Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekolah Menengah Ahmad Ibrahim akhiri kemarau hampir 40 tahun, juarai bahas 4PM
Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim akhiri kemarau hampir 40 tahun, juarai bahas 4PM
Pembahas Siti Aisyah Pungot turut dinobat Pembahas Terbaik Keseluruhan
Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim akhiri kemarau hampir 40 tahun, juarai bahas 4PM
Detik bersejarah tercipta apabila empat pelajar Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim, yang baru kali pertama menyertai pertandingan bahas membuktikan keyakinan diri dan kerjasama menjadi faktor kemenangan.
Ternyata, pada 6 Jun lalu, pasukan yang terdiri daripada Muhammad Aiman Erwanshah, Siti Aisyah Pungot, Nabil Eddryan S/O Nor Muliady dan Qistina Zahra Suhaimi, membawa pulang kenangan manis apabila muncul sebagai juara peringkat menengah, Bahas 4PM 2026, di Auditorium SingPost, Pusat SingPost.
Mereka yang berada di Menengah Empat, menewaskan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, dalam peraduan anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).
Lebih membanggakan, Siti Aisyah turut dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan Bahas 4PM 2026.
Bahas 4PM Peringkat Menengah kali ini menyaksikan penyertaan 22 sekolah menengah dan madrasah. Peserta melalui lima pusingan pertandingan – dua pusingan saringan, suku akhir, separuh akhir dan pusingan akhir.
Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim awalnya menewaskan Maktab Rendah Kebangsaan (Menengah) di peringkat suku akhir dan Sekolah Menengah Tanjong Katong di peringkat separuh akhir sebelum berdepan Madrasah Aljunied Al-Islamiah di peringkat akhir.
Dengan kepetahan berbahas dan penguasaan bahasa Melayu yang lancar lagi membanggakan, kedua-dua pasukan Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim dan Madrasah Aljunied memukau sekitar 250 hadirin yang terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa, alumni dan penyokong.
Namun, kejayaan berpihak kepada Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim, sekali gus menghidupkan semula legasi kecemerlangan bahas sekolah tersebut, yang pernah mencatat kejayaan dalam Peraduan Bahas Cakap Petah Peringkat Nasional pada 1987.
Kemenangan pada 2026 juga menandakan kejayaan pertama sekolah tersebut dalam kategori menengah Bahas 4PM sejak kategori itu diperkenalkan pada 2015.
Bagi Siti Aisyah, kemenangan itu merupakan pencapaian besar kerana pasukan mereka berjaya menamatkan kemarau panjang hampir empat dekad bergelar juara dalam pertandingan bahas sebegini.
Katanya: “Saya tidak menjangkakannya. Tetapi saya bangga dengan diri sendiri dan bersyukur.”
Kemenangan itu terasa lebih manis apabila dapat dicapai bersama rakan sedarjah bagi subjek Bahasa Melayu.
Hubungan akrab empat pelajar itu sekali gus membantu mereka membina keserasian, saling memahami kekuatan masing-masing dan memberi sokongan ketika berdepan tekanan pertandingan.
Namun, perjalanan ke puncak jaya tidak sentiasa berbunga-bunga dengan kemanisan.
Sebagai pelajar Menengah 4 yang sedang membuat persiapan bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’, mereka perlu membahagikan masa antara pelajaran, aktiviti kokurikulum, latihan sekolah dan persiapan bahas.
Antara cabaran terbesar yang dilalui adalah mencari masa yang sesuai untuk bertemu, berbincang dan menyiapkan hujah bersama.
Mereka berjaya mengatasi hal tersebut dengan bertemu ketika waktu rehat dan waktu makan tengah hari untuk menyusun hujah, memperbaiki hujah dan menyediakan kad imbas bagi latihan.
Mereka turut melalui latihan intensif selama beberapa jam menjelang perlawanan akhir untuk memperhalusi strategi, memperkukuh isi, menjangkakan hujah pihak lawan dan membiasakan diri dengan celahan.
Guru pembimbing pasukan Ahmad Ibrahim, Encik Mohamed Izwan Abdul Manan, berkata beliau amat bangga dengan dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan anak didiknya sepanjang pertandingan.
Menurutnya, persiapan pertandingan bukan sahaja menguji kebolehan berhujah, malah membantu para pelajar memahami kata kunci dengan lebih teliti, memperkaya kosa kata serta mempelajari istilah baharu dalam Bahasa Melayu.
“Saya lihat mereka sekarang sudah boleh berfikir dengan lebih kritikal, malah dapat bertutur dan berfikir dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik,” kata Encik Mohamed Izwan.
Beliau juga berharap pencapaian tersebut menjadi pemangkin membimbing lebih ramai pelajar dalam perbahasan Bahasa Melayu serta aktiviti bahasa dan budaya yang lain.
