Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PPIS catat pencapaian bermakna, perluas kerjasama dan pemerkasaan komuniti sepanjang 2025

Bagi 2026, rancang perkukuh guna data, alat digital dan analitik pertingkat keberkesanan khidmat, terus tumpu sokong keluarga, kepimpinan wanita dan kerjasama rentas sektor
Dec 27, 2025 | 5:30 AM
Program ‘Empowering Voices’ diwujudkan sebagai wadah selamat dan inklusif, membolehkan wanita berkongsi serta berdialog secara terbuka dan autentik mengenai pelbagai cabaran kehidupan, termasuk aspirasi kerjaya, kebebasan kewangan dan pembentukan identiti diri.
Program ‘Empowering Voices’ diwujudkan sebagai wadah selamat dan inklusif, membolehkan wanita berkongsi serta berdialog secara terbuka dan autentik mengenai pelbagai cabaran kehidupan, termasuk aspirasi kerjaya, kebebasan kewangan dan pembentukan identiti diri. - Foto PPIS

Tahun 2025 menyaksikan PPIS melaksanakan pelbagai inisiatif penting, disamping meraih pencapaian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam, berkata: “Tahun 2025 menandakan fasa yang lebih mantap bagi PPIS. Selain memperkukuh perkhidmatan sedia ada, kami turut menyumbang secara aktif dalam membentuk wacana sosial dan pembangunan masyarakat yang bersedia menghadapi masa depan.

“Tumpuan kami jelas – mengintegrasikan sokongan berteraskan nilai dengan pelibatan komuniti, penyelidikan serta pendekatan berasaskan data bagi mencapai hasil bermakna untuk wanita, kanak-kanak dan keluarga.”

Terdapat beberapa pencapaian utama PPIS yang mencerminkan pendekatan ini.

Cik Aidaroyani menerangkan: “Antara pencapaian utama kami ialah pengukuhan kerjasama strategik, seperti Memorandum Persefahaman (MOU) kami dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) bagi memajukan amalan perkhidmatan sosial berasaskan bukti.

“Kami juga terlibat secara aktif di platform nasional dan antarabangsa, termasuk Meja Bulat Pasca-Cedaw (Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan pelibatan global dalam amalan berasas trauma, bagi memastikan perspektif tempatan diwakili secara bermakna.”

PPIS juga aktif mendekati belia.

Cik Aidaroyani berkata: “Belia membesar dalam persekitaran digital yang semakin kompleks, memerlukan bimbingan untuk berfikir secara kritis serta membuat pilihan yang bertanggungjawab. Pada 2025, PPIS menganjurkan bersama Forum Belia ACG 2025 dengan Kumpulan Jagaan Antara Agensi (ACG), yang memberi tumpuan pada perlindungan belia dalam era digital.

“Dengan tema Logged In, Tuned Out, forum ini menekankan kepentingan pemikiran kritis dalam menangani radikalisasi dalam talian, naratif perpecahan dan kandungan berbahaya.”

Berkaitan peranan PPIS dalam landskap perkhidmatan keluarga nasional, beliau berkata: “PPIS berbesar hati diiktiraf sebagai Agensi Keluarga (FAM) ke-11 di Singapura – satu pengiktirafan bagi pendekatan kami yang berteraskan keluarga, bersifat pencegahan dan holistik.

“Peranan ini mencerminkan sumbangan semasa kami, serta kesediaan PPIS membentuk perkhidmatan keluarga bersepadu yang bersedia menghadapi masa depan.”

Dalam bidang pemulihan dan kesejahteraan sepanjang 2025, Cik Aidaroyani berkata: “Melalui Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu Islam (MMORN) yang ditubuhkan untuk mempertingkat sistem sokongan bagi mereka yang terjejas oleh penyalahgunaan dadah dan akibat dipenjarakan, kami bekerjasama rapat dengan pertubuhan Melayu Islam bagi memastikan individu dan keluarga menerima bantuan terselaras, tepat pada masanya dan berasaskan keperluan.”

“Bagi memenuhi satu lagi komitmen dalam perkhidmatan keluarga, kami memperkukuh keluarga melalui sumber yang disesuaikan dan pelibatan komuniti melalui pelancaran buku My Socks and I: A Story About Remarriage and Stepfamily, yang mengetengahkan pengalaman sebenar keluarga tiri secara empati serta membantu meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap cabaran dan harapan dalam mencapai kestabilan keluarga,” ujarnya.

Cik Aidaroyani menambah: “Di PPIS, penyampaian perkhidmatan dan advokasi berjalan seiring. Melalui pelibatan Pasca-Cedaw, kami memudahkan cara dialog bersama institusi keagamaan dan rakan komuniti mengenai isu struktur yang memberi kesan kepada wanita Muslim.

“Siri Empowering Voices (EV) merupakan inisiatif utama PPIS RED (Jabatan Penyelidikan & Pelibatan) untuk memupuk kepimpinan, keyakinan diri dan penyertaan komuniti dalam kalangan wanita muda melalui bimbingan, pelibatan rakan sebaya dan dialog antara generasi.

“Bersifat inklusif dan sekular, EV menyediakan ruang selamat bagi perbincangan tulen mengenai cabaran seperti aspirasi kerjaya, kebebasan kewangan dan identiti diri.”

PPIS juga kekal aktif sepanjang Ramadan dan Hari Raya pada 2025.

“Melalui Kempen Ihsan Ramadan PPIS, kami bekerjasama dengan syarikat korporat, perusahaan sosial dan pemimpin komuniti untuk menyokong keluarga dan wanita. Usaha-usaha ini melangkaui bantuan semata-mata – ia memberi tumpuan pada pemerkasaan dengan menyokong wanita, usahawan sosial dan keluarga secara menyeluruh,” jelas Cik Aidaroyani.

Memandang ke hadapan, beliau berkata: “Bagi 2026, PPIS akan memperkukuh penggunaan data, alat digital dan analitik bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kami. Kami akan terus memberi tumpuan pada sokongan keluarga, pembangunan kepimpinan wanita dan kerjasama merentas sektor bagi membina masyarakat berdaya tahan.”

Cik Aidaroyani menambah: “PPIS kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat dalam menyokong wanita dan keluarga pada setiap peringkat kehidupan. Melalui empati, kerjasama dan tujuan selari, kami percaya kita mampu membina masa depan lebih kukuh bagi semua.”

SEKILAS:

Kepada anda yang ingin menderma kepada PPIS, sila klik pautan: https://ppis.sg/donate/

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg