Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan Melayu/Islam tingkat tawaran program, perluas sokongan sosial pada 2026

Manfaatkan AI untuk perbaiki mutu program, pergiat usaha dampingi belia
Dec 28, 2025 | 1:48 PM
4PM mengadakan program pembangunan belia seperti Frenz, program bimbingan khas untuk pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berisiko.
4PM mengadakan program pembangunan belia seperti Frenz, program bimbingan khas untuk pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berisiko. - Foto fail

Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) Singapura akan mempertingkatkan program dan meluaskan jangkauan sambil memastikan keperluan masyarakat yang berubah terus dipenuhi dalam tahun akan datang.

Ini termasuk menyediakan sokongan berterusan dari segi pendidikan, memperkukuh sokongan buat keluarga, dan menggalakkan masyarakat melengkapi diri dengan kemahiran baru seperti dalam kecerdasan buatan (AI).

Demikian rancangan yang dikongsi pemimpin MMO yang dihubungi Berita Harian (BH) sedang mereka merenung kembali pencapaian yang telah diraih hasil usaha mereka sepanjang 2025.

Menyentuh tentang aspek pendidikan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata Mendaki merai pencapaian apabila 22 peratus daripada golongan mahasiswa yang menerima Anugerah Mendaki mendapat Kepujian Kelas Pertama, menjadikan jumlah itu tertinggi dalam sejarah.

Pada November, ia juga menarik balik yuran pendaftaran $10 bagi Program Tuisyen Mendaki (MTP) bagi memastikan setiap kanak-kanak mampu mengakses sokongan akademik yang bermutu.

Encik Feroz berkata pada 2026, Mendaki akan memperkukuh sokongan peringkat awal untuk keluarga melalui program kesediaan prasekolah dan bengkel keibubapaan, menerapkan alat berkuasa AI ke dalam MTP, serta bekerjasama dengan lebih banyak rakan korporat dan individu untuk melancarkan skim biasiswa dan dermasiswa baru.

“Bersama NTUC LearningHub dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), kami akan melancarkan bengkel asas AI, sambil bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Pejabat Digital SG, SkillsFuture Singapore dan Workforce Singapore untuk membantu masyarakat Melayu/Muslim meneroka alat AI, menggunakan kredit SkillsFuture mereka untuk kursus AI, dan membina kemahiran digital yang penting untuk masa depan,” katanya.

Dalam memastikan kemajuan dalam pendidikan, MMO seperti Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM) giat memperkasa belia dengan program yang disasarkan kepada golongan itu.

Pengarah Eksekutif 4PM, Encik Didicazli Ismail berkata pada 2025, 4PM telah memperkenalkan AI dalam program pementoran FRENZ bagi membantu pelajar merancang matlamat serta hala tuju kehidupan mereka dengan lebih jelas dan terarah.

Dalam pada itu, ia turut memperkukuh usaha mempertingkat penyampaian bantuan dan sokongan sosial kepada keluarga yang memerlukan, dengan pertubuhan itu menyaksikan jumlah penerima bantuan tertinggi pada 2025.

Ini lantas mencerminkan kepercayaan serta keperluan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh 4PM, kata Encik Didicazli.

Menjelang 2026, beliau berkata 4PM akan memberi penekanan terhadap sokongan lebih tertumpu dan berterusan kepada keluarga dan belia.

“4PM juga akan menumpukan usaha untuk membina hubungan jangka panjang dengan keluarga yang disokong, melalui intervensi yang lebih konsisten, tertumpu dan berperingkat. Pendekatan ini bertujuan memastikan sokongan yang diberikan bukan sekadar bersifat sementara, tetapi mampu membantu keluarga dan belia membina kestabilan serta daya tahan dalam jangka panjang,” kongsinya.

Bagi MMO seperti PPIS pula, menaikkan kedudukan golongan wanita dalam masyarakat terus menjadi salah satu tonggak utama badan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam berkata usaha kolektif mereka sangat penting dalam memperkukuh keluarga, meningkatkan kedudukan wanita dan memupuk generasi seterusnya.

Pada 2025, PPIS, antara lain mengadakan inisiatif ‘Empowering Voices’ yang bertujuan memupuk kepimpinan, keyakinan dan penglibatan masyarakat dalam kalangan wanita serta usaha mengumpul dana ‘Walk With Women’.

Cik Aidaroyani berkata pada 2026, mereka akan terus membina di atas hasil usaha mereka dengan meningkatkan kepimpinan dan perwakilan wanita dalam perbincangan kemasyarakatan.

Ini selain memperkukuh daya tahan keluarga menerusi amalan berdasarkan data dan sokongan bersepadu, melabur dalam kreativiti belia dan kemahiran masa depan dengan kerjasama sekolah serta industri, dan mengembangkan kerjasama rentas sektor untuk meluaskan jangkauan, jelasnya.

Menyentuh tentang golongan karyawan, Pengarah Eksekutif, AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid berkata mereka menyaksikan peningkatan sebanyak 162 peratus dalam penglibatan karyawan dan bakal karyawan pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Ramai daripada mereka juga tampil ke hadapan untuk menyumbang kembali dan saling menyokong antara satu sama lain, kata Encik Mokhsin.

“Pada tahun mendatang, kami berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan golongan karyawan serta rakan-rakan masyarakat lain untuk mencapai matlamat jangka panjang kami iaitu memperkukuh kesejahteraan ekonomi masyarakat Islam melalui pendekatan impak kolektif.

“Pada masa yang sama, kami akan terus memperkemas operasi kami agar dapat bekerja dengan lebih cekap dan berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg