Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura 21-59 tahun boleh tebus baucar SG60 mulai 22 Jul

Jul 22, 2025 | 4:28 PM
Singapura, baucar SG60
Baucar itu boleh digunakan di lebih 23,000 gerai penjaja dan perniagaan di kawasan perumahan, serta lapan rangkaian pasar raya. - Foto ST

Warga Singapura berumur antara 21 dengan 59 tahun pada 2025, boleh mula menebus baucar SG60 bernilai $600, mulai 22 Julai.

Baucar itu boleh ditebus di laman web go.gov.sg/sg60v dan sah digunakan hingga 31 Disember 2026, lapor The Straits Times (ST).

Ia boleh digunakan di lebih 23,000 gerai penjaja dan perniagaan di kawasan perumahan, serta di lapan rangkaian pasar raya dengan 400 cawangan di seluruh Singapura.

Lebih 915,000 warga Singapura berumur 60 tahun dan ke atas, iaitu lebih 83 peratus daripada keseluruhan 1.1 juta warga emas, telah menebus baucar SG60 bernilai $800 sejak Julai.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, dalam satu hantaran Facebook pada 22 Julai.

Beliau menyatakan bahawa adalah sangat menggalakkan melihat ramai warga emas mula menerima baucar digital itu.

Menurut beliau, setakat ini lebih $127.6 juta telah dibelanjakan.

Daripada jumlah itu, sekitar $76.6 juta dibelanjakan di gerai penjaja dan perniagaan berdekatan dengan kawasan perumahan, manakala lebih $51 juta lagi digunakan di pasar raya.

Senarai kedai yang menyertai program ini boleh didapati di pautan, go.gov.sg/sg60voucher.

Setiap warga Singapura yang layak juga akan menerima poskad SG60 yang direka khas, menampilkan enam karya unik oleh tujuh artis kelainan upaya, serta pesanan peribadi daripada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Baucar SG60 itu diumumkan bersama beberapa ganjaran lain oleh Encik Wong dalam ucapan Belanjawan pada 18 Februari, sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura. 

Menurut beliau, baucar itu bagi mengiktiraf sumbangan rakyat dan berkongsi hasil kemajuan negara.

Kaedah menebusnya sama seperti baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), iaitu secara digital menerusi wadah RedeemSG, dengan menggunakan Singpass. 

Ia boleh digunakan di semua perniagaan yang menerima baucar CDC, dengan $300 boleh digunakan di pasar raya, manakala baki $300 boleh digunakan di gerai penjaja dan perniagaan di kawasan perumahan.

Jumlah peruntukan pemerintah untuk baucar SG60 dianggarkan sebanyak $2.02 bilion.

“Baucar SG60 telah memupuk semangat kemasyarakatan yang kukuh, dengan individu daripada semua lapisan masyarakat bekerjasama membantu mereka yang memerlukan bantuan untuk menebus dan menggunakan baucar ini,” kata Cik Low.

Beliau turut menyatakan bahawa daya usaha itu turut disokong sukarelawan, duta digital dari Pejabat Digital SG, Duta CDC dan Duta Kesejahteraan Infokom Warga Emas.

Cik Low menggesa rakyat Singapura agar menyokong perniagaan tempatan di kejiranan masing-masing menjelang Hari Kebangsaan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar berhati-hati terhadap penipuan, dengan mengingatkan mereka bahawa tiada maklumat perbankan diperlukan untuk menebus baucar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg