Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal umum lima bidang tumpuan masyarakat Melayu/Islam

Keluarga; Banduan dan Keluarga; Belia; Pekerjaan dan Daya Kerja; dan Kesihatan Masyarakat
Aug 30, 2025 | 12:00 AM
Singapura, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Wisma Geylang Serai, masyarakat Melayu/Islam
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam wawancara bersama media pada 27 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas peranan selaku pemangku menteri, di Wisma Geylang Serai. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah mengumumkan bidang tumpuannya bagi masyarakat Melayu/Islam serta penjawat politik yang akan menerajui usaha tersebut.

Usaha membangunkan rangka kerja baru untuk memupuk kerjasama lebih mendalam dengan badan-badan Melayu/Islam dan kumpulan tidak rasmi juga sedang dijalankan, kata beliau.

Lima bidang tumpuan itu – yang selaras dengan usaha yang dijalankan pada penggal pemerintah lalu – ialah Keluarga; Banduan dan Keluarga; Belia; Pekerjaan dan Daya Kerja; dan Kesihatan Masyarakat.

Dua bakal penjawat politik, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dan AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, masing-masing diberi kepercayaan menerajui bidang tumpuan Keluarga dan Belia.

Dr Syed Harun, seorang doktor pakar psikiatri yang bertanding dan menang buat kali pertama di Pilihan Raya Umum 2025 (2025) pada Mei lalu, dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), mulai 1 Oktober 2025.

Encik Zhulkarnain, seorang peguam, pula akan memegang jawatan sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, pula akan menerajui dua bidang tumpuan.

Selain bidang tumpuan Kesihatan Masyarakat, Cik Rahayu akan menerajui bidang tumpuan Belia bersama Dr Syed Harun.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang baru dilantik menjadi AP pekerja, akan menerajui bidang tumpuan Pekerjaan dan Daya Kerja.

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), akan menerajui bidang tumpuan Banduan dan Keluarga.

Mengumumkan perkara itu di wawancara bersama media pada 27 Ogos, Dr Faishal berkata meskipun bidang tumpuan yang diumumkan bukan baru – bidang tumpuan tersebut adalah sebahagian daripada rangkaian M Kuasa Tiga (M³) yang digerakkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa beliau menggalas jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam – program dan inisiatif yang telah dijalankan masih relevan dan adalah amat penting untuk masyarakat, dan oleh itu harus diteruskan.

Selain bidang tumpuan utama, Dr Faishal berkata beliau dan Dr Syed Harun juga akan menerajui Projek Dian, yang menyokong keluarga yang menetap di flat sewa.

Dr Syed Harun juga digandingkan dengan Cik Rahayu untuk menyelaraskan kegiatan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

Mengulas lebih lanjut mengenai peranan yang bakal digalas dua bakal penjawat politik baru, iaitu Encik Zhulkarnain dan Dr Syed Harun, Dr Faishal berkata:

“Saya sudah mengenali mereka dari dulu lagi... ada yang telah bekerjasama dengan kami sejak berkecimpung dalam kerja sukarelawan.

“Seperti Encik Zhulkarnain, kita tahu beliau ambil berat tentang soal kekeluargaan, oleh itu tepat bagi beliau memikul tanggungjawab mengukuhkan ataupun memberi ruang pembangunan dalam perkahwinan dan keluarga.

“Dr Syed Harun pula ada pendedahan bukan saja dalam mendekati masyarakat, kerana beliau daripada salah sebuah MMO. Pada masa yang sama, beliau juga selesa dengan golongan belia. Justeru, saya rasa padan bagi beliau memikul tanggungjawab yang diberikan.”

Berhubung kerjasama dengan badan Melayu/Islam serta kumpulan tidak rasmi yang dimulakan oleh warga di peringkat akar umbi, Dr Faishal menekankan lagi hasrat beliau untuk membangunkan sebuah rangka kerja baru yang dapat menggembleng sumber dan sinergi untuk menyokong masyarakat.

Ini melebihi kerjasama yang sedia ada bersama agensi lain seperti PA Mesra, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Yayasan Mendaki.

“Ada antara MMO ini telah wujud sebelum kemerdekaan negara kita dan telah menjalankan kegiatan teras mereka selama berdekad lamanya. Ada yang baru, tetapi dapat menyepadukan diri dalam persekitaran keseluruhan.

“Dan ada pula kumpulan tidak rasmi tetapi dapat memperkasa anggota mereka dan menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

“Di sinilah, saya ingin membangunkan sebuah platform lebih luas bukan hanya untuk menggembleng sinergi, namun juga sumber yang kita ada di dalam negara dan terutamanya untuk membangunkan masyarakat Melayu/Islam,” kata beliau, sambil menambah bahawa meski tiada butiran lanjut pada masa ini, proses tersebut tidak akan mengambil masa terlalu lama.

Dalam pada itu, Dr Faishal berkata pihaknya masih meneroka beberapa cara baru untuk mendekati masyarakat demi mendapatkan idea dan maklum balas.

Sementara itu, Dr Faishal berkata beliau dan para AP Melayu/Islam lain tetap giat ‘turun padang’ untuk mendengar keprihatinan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg