Tahun 2025 melabuhkan tirainya sebagai satu tempoh yang penuh peristiwa, baik di peringkat global mahupun domestik.
Daripada kepulangan President Donald Trump ke Rumah Putih yang menggoncang dunia sehingga membawa kita ke ambang peraturan dunia baru, sambutan penuh bermakna kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), hinggalah kepada Pilihan Raya Umum (GE) yang memberikan mandat jelas kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan kepimpinan 4G, Singapura terus teguh berdiri sebagai sebuah negara yang pragmatik dan berjiwa besar.
Dalam episod ke-27 podcast Berbual terbitan Berita Harian (BH), dua tokoh pemikir setempat – Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, dan Anggota Majlis Penyelaras Harmony Circle yang juga Ahli Lembaga Institut Timur Tengah (MEI), Encik Fazlur Rahman Kamsani – telah mengupas detik-detik penting ini dan kesannya terhadap masa depan negara.
Permulaan tahun 2025 menyaksikan dunia bersedia menghadapi gelombang kedua pentadbiran Presiden Trump.
Langkah beliau memperkenalkan ‘Liberation Day’ dan tarif timbal balik (reciprocal tariffs) pada April lalu bukan sekadar isu ekonomi, tetapi satu cabaran terhadap peraturan dunia sedia ada yang dibangunkan sejak Perang Dunia Kedua.
Dalam keadaan peraturan dunia baru itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyifatkan Singapura sebagai ‘Canary in the Coal Mine’.
Istilah Inggeris itu menjelaskan bagaimana pada masa dahulu, pelombong membawa burung kenari ke dalam lombong semasa bekerja. Sekiranya ada gas beracun, burung kenari itu akan mati sekali gus memberi amaran kepada para pelombong yang sedang bekerja.
Justeru, bak burung kenari, Singapura adalah antara negara pertama yang terjejas dengan pendekatan perdagangan baru dalam dunia multipolar hari ini.
Encik Fazlur Rahman menyifatkan dasar tarif Presiden Trump itu sebagai menjadikan perdagangan ibarat “senjata” dengan berprinsipkan satu pihak lebih untung dari pihak lain, bukan berteraskan semangat sama-sama menang atau “win-win”.
Ketegangan antara dua kuasa besar – Amerika dan China – juga merumitkan keadaan, dengan China pesat membangun dan Amerika gigih untuk memastikan dominasinya kekal.
Justeru, sebagai ekonomi terbuka, Singapura tidak mempunyai pilihan selain mempelbagai rakan dagangannya.
“Singapura kini melihat kepada pasaran di Afrika dan Latin Amerika. Kita tidak mahu terjebak dalam arus konfrontasi antara Amerika dengan China,” ujar beliau sambil menegaskan kepentingan negara adalah muktamad.
Sehubungan dengan itu, Encik Mohamed Imran mengingatkan masyarakat agar memahami kebergantungan Singapura kepada pasaran antarabangsa.
Beliau menyarankan agar usahawan Melayu memanfaatkan “sumber dalaman” seperti persamaan budaya dan bahasa untuk menembusi pasaran serantau ASEAN, selain meneroka destinasi baharu seperti Asia Tengah.
Isu Palestin terus menjadi denyut nadi yang menguji emosi rakyat Singapura, terutama masyarakat Melayu/Islam.
Di sebalik konflik yang berpanjangan, masyarakat Melayu/Islam Singapura telah menunjukkan kematangan yang luar biasa.
Encik Mohamed Imran melahirkan rasa bangga terhadap reaksi masyarakat yang tenang dan tidak bersifat ‘reaksioneri’ atau reactionary terhadap provokasi luar, termasuk ketika timbulnya insiden antisemitisme di peringkat global akibat kekejaman Israel ke atas penduduk Gaza dan Palestin.
Ketenangan yang sama turut dipamerkan semasa Masjid Al-Istiqamah menjadi mangsa kiriman bungkusan yang mengandungi daging babi pada September, ujar beliau.
“Solidariti antara kaum dan agama, dan menolak kebencian dari berakar, adalah benteng kita,” kata Encik Mohamed Imran.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat harus menolak ‘victimhood mentality’ atau mentaliti bahawa mereka adalah mangsa yang dipermainkan pihak luar untuk memecah-belahkan rakyat.
Encik Fazlur pula menekankan kepentingan membezakan antara dasar politik Israel dengan penganut agama Yahudi secara amnya.
Beliau mendedahkan bahawa melalui sesi dialog Harmony Circle, keharmonian di Singapura tetap utuh kerana rakyat memahami bahawa sebarang tindakan yang menjejas satu agama sebenarnya menjejas semua rakyat Singapura.
Sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura tahun ini dilengkapi dengan pendedahan Fail Albatross atau The Albatross File, dokumen yang merakam detik-detik genting perpisahan Singapura daripada Malaysia.
Menurut Encik Imran, dokuman yang tidak lagi dirahsiakan itu tidak harus dilihat sebagai percubaan mengungkit luka lama, tetapi sebagai lapisan baru kepada pemahaman detik perpisahan Singapura dengan Malaysia, yang releven dengan keadaan negara hari ini.
Bagi generasi muda terutamanya, yang membesar dalam kemakmuran, pendedahan tersebut memberi penekanan mengenai “seni rundingan” dan kelangsungan Singapura dalam satu era baru.
Encik Mohamed Imran berpendapat naratif sejarah ini penting agar generasi muda juga menyedari bahawa kemakmuran hari ini tidak datang secara kebetulan, tetapi hasil kerja keras generasi terdahulu yang menolak politik perkauman dan komunalisme.
Encik Fazlur menambah bahawa model Singapura sebagai “negara sekular yang berjiwa” (secular state with a soul) membolehkan setiap penganut agama mengamalkan kepercayaan masing-masing sambil menghormati kepercayaan agama masyarakat lain.
“Hubungan dengan Malaysia juga kini dilihat melalui lensa kerjasama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Ini adalah tunggak prinsip Singapura iaitu “prosper thy neighbour” atau memperkayakan jiran anda, kerana kita menyedari kemakmuran kita terikat dengan kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” ujar beliau.
Pilihan Raya Umum 2025 menyaksikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mendapat mandat kukuh dengan 65.5% undi. Namun, apa yang lebih menarik adalah penolakan jelas pengundi terhadap politik populisme.
Memberi pemerhatiannya, Encik Mohamed Imran berkata bahawa calon atau parti yang hanya mempermainkan sentimen tanpa idea konkrit yang serius telah ditolak oleh pengundi yang semakin pragmatik.
“Pengundi mahu melihat Anggota Parlimen (AP) yang rajin turun ke padang dan boleh menyelesaikan masalah mereka sama ada di peringkat perbandaran ataupun menerusi dasar di peringkat nasional, bukan sekadar pandai bercakap di Parlimen,” jelas beliau.
Mengenai politik identiti yang menjadi antara tumpuan semasa GE2025, Encik Fazlur memberi gambaran bahawa jelas rakyat menyedari dan mahukan seorang pemimpin di Singapura menjadi wakil untuk semua kaum, bukan hanya untuk kaumnya sendiri.
“Justeru, walaupun calon dan AP Melayu/Islam memperjuangkan isu masyarakat Melayu/Islam, ia harus dilakukan dalam kerangka kepentingan nasional,” tegas Encik Fazlur.
Tahun 2025 juga membawa perubahan penting dalam kepimpinan masyarakat.
Pelantikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam dilihat sebagai langkah untuk mendekati masyarakat Islam dengan lebih baik, bagi memahami keprihatinan dan aspirasi yang semakin rencam.
Pengumuman besar seperti pembinaan Kolej Pengajian Islam Singapura (SIC) di Rochor dengan kerjasama Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) disambut baik sebagai usaha melahirkan asatizah yang memahami konteks masyarakat majmuk Singapura.
Namun, bagi Encik Mohamed Imran, kemajuan masyarakat Melayu tidak harus terhad kepada sektor politik dan agama sahaja.
Beliau menyeru agar masyarakat mengiktiraf dan melabur dalam tokoh-tokoh dalam bidang sains, teknologi, kebudayaan, dan sukan.
“Kita harus berasa teruja dengan kejayaan anak muda kita dalam pelbagai sektor. Jangan hanya melihat masyarakat kita melalui lensa masalah atau ‘ekstremisme’. Kita punya potensi besar di luar sektor yang kita sering selesa,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg