utama, tetapi mereka juga orang pertama yang keluarga-keluarga ini akan menghubungi (ketika menghadapi cabaran),” ujar Dr Maliki.

Pengasas Membina Community, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, 28 tahun, berkata sukarelawan belia di bawah pertubuhannya dahulu tinggal di flat sewa.

“Belia-belia ini dahulu datang dari latar belakang yang serupa, jadi saya rasa merekalah yang memahami sangat keperluan keluarga-keluarga ini.

“Dan ia adalah pengalaman yang sangat bermakna untuk belia ini, kerana mereka pernah melalui pengalaman yang sama, kini mereka adalah penyumbang aktif dalam masyarakat,” kata Encik Jihad.

Tambah Encik Jihad, beliau terharu dapat melihat penambahbaikan dalam kehidupan keluarga yang didekatinya.

“Sebagai contoh, terdapat kanak-kanak yang pernah berhenti sekolah, dan kini mereka telah kembali ke sekolah.

“Bagi orang dewasa yang menganggur pula, ada di antara mereka yang sudah pun mendapat pekerjaan, jadi ia sangat menyayat hati,” kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg