Lebih banyak perniagaan Melayu/Islam kini memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam usaha melancarkan lagi operasi harian mereka.

Pemerhatian Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), bahkan, menunjukkan perniagaan juga kini semakin menyedari teknologi tersebut dapat membantu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kebergantungan pada proses manual, dan menyokong konsistensi lebih baik dalam operasi harian.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) berhubung trend syarikat Melayu/Islam yang memanfaatkan AI dan automasi, DPPMS berkata:

“Contohnya, dalam sektor seperti perniagaan makanan, automasi boleh membantu mengekalkan kawalan lebih baik terhadap piawaian kebersihan dan konsistensi operasi.

“Alat AI dan digital juga menjadikan ia lebih mudah bagi perniagaan untuk menguruskan jejak dan rekod digital mereka, sekali gus mengurangkan keperluan bagi kerja kertas yang berlebihan dan pemfailan secara manual.”

Menariknya, DPPMS berkata perkara ini bukan sahaja berlaku dari segi syarikat yang menerapkan penggunaan AI dan automasi, bahkan pihak mereka juga menyaksikan peningkatan dalam kalangan anggota mereka yang merupakan penyedia perkhidmatan AI.

“Ini menunjukkan terdapat penglibatan yang semakin berkembang dalam ekonomi AI, melangkaui sekadar penggunaan dalaman,” jelas DPPMS.

Bahkan, permintaan yang meningkat bagi latihan AI dan automasi juga dikesan.

Misalnya, bengkel ‘AI untuk Perniagaan’ yang dijalankan DPPMS dengan kerjasama syarikat penyedia huraian AI, Omnitron, pada Mei 2026, terpaksa dihadkan jumlah penyertaannya selepas ia menerima sambutan luar biasa.

Bengkel itu dihadiri hampir 30 peserta, dengan sebahagian besarnya daripada sektor makanan dan minuman (F&B).

DPPMS turut memerhatikan kecenderungan bagi peluang latihan yang berkaitan dengan AI lebih tinggi jika dibandingkan dengan latihan lain, sekali gus mencerminkan betapa pemilik perniagaan menghargai AI dan kecekapan yang boleh dibawa teknologi itu kepada operasi mereka.

Penggunaan teknologi itu seiring dengan langkah Singapura yang kini meletakkan AI sebagai pemacu strategik utama ekonomi negara.

Semakan Strategi Ekonomi (ESR) – yang menetapkan hala tuju strategik jangka panjang untuk memastikan ekonominya kekal berdaya saing selain mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat – telah meletakkan AI sebagai antara teras utamanya.

Ini termasuk saranan menjadikan Singapura pemimpin global dalam huraian AI dan sebuah ekonomi diperkasa AI.

Malah, dalam Belanjawan 2026 pada Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan pembentukan sebuah Majlis AI Kebangsaan baharu yang diterajuinya sendiri bagi menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI negara ini.

Anggota DPPMS, Encik Aric Hidir Amin, yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Omnitron, berkata berbanding lima tahun lalu, syarikat Melayu/Islam hari ini lebih terbuka meneroka AI dan menyedari potensinya dalam meningkatkan daya penghasilan serta menyokong pertumbuhan perniagaan.

Bagaimanapun, banyak syarikat masih lagi di peringkat awal penggunaan AI dan sedang belajar cara bagi teknologi itu digunakan secara strategik dalam perniagaan mereka.

Kebanyakan syarikat kecil dan sederhana (SME) juga memulakan transformasi dengan alat AI yang boleh dimampui dan berdasarkan langganan, dengan huraian AI yang lebih disesuaikan mengikut keperluan syarikat berada di luar kemampuan banyak perniagaan lebih kecil.

“Penggunaan AI secara umumnya lebih cepat dalam kalangan perusahaan lebih besar, terutamanya bagi fungsi pentadbiran dan fungsi yang tidak berhadapan dengan pelanggan, di mana tugas berulang boleh diautomasikan atau diperkemas.

“Daripada menggantikan pekerja, banyak syarikat sedang mereka semula skop pekerjaan supaya pekerja boleh memberi tumpuan pada tugas bernilai lebih tinggi,” katanya.

Bagi syarikat yang telah menerapkan penggunaan AI, Encik Aric berkata mereka melaporkan penjimatan masa sedang tugas yang dilakukan secara manual berkurangan, tempoh yang lebih cepat dalam membalas pertanyaan pelanggan, serta penyediaan dokumen dan kandungan yang lebih cepat.

Namun, oleh sebab banyak SME kini menggunakan alat AI pengguna untuk tugas yang agak mudah, manfaat yang lebih ketara seperti transformasi perniagaan berskala besar atau pertumbuhan hasil yang besar mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk terhasil, kata Encik Aric.

DPPMS memberitahu BH jurang utama dalam AI bukanlah kekurangan akses kepada alat teknologi itu, sebaliknya corak pemikiran.

Ramai pemilik perniagaan dan pekerja berpandangan mereka perlu “belajar AI” secara formal atau teknikal terlebih dahulu sebelum boleh menggunakannya, dan tanggapan itu boleh membuat proses penggunaan AI terasa lebih menakutkan daripada sepatutnya.

“Hakikatnya, untuk mula menggunakan AI hari ini tidak memerlukan kepakaran teknikal yang mendalam – sekadar membiasakan diri dengan cara bertanya soalan yang betul atau menggunakan alatan sedia ada sudah mampu memberikan nilai yang bermakna kepada sesebuah perniagaan.

“Ini adalah aspek yang diharap dapat terus ditangani melalui inisiatif latihan kami, dengan menunjukkan pemilik perniagaan, penggunaan AI boleh bermula kecil-kecilan tanpa memerlukan proses pembelajaran yang sukar,” kata DPPMS.