Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan Melayu/Islam boleh main peranan tambahan kerjasama dengan pemerintah, satukan masyarakat

Faishal mahu laksana tugas baru dengan pendekatan “penuh keihsanan”
Jun 5, 2025 | 6:00 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, bertemu media di kafe KopiCuts di Wisma Geylang Serai pada 4 Jun 2025.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, bertemu media di kafe KopiCuts di Wisma Geylang Serai pada 4 Jun 2025. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Badan-badan Melayu/Islam (MMO) mempunyai banyak peluang untuk memainkan peranan tambahan dan bekerjasama dengan agensi pemerintah serta rakan kongsi lain untuk menyatukan masyarakat.

Justeru, ini merupakan sesuatu yang mahu diteliti Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam usaha beliau mendekati lebih ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, termasuk golongan belia.

Bertemu media pada 4 Jun di kafe KopiCuts di Wisma Geylang Serai, Dr Faishal berkata tidak dinafikan, masyarakat Melayu/Islam sudah banyak mencapai kemajuan dari aspek pendidikan dan sosial.

Bahkan, sudah ramai yang turut meneroka kerjaya baru yang tidak pernah didengar pada masa dahulu – dan berjaya dalam kerjaya tersebut.

Ini bererti terdapat banyak kekuatan atau potensi yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

“Ini adalah satu aspek yang saya sedang menitikberatkan... bagaimana kita boleh meluaskan pendekatan kita bukan sahaja dengan M Kuasa Tiga (M³), tetapi bagaimana kita boleh meneruskan usaha untuk memberikan lebih banyak ruang kepada MMO juga untuk memainkan peranan.

“(Selain itu) bagaimana kita boleh bekerjasama dengan golongan profesional dan badan-badan informal supaya mereka juga ada peluang untuk memainkan peranan,” kata Dr Faishal.

Beliau turut menyatakan harapan melihat lebih banyak daya usaha yang dimulakan masyarakat sendiri melalui kerjasama ini.

Beliau memberi contoh program Bersamamu, sebuah inisiatif oleh kadi dan naib kadi untuk menyokong pasangan daripada sebelum mereka mendirikan rumah tangga sehingga dua tahun pertama perkahwinan mereka.

“Ini menunjukkan dengan sokongan pemerintah dan kerjasama yang boleh kita terapkan dalam masyarakat, kita boleh melakukan yang terbaik buat masyarakat kita,” ujarnya yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Menyentuh tentang golongan belia yang dianggap “sangat penting”, Dr Faishal berkata golongan itu bukan hanya patut didekati, diberi bantuan serta didampingi, malah adalah penting untuk berhubung dengan mereka agar “kita boleh berkongsi perjalanan ini bersama”.

“Mereka mahu didengar, mereka mahukan perbualan yang terbuka... dan saya mahu lakukan itu.

“Saya mahu menyediakan peluang, membangunkan platform bukan sahaja dalam masyarakat Melayu/Islam tetapi secara am agar mereka mempunyai peluang di peringkat nasional juga,” kata Dr Faishal.

Beliau mahu bekerjasama dengan Mendaki untuk meneroka bagaimana mereka dapat meluaskan lagi rangkaian serta melihat cara mempertingkatkan pementoran belia.

“Saya juga mahu melihat bagaimana MMO lain, misalnya 4PM (Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi Melayu ), boleh membantu memainkan peranan ini.

“Saya fikir MMO mempunyai banyak peluang memainkan peranan tambahan dalam beberapa aspek ini dan bekerjasama dengan agensi pemerintah dan juga pihak berkepentingan lain atau kumpulan tidak formal untuk menyatukan masyarakat,” tambah Dr Faishal.

Dalam temu bual tersebut juga, Dr Faishal, yang mula memikul tanggungjawab barunya itu hampir dua minggu lalu, berkongsi bahawa pendekatan yang akan beliau ambil adalah pendekatan yang “penuh keihsanan”.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata:

“Kerana saya mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita pun nak memperbaiki situasi kehidupan kita bersama.

“Kita maklum bahawa ada dalam kalangan masyarakat yang masih menghadapi cabaran. Justeru, pendekatan dengan keihsanan ini penting supaya kita boleh memahami mereka, kita boleh memberikan perangsang kepada mereka.

“Pendekatan keihsanan ini adalah satu aspek yang saya akan tonjolkan bersama rakan-rakan saya dan kakitangan yang turun padang untuk mendekati masyarakat kita.

“Kita mahu menjaga kemaslahatan mereka di mana dengan adanya pendirian seperti ini, tak kira siapa, mereka akan rasakan bahawa ada dalam kalangan kita yang tengok-tengok dan menjaga kemaslahatan mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg