Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asatizah perlu upaya tangani isu kompleks, kekalkan keharmonian

Biasiswa Muis diperkenal, lengkapi Biasiswa Syed Isa Semait dalam bangun bakat kepimpinan di institusi kemasyarakatan
Jul 9, 2025 | 8:58 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, meraikan penerima Biasiswa Syed Isa Semait, Cik Nusaybah Muhammad (dua dari kiri); Cik Sharifah Basri (lima dari kiri); dan Encik Ahmad Musaddiq Samadi (dua dari kanan) di samping empat penerima pertama Biasiswa Muis, Encik Solihin Zainal (tiga dari kiri); Encik Muhammad Ammar Zaid (empat dari kiri), Cik Saqina Qamilia Suwandi (empat dari kanan), dan Cik Nur Asyifa Muhamed Amin (tiga dari kanan). 
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, meraikan penerima Biasiswa Syed Isa Semait, Cik Nusaybah Muhammad (dua dari kiri); Cik Sharifah Basri (lima dari kiri); dan Encik Ahmad Musaddiq Samadi (dua dari kanan) di samping empat penerima pertama Biasiswa Muis, Encik Solihin Zainal (tiga dari kiri); Encik Muhammad Ammar Zaid (empat dari kiri), Cik Saqina Qamilia Suwandi (empat dari kanan), dan Cik Nur Asyifa Muhamed Amin (tiga dari kanan).  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Asatizah perlu berupaya menangani isu sosial yang kompleks sambil mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama seperti Singapura, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ini di samping perlunya asatizah mempunyai keupayaan mendekati generasi muda, tambah beliau.

“Asatizah kita perlu berupaya membimbing masyarakat Islam Singapura untuk mengamalkan agama mereka dengan yakin dalam masyarakat moden dan majmuk hari ini.

“Ini bukan sahaja memerlukan ilmu teologi yang mendalam, tetapi juga keupayaan untuk mendekati generasi muda dengan cara yang bermakna sambil mengekalkan tradisi dan menghormati ibu bapa,” kata beliau yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Dr Faishal berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Majlis Anugerah Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) dan Biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada 9 Julai.

Di bawah SISS, seramai tiga pelajar madrasah setempat menerima sehingga $240,000 setiap seorang bagi pengajian di peringkat sarjana muda dalam pembelajaran Islam.

Mereka berpeluang melanjutkan pengajian di universiti antarabangsa.

Sementara itu, Biasiswa Muis yang diberi buat kali pertama menyaksikan seramai empat penuntut madrasah setempat menerima sehingga $120,000 setiap seorang bagi peringkat sarjana muda.

Biasiswa SISS bertujuan memperkukuh barisan kepimpinan bagi institusi Islam utama seperti Muis, Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), manakala Biasiswa Muis pula memberi tumpuan kepada pembangunan bakat bagi institusi kemasyarakatan, seperti masjid dan madrasah.

Biasiswa baru itu, justeru itu, melengkapi Biasiswa SISS dalam membangun pemimpin merentas sektor berbeza bagi berkhidmat kepada masyarakat.

Sementara itu, semasa berucap di majlis tersebut, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menyuarakan harapan agar penerima biasiswa menjadi teladan kepada anggota masyarakat dengan mendukung nilai seperti belas ihsan.

Beliau berkata: “Saya berharap para penerima biasiswa hari ini akan menjadi contoh teladan dalam mengimbangi ilmu, nilai dan kepimpinan, serta menjadi inspirasi kepada masyarakat pada masa depan.”

Dalam ucapannya itu, Dr Nazirudin turut mengenang jasa ulama terbilang dan pemimpin agama, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, mantan Mufti yang meninggal dunia pada 7 Julai.

Sungguhpun akur penerima biasiswa akan menempuh kehidupan dalam suasana dan cabaran berbeza, beliau berkata semangat yang ditonjolkan tokoh terdahulu seperti Allahyarham Ustaz Syed Isa diharap dapat “kekal bersinar dengan penuh kebanggaan dan kebijaksanaan”.

“Ini sejajar dengan usaha kita untuk menelusuri jejak langkah yang berteraskan keseimbangan dan belas ihsan dalam khidmat kepada masyarakat, negara dan ummah,” tambahnya.

Selain Dr Nazirudin, antara yang hadir semasa acara tersebut termasuk Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman, dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.

Empat penerima pertama Biasiswa Muis ialah pelajar madrasah setempat, Cik Saqina Qamilia Suwandi, Encik Solihin Zainal, Cik Nur Asyifa Muhamed Amin dan Encik Muhammad Ammar Zaid.

Encik Solihin dan Cik Saqina Qamilia merupakan lulusan Madrasah Wak Tanjong, manakala Encik Muhammad Ammar dan Cik Nur Asyifa merupakan lulusan Madrasah Aljunied.

Mereka dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, potensi kepimpinan, serta komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Penerima Biasiswa Muis ini dikehendaki menjalani tempoh ikatan biasiswa selama tiga tahun.

Cik Saqina Qamilia, 20 tahun, yang merupakan penuntut Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, berkata:

“Walau setinggi mana ilmu kita, penting untuk kekal berdisiplin, ingat asal usul dan terus berusaha memberi yang terbaik dalam apa jua keadaan.”

Beliau berazam melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan syariah dengan tumpuan kepada pembangunan keluarga Singapura. 

Biasiswa SISS pula diberikan kepada Cik Sharifah Basri bagi 2024, Cik Nusaybah Muhammad dan Encik Ahmad Musaddiq Samadi, bagi 2025.

Ketiga-tiganya adalah lulusan Madrasah Aljunied.

Cik Nusaybah, 19 tahun, berkata: “Biasiswa ini, lebih-lebih lagi dengan nama besar seperti Allahyarham Ustaz Syed Isa, datang dengan satu tanggungjawab yang amat berat.

“Saya sedar bahawa ini merupakan satu amanah besar. Buat masa ini, tumpuan saya adalah untuk menimba ilmu sebaik mungkin.

“Apabila sampai waktunya untuk saya berkhidmat, saya ingin melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg