Sebagai seorang jurutera profesional pakar, Encik Mohd Kahliab Zainal Abidin, perlu turun padang untuk menjalankan pemeriksaan bagi memastikan peralatan kejuruteraan, seperti kren menara memiliki ciri-ciri yang selamat untuk digunakan pekerja.

Namun, tugas menjalankan pemeriksaan fizikal itu hanyalah sebahagian daripada kerja hariannya.

Selebihnya, masa beliau ditumpukan kepada semakan dan pengurusan pelbagai dokumen yang sering menuntut komitmen masa yang panjang.

Selain itu, sebagai usahawan – Encik Kahliab merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pemeriksaan kejuruteraan pakar Emaan Inspection – beliau juga perlu memastikan jadual kerja bagi inspektor pemeriksaan dan jurutera di bawah syarikatnya juga diatur setiap hari.

Ini juga merupakan satu lagi tugas manual yang memerlukan masa untuk diselesaikan.

“Contohnya, kami mempunyai dua inspektor pemeriksaan dan tiga jurutera, dan kami perlu melakukan jadual untuk mereka setiap hari.

“Kami juga perlu pastikan invois dihantar kepada klien, dan sijil yang mengesahkan peralatan mereka selamat digunakan turut diberikan tepat pada masanya.

“Oleh itu, kami sedang meneliti semua aliran kerja dan melihat bagaimana untuk memudahkannya menggunakan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Langkah transformasi itu bermula pada 2025 apabila syarikat miliknya mula memanfaatkan AI bagi mengautomasikan pengurusan jadual kakitangannya.

Menurut Encik Kahliab, projek tersebut telah berjaya menjimatkan sekurang-kurangnya 20 peratus masa yang diperlukan untuk mengatur jadual kakitangannya – daripada proses manual membaca satu per satu e-mel sehingga ke mengemas kini kalendar pekerja.

Emaan Inspection merupakan antara contoh syarikat Melayu/Islam yang kian memanfaatkan AI dan automasi dalam operasi mereka.

Dalam jawapannya kepada Berita Harian (BH), Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berkata semakin banyak perniagaan Melayu/Islam kini menyedari teknologi tersebut dapat membantu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kebergantungan pada proses manual, dan menyokong ketekalan yang lebih baik dalam operasi harian.

Tidak berhenti di situ, Emaan Inspection turut merancang merintis dua projek AI yang lain supaya dapat meringankan beban kerja kakitangan pentadbiran di samping melancarkan aliran kerja.

Bagi mempersiapkan tenaga kerjanya, Encik Kahliab, 61 tahun, memastikan kakitangannya menjalani latihan AI khusus untuk memahami dan menguasai teknologi tersebut.

Bagi beliau, anjakan digital itu sealiran dengan kata-kata terkenal yang berbunyi ‘perubahan itu bersifat kekal’.

Bahkan, seluruh perjalanan kerjaya Encik Kahliab daripada seorang jurutera kepada usahawan telah dicorak oleh kebolehannya menyesuaikan diri seiring perubahan zaman.

Sekitar 25 tahun lalu, beliau meninggalkan tugasnya sebagai jurutera di Kementerian Buruh (kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga Manusia) untuk mengasaskan Emaan Inspection pada 2001.

Pada ketika itu, kementerian tersebut mula menyerahkan kerja pemeriksaan kepada pihak luar, dan Encik Kahliab melihatnya sebagai satu peluang keemasan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Berbekalkan hanya sebuah komputer riba, lampu suluh dan juga keazaman tinggi, maka lahirlah syarikat Emaan Inspection yang dimulakan dari rumah.

“Pada waktu itu, semuanya saya buat sendiri – jawab panggilan di rumah, sediakan jadual, siapkan invois.

“Pagi saya lakukan kerja pemeriksaan, malam pula tidur lambat kerana saya perlu siapkan semua sendiri.

“Tetapi saya dapat lebih fokus pada kerja teknikal, pemeriksaan dan konsultasi. Kalau di kementerian dahulu, ia lebih kepada pemeriksaan keselamatan di kilang.

“Apabila saya mulakan perniagaan, saya lakukan pemeriksaan pada peralatan seperti kren, ‘compressor’ (pemampat) dan gondola yang digunakan dalam industri,” kata beliau.

Dari situ, syarikat itu mula berkembang dan kini mempunyai seramai 16 kakitangan serta beroperasi di sebuah pejabat di bangunan perindustrian Oxley Bizhub dekat Ubi Road 1.

Bagi Encik Kahliab, kewibawaan dan profesionalisme merupakan nadi utama dalam industri keselamatan, sambil menambah bahawa penting bagi jurutera mahupun usahawan dalam industri untuk sentiasa mempertingkat kemahiran seiring dengan perubahan landskap industri.

“Saat kita berhenti belajar, saat itulah kita tak lagi relevan untuk bekerja.

“Kita harus pastikan apa yang kita lakukan adalah untuk menyelesaikan masalah yang nyata demi memastikan keselamatan semua pihak,” tambahnya.