Topik diikuti
Pergi ke BHkuAMP boleh pimpin usaha bantu Melayu/Islam bangun modal sosial
AMP boleh pimpin usaha bantu Melayu/Islam bangun modal sosial
AMP boleh pimpin usaha bantu Melayu/Islam bangun modal sosial
Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) seperti AMP Singapura boleh memimpin usaha menjalin hubungan dengan masyarakat Singapura yang lebih luas bagi membentuk rangkaian yang dapat menyokong masyarakat Melayu/Islam dalam membangunkan modal sosial, kata mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.
Kerjasama itu boleh dijalin dengan bukan hanya kumpulan Melayu tetapi juga kumpulan bukan Melayu, memandangkan masyarakat Melayu/Islam tidak mempunyai bilangan tinggi syarikat yang berjaya atau perniagaan yang besar.
Puan Halimah berkata demikian di sesi dialog semasa persidangan Tinjauan Masyarakat (CIR) 2026 pada 23 Mei, ketika menjawab soalan tentang cara mendampingi masyarakat lebih luas untuk pengiktirafan, sumber dan kerjasama.
Persidangan berjudul Melangkaui Pekerjaan Pertama: Mobiliti Sosial Belia, Keluarga dan Jantina itu dianjurkan oleh AMP Singapura dan sayap penyelidikannya, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima). Ia dihadiri 180 peserta dengan sekitar 50 peratus adalah belia dan karyawan muda.
Menjawab soalan itu, Puan Halimah berkata masyarakat Melayu/Islam menghadapi kekangan dalam bentuk kurangnya perniagaan dan ahli perniagaan yang sangat berjaya, tetapi masyarakat perlu mencari cara mengatasi kekangan itu.
“Kita mungkin tidak mempunyai begitu banyak syarikat Melayu yang berjaya atau perniagaan besar dan sebagainya, tetapi kita mempunyai Singapura secara keseluruhan. Bagaimanakah kita boleh memanfaatkan ini untuk membina rangkaian supaya mereka dapat menyokong kita dalam membangunkan modal sosial.
“Ada banyak langkah yang kita boleh ambil dan saya rasa AMP boleh membuka laluan bekerjasama dengan kumpulan lain, bukan hanya kumpulan Melayu tetapi juga bukan Melayu. Duduk dengan mereka dan fahami bagaimana mereka boleh membantu menyokong perkara ini, terutamanya dalam bidang yang anda rasa masih kurang penglibatan karyawan Melayu,” katanya.
Dalam jawapannya bagi soalan yang sama, Puan Halimah berkata masyarakat Melayu/Islam telah membuat kemajuan tetapi beliau mempersoalkan sama ada masyarakat berpuas hati dengan kemajuan itu apabila dibandingkan dengan kemajuan yang dicatat di peringkat nasional.
“Kita gembira dengan kemajuan tetapi kita tidak gembira dengan keadaan sedia ada. Kita mahu lihat bagaimana untuk maju, dan ini bermakna kita perlu melihat apakah jurang yang ada dan bagaimana menangani jurang itu,” kata Puan Halimah yang juga Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
“Di sini saya rasa AMP boleh melakukan lebih banyak lagi sebagai pemangkin, dalam segi membangunkan hubungan dan rangkaian itu,” tambahnya.
Dalam sesi dialog itu, Puan Halimah turut bercakap tentang kelayakan sebagai salah satu daripada banyak perkara yang diperlukan untuk seseorang itu menonjolkan diri mereka dan menjadi lebih berdaya kerja.
Beliau berkata ijazah, diploma atau sijil tetap penting tetapi ia hanya satu asas dan seseorang itu perlu menambah lapisan di atasnya dalam bentuk kemahiran dan pengalaman.
“Kita masih perlu memastikan bahawa kita mempunyai kelayakan peringkat permulaan tersebut. Tetapi semakin hari, masyarakat kita perlu beralih daripada itu dan mula mengiktiraf bahawa orang juga mempunyai pengalaman untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan, bukannya hanya melihat kepada kelayakan yang mereka miliki. Jadi, apa yang perlu kita lakukan? Jadikan diri kita dikenali (recognized),” katanya.
Selain mengikuti sesi dialog itu, peserta persidangan tersebut juga berpeluang mendengar penyampaian tentang pembangunan belia dan kerjaya oleh pengarah urusan Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari; tanggungjawab keluarga dan kemajuan kerjaya oleh profesor, jabatan kerja sosial, Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Irene Ng, serta jangkaan berasaskan jantina dalam hasil pendidikan dan pekerjaan oleh ketua pegawai eksekutif (CEO), Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), Cik Koh Yan Ping.
