Ascott dan pemaju Malaysia, Coronade Properties, telah menandatangani perjanjian pengurusan hotel penting pada 8 Ogos untuk Coronation Square di Johor Bahru - projek hospitaliti utama pertama di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pembangunan itu akan menampilkan hotel lima bintang baru, Ascott Coronation Square, yang disepadukan dengan pusat beli-belah, di Ibrahim International Business District (IIBD).
Ia akan mempunyai hubungan langsung dengan stesen Sistem Transit Laju (RTS) di Bukit Chagar.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan berkata Institut Pengajian Tinggi (IHL) dari Singapura dan Johor akan bekerjasama untuk meningkatkan kemahiran pekerja.
Diadakan di Capital Tower di Tanjong Pagar, majlis pemeteraian perjanjian disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Encik Tan.
Ia dimeterai Ketua Pegawai Pertumbuhan Ascott, Cik Serena Lim dan Pengarah Perhubungan Korporat Coronade Properties, Datin Paduka Alinah Ahmad.
Berucap semasa majlis pemeteraian itu, Encik Tan berkata: “IHL kami, seperti Politeknik Singapura (SP), sudah pun bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Kemahiran Johor dan IHL di Johor untuk memastikan pekerja di Johor dan Singapura dilengkapi dengan kemahiran untuk merebut peluang pekerjaan ini.”
Menyifatkan perjanjian itu sebagai satu mercu tanda, Encik Tan berkata ia menyokong usaha yang lebih luas untuk mengeratkan hubungan rentas sempadan.
“Kami sedang menggabungkan elemen utama – perniagaan seperti Coronade dan Ascott; infrastruktur seperti RTS Link, dan tenaga kerja berkemahiran.
“Bersama-sama, ini akan menjamin kejayaan JS-SEZ,” katanya.
Ascott Coronation Square yang dijangka dibuka pada separuh kedua 2029 bakal mempunyai 207 bilik, dengan kemudahan seperti restoran, kolam renang, pusat kecergasan, ruang istirahat dan bilik mesyuarat.
Menurut Ascott dalam kenyataannya, demikian akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan hospitaliti, sejajar dengan pertumbuhan aktiviti rentas sempadan dalam bidang perniagaan, pelancongan dan pelaburan.
Projek itu akan menjadi yang pertama buat Ascott di Johor Bahru dan keenam di Malaysia, dengan jenama itu sudah beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Syarikat itu kini menguruskan lebih 40 hartanah di seluruh negara.
Coronation Square – pembangunan yang menempatkan hotel tersebut – dibina di atas tapak seluas 9.6 ekar (3.9 hektar) milik Coronade Properties.
Selain hotel, ia turut merangkumi kemudahan perubatan, pejabat, kediaman, serta sebuah pusat beli-belah seluas 1.2 juta kaki persegi.
Pembinaan Pusat Beli-Belah Coronation Square dijadual bermula pada 2026 dan dijangka siap menjelang 2030.
Ia turut dilengkapi kemudahan tempat letak kereta bawah tanah dengan sekitar 4,500 lot kenderaan, termasuk 700 lot yang dikhaskan untuk pengguna RTS.
Projek kediaman Coronade Twins yang terletak di seberang Menara 7 dan 8 dalam pembangunan itu pula dijadualkan untuk dilancarkan pada suku keempat 2025.
Menara Bank Rakyat Menara 5 telah siap dan sedia untuk dipajak.
Pusat kesihatan di Menara 3 sudah 80 peratus siap, manakala projek kondominium The Coronade Residences di Menara 4 sudah 30 peratus siap setakat ini.
Pembangunan itu dihubungkan secara langsung ke stesen RTS di Bukit Chagar dan kastam melalui laluan pejalan kaki bertingkat sepanjang 210 meter.
Ketua Pegawai Eksekutif The Ascott Limited dan Lodging di CapitaLand Investment, Encik Kevin Goh, berkata:
“Projek ini mencerminkan momentum kerjasama rentas sempadan yang semakin meningkat serta keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan rantau ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg