Topik diikuti
Pergi ke BHkuAI jana peluang baharu kembang niaga
Sejak muda, Encik Hisham Musa, sudah menggelar dirinya ‘kaki teknologi’ yang mempunyai minat mendalam dalam komputer dan pengaturcaraannya.
Bahkan, sebagai seorang usahawan dalam perniagaan berkaitan kesihatan, beliau telah membangunkan beberapa aplikasi supaya dapat memantau tahap nutrisi, senaman dan kalori kliennya dengan lebih baik.
Dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih berleluasa, Encik Hisham melihat ia sebagai satu peluang keemasan bagi syarikatnya, Thrive Works, untuk berkembang dan menawarkan khidmat berasaskan AI.
Thrive Works kini membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) memanfaatkan AI untuk melancarkan lagi operasi dan kecekapan kerja serta mempertingkat daya penghasilan.
Ia termasuk mengautomasikan tugasan rutin – contohnya pengisian borang dan pengurusan jadual harian – dan ciptaan kandungan pemasaran seperti video dan kapsyen bagi media sosial.
“Penggunaan AI membolehkan perniagaan kecil menjimatkan masa.
“Contohnya, bagi satu projek yang kami sedang lakukan sekarang, AI dapat jimatkan masa sekitar satu jam bagi setiap tugasan, atau sekitar 40 jam sebulan bagi setiap pekerja,” kata Encik Hisham, 50 tahun.
“Syarikat yang tidak menggunakan AI diibaratkan seperti tidak mahu menggunakan kalkulator pada zaman moden.
“Tanpa AI, proses perniagaan akan menjadi lebih lambat dan mereka berisiko ketinggalan di belakang,” tambah Pengarah Urusan, Thrive Works itu.
Menurut Encik Hisham, dalam usaha membantu syarikat, beliau akan bertanyakan terlebih dahulu apakah tujuan mereka ingin memanfaatkan AI dalam sistem kerja.
Misalnya, ada syarikat yang berkata aliran kerja dari segi pentadbiran dan kewangan semua berjalan lancar, namun apa yang mereka perlukan adalah bantuan dalam pemasaran.
Di sini, Encik Hisham berkata AI boleh dimanfaatkan untuk membantu mencipta video dan menulis hantaran di media sosial untuk mempromosikan produk atau khidmat yang ditawarkan syarikat, contohnya.
Namun, beliau menekankan tentang kepentingan etika, sambil berkata penting untuk menyatakan dengan jelas kepada pelanggan bahawa kandungan tersebut telah dicipta atau dijana oleh AI.
Memandang ke hadapan, Encik Hisham berhasrat meluaskan tumpuan syarikatnya ke sektor pendidikan dan latihan AI tidak lama lagi.
Selain memiliki sijil latihan dalam AI daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Harvard, beliau juga mempunyai Sijil Lanjutan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dalam Pembelajaran dan Prestasi (ACLP) yang melengkapi dirinya dengan kecekapan untuk mempermudahkan pembelajaran bagi orang dewasa.
“Hasrat saya adalah bagi Thrive Works bukan sahaja menawarkan kursus latihan AI kepada pemilik syarikat, malah menyediakan khidmat konsultasi untuk membantu mereka mengenal pasti peluang menggunakan AI dalam aliran kerja dan pemasaran, serta membangunkan penyelesaian yang dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan mempertingkat keuntungan,” tambahnya.
