Topik diikuti
Pergi ke BHkuPuan Halimah: Guna AI sebagai alat, usah diperalat
Puan Halimah: Guna AI sebagai alat, usah diperalat
Gesa pekerja agar tidak takut dengan teknologi baru; syarikat harus bertanggungjawab apabila ganti pekerja dengan AI
Puan Halimah: Guna AI sebagai alat, usah diperalat
Sedang penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjadi lebih meluas, pekerja perlu ingat bahawa teknologi itu hanya satu alat untuk menyokong dan bukan untuk menggantikan atau memperalatkan mereka.
Menyatakan demikian di sesi dialog semasa persidangan Tinjauan Masyarakat (CIR) 2026 pada 23 Mei, Mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, turut mengingatkan pekerja agar tidak berasa takut dengan teknologi baru itu hingga tidak dapat bertindak.
“(Banyak) teknologi yang telah kita gunakan, kita mahiri, dan ia tidak meniadakan pekerjaan atau kehidupan kita,” kata Puan Halimah.
“Sudah tentu, AI lebih transformatif, tetapi kita perlu memanfaatkan gelombang AI itu.
“Gunakannya sebagai alat, bukan kita yang menjadi alat kepada AI.
“Setelah kita memahiri dan memahami kesan dan kegunaannya, ia boleh menjadi alat yang baik untuk kita gunakan,” tambahnya.
Puan Halimah berkata demikian ketika menjawab soalan tentang landskap pekerjaan yang berubah-ubah dan kesannya ke atas belia, di persidangan tahunan anjuran AMP Singapura dan sayap penyelidikannya, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) itu.
Persidangan yang diadakan di Holiday Inn Singapore Atrium itu berjudul Melangkaui Pekerjaan Pertama: Mobiliti Sosial Belia, Keluarga dan Jantina.
Puan Halimah, yang juga Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata ramai orang takut dan risau tentang AI, terutama mereka yang mahu memasuki pasaran kerja dan khuatir tentang pekerjaan peringkat permulaan yang boleh diambil alih oleh AI.
Karyawan di pertengahan kerjaya pula khuatir bagaimana tugas mereka akan terjejas apabila AI diperkenalkan di tempat kerja mereka.
Bagi pekerja baru, Puan Halimah berkata terdapat skim pemerintah seperti latihan industri diperkenalkan di banyak syarikat, yang dapat memberi lulusan peluang meraih pengalaman yang diambil oleh AI.
Bagi karyawan di pertengahan kerjaya, Puan Halimah berkata syarikat mesti bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya menggantikan pekerja dengan AI.
“Syarikat perlu mempunyai perancangan, dan mempersiapkan tenaga kerja supaya mereka boleh, jika boleh, melakukan pekerjaan yang menghendaki teknologi AI.
“Jika tidak, bantu mereka membuat persiapan bagi pekerjaan baru, atau bantu mereka mencari alternatif dalam sektor lain,” katanya.
Puan Halimah berkata AI telah membawa manfaat yang besar, tetapi AI tidak boleh dibenarkan untuk menggantikan pekerja.
“AI adalah alat untuk kita. Jangan pula kita yang menjadi alat untuk AI. Jika setiap kali kita ada masalah dan kita menggunakan AI untuk mendapatkan jawapan, kita tidak lagi perlu berfikir sendiri. Ini akan memberi kesan kepada keupayaan kita untuk membuat penaakulan (rationalize), menganalisis, serta berfikir secara logik dalam jangka panjang,” katanya.
