Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alat dapur jadi teman belajar muzik sambil luaskan kenalan

Meski satu-satunya anggota Melayu ‘Kitchen Beats’, ibu tiga anak seronok buat persembahan SG60 di Sun Plaza
Aug 7, 2025 | 3:54 PM
nazirah majid, kitchen beats, sg60, sun plaza
Cik Nazirah Majid, satu-satunya peserta Melayu dalam Kitchen Beats,  mengatasi rasa terasing dengan semangat terbuka dan kebolehan berbahasa Mandarin. - Foto BH oleh BATRISYIA BAHARIM

Sebagai satu-satunya anggota Melayu dalam sebuah kumpulan muzik Kitchen Beats yang sebahagian besarnya terdiri daripada warga emas berbangsa Cina, Cik Nazirah Majid, 58 tahun, pada awalnya berasa terasing sehingga hampir menarik diri. 

Namun semangatnya tidak luntur. 

Sebaliknya, beliau melihat cabaran itu sebagai peluang untuk bergaul, belajar dan menyumbang dengan cara tersendiri sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60) 2025.

Di Kitchen Beats, Cik Nazirah, seorang guru sambilan kelas pengayaan bahasa Inggeris, Fonik dan Membaca, bersama peserta lain memainkan muzik menggunakan peralatan dapur seperti senduk, kuali dan periuk.

Bergerak di bawah naungan Kelab Seni dan Budaya Masyarakat (CACC) Sembawang Central, kumpulan tersebut menghimpunkan peserta pelbagai kaum dan usia, serta membuat persembahan sulung sempena Hari Kebangsaan di gelanggang Hardcourt berhampiran Sun Plaza pada 3 Ogos.

Semasa ditemui Berita Harian (BH) selepas sesi latihan di Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 2, Sembawang Central, yang terletak di Blok 351A Canberra Road, Cik Nazirah berkata: “Saya satu-satunya peserta Melayu. Apabila saya datang untuk sesi latihan pertama, semua peserta berbangsa Cina dan ramai pula yang jauh lebih berusia.

“Saya rasa macam ‘eh, ini bukan tempat saya’.”

Setiap kali selesai latihan, semua peserta pulang bersama kumpulan masing-masing, manakala beliau, yang tinggal di Blok 303, berhampiran pusat tersebut, berjalan kaki pulang seorang diri, tambahnya

“Pada mulanya saya sangka peserta daripada kaum lain mungkin belum hadir pada sesi pertama dan beranggapan mereka akan menyertai pada sesi kedua atau ketiga,” katanya.

Namun, apabila perkara itu tidak berlaku, timbul rasa terpinggir yang hampir membuat beliau berputus asa dan menarik diri.

Beliau turut menerima reaksi kurang menggalakkan daripada rakan sebaya apabila dirinya mengajak mereka menyertai Kitchen Beats.

“Saya mahu hidup saya berwarna-warni. Bukan sekadar tumpukan pada ibadah dan agama sahaja, tetapi kita juga perlu bersenam, berkarya dan melakukan perkara yang menggembirakan hati,” kata Cik Nazirah, yang terus berpegang teguh dengan pendiriannya. 

Meski berlainan bangsa, bahasa tidak pernah menjadi satu cabaran baginya, yang telah mempelajari bahasa Mandarin sejak kecil dan mengambil bahasa tersebut sebagai Bahasa Ibunda di bangku sekolah. 

Lantas, keupayaannya fasih berbahasa Mandarin menjadi penghubung penting, membantu beliau berinteraksi dengan warga emas lain serta jurulatih yang mengendalikan kelas dalam bahasa Mandarin sepenuhnya.

Cik Nazirah masih ingat lagi hari pertama beliau bersama Kitchen Beats, di mana jurulatih memulakan kelas dalam bahasa Mandarin dan kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris khas untuknya.

Enggan menyusahkan sesiapa, beliau terus membalas dalam bahasa Mandarin. 

“Sampai semua orang tepuk tangan bila saya jawab dalam bahasa Mandarin. 

“Saya pun rasa dihargai,” ujarnya.

Beliau mengetahui tentang kumpulan tersebut menerusi satu iklan di Facebook.

“Saya fikir, cuba sajalah,” kata Cik Nazirah, yang menyertai sesi latihan pertama pada pertengahan Jun.

Kitchen Beats merupakan inisiatif baru yang ditubuhkan CACC Sembawang Central untuk menggalakkan penuaan aktif melalui muzik dan interaksi merentas generasi. 

Ditubuhkan pada Jun, dengan penglibatan enam pusat aktiviti penduduk (RA Centres), kini ia disertai seramai 22 individu daripada pelbagai kawasan di seluruh Singapura, termasuk Cik Nazirah. 

Peserta Kitchen Beats terdiri daripada warga emas, berusia antara 53 dengan 80 tahun.

Mereka menggunakan pelbagai jenis peralatan dapur – seperti senduk, kuali dan periuk – sebagai alat muzik, berdasarkan kesesuaian dan kekuatan masing-masing. 

Meskipun kebanyakan peserta tidak tahu membaca nota muzik dan tidak mempunyai latar belakang muzik, kesemuanya seronok mencuba mendalami sesuatu yang baru.

Malah, penubuhan atau rentak awal mereka mengembangkan kegiatan kumpulan ini ditemui secara spontan, ketika sedang memukul telur, kongsi Pengerusi CACC Sembawang Central, Cik Joanne Tay.

Sesi latihan rasmi bermula pada Jun, dengan latihan mingguan diadakan setiap Ahad selama satu jam setengah, dari 9 hingga 10.30 pagi. 

Menariknya, atas inisiatif sendiri, sebilangan peserta turut mengadakan sesi tambahan setiap Isnin. 

Kitchen Beats telah membuat persembahan sulung mereka, memainkan tiga lagu dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, sempena sambutan Hari Kebangsaan di gelanggang Hardcourt berhampiran Sun Plaza, pada 3 Ogos.

Acara tersebut dianjurkan oleh pertubuhan akar umbi Sembawang Central bersempena Festival Kesenian Sembawang.

Cik Nazirah berkata: “2025 merupakan SG60, dan saya bangga jadi warga Singapura. Apabila pemerintah buat aktiviti macam ini untuk semua peringkat umur, saya rasa mengapa tidak saya pun ambil bahagian?”

Beliau berharap dengan penyertaannya, anggota masyarakat Melayu lain akan terdorong dan memberanikan diri untuk keluar dari zon selesa dan cuba sesuatu yang baru.

Meskipun pernah berhasrat menyertai perbarisan di Padang, beliau tidak menemui kumpulan yang sesuai.

Maka apabila melihat iklan Kitchen Beats, beliau tahu ini peluang yang patut direbut. 

“Saya rasa, tak kisah kaum, agama, muda atau tua, kalau minat, cubalah. Kita semua warga Singapura,” ujar ibu tiga anak lelaki itu.

Saya mahu hidup saya berwarna-warni. Bukan sekadar tumpukan pada ibadah dan agama sahaja, tetapi kita juga perlu bersenam, berkarya dan melakukan perkara yang menggembirakan hati.
Cik Nazirah Majid.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg