Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahasa Melayu lambang jati diri S’pura, perpaduan rakyat

PM Wong: Pemerintah kekal komited sokong pembangunan bahasa, budaya Melayu
Aug 29, 2025 | 9:30 PM
Singapura, Bulan Bahasa, bahasa Melayu, Lawrence Wong, Duta Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, MBMS
Semasa pelancaran Bulan Bahasa 2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kanan), menegaskan komitmen pemerintah dalam menyokong pembangunan bahasa dan budaya Melayu di Singapura. Bersamanya ialah (dari kiri) Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Duta Bahasa 2025, aktivis seni dan teater, Hidayat Nordin; pelakon dan usahawan, Izyan Mellyna; dan pelajar Institusi Raffles (RI), Fatih Hamdani Muhammad Effendy; serta Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa 2025, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. - Foto MBMS

Kedudukan bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri negara serta memupuk keharmonian antara kaum, dan pemerintah kekal komited menyokong pembangunan bahasa serta budaya Melayu di Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berucap semasa pelancaran Bulan Bahasa 2025 yang diadakan di Mediacorp, Encik Wong berkata kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melambangkan warisan budaya dan sejarah yang dikongsi bersama dalam membentuk jalinan masyarakat majmuk Singapura.

Encik Wong berkata: “Di Singapura, kedudukan bahasa Melayu sangat istimewa sebagai bahasa kebangsaan kita dan salah satu daripada empat bahasa rasmi kita.”

Menurut beliau, meskipun bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam urusan seharian dan di tempat kerja, bahasa ibunda tetap menjadi tunjang kepada semangat kekitaan dan akar budaya setiap masyarakat. 

“Kita mungkin menggunakan bahasa Inggeris di tempat kerja, tetapi kita tetap orang Timur. 

“Kita tak mahu perbezaan ini memisahkan kita. Sebaliknya, kita mencari titik persamaan. Kita bersatu padu sebagai satu rakyat,” ujar beliau.

Justeru, Encik Wong berkata pemerintah akan terus menyokong usaha untuk mempromosikan budaya dan bahasa Melayu. 

“Kami juga akan memastikan bahasa ibunda lain terus berkembang sekaligus menjadi sumber kebanggaan generasi akan datang,” ujar beliau.

Encik Wong melihat Bulan Bahasa sebagai antara usaha yang meraikan bahasa, sastera serta budaya Melayu melalui pelbagai kegiatan yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

“Usaha-usaha ini penting kerana warisan budaya merupakan sebahagian daripada jati diri kita,” jelas beliau.

Bagi Encik Wong sendiri, beliau mempelajari bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mendekati masyarakat Melayu.

Beliau mula mempelajari bahasa Melayu secara lebih serius setelah menyertai politik, dan kini sebagai Perdana Menteri, beliau “bertekad mempertingkatkan penguasaan bahasa itu agar dapat menyampaikan mesej secara langsung dan berkesan”.

Akur bahawa usaha mempelajari bahasa tersebut memerlukan banyak masa dan latihan, beliau bertekad untuk melakukan yang terbaik.

Tidak kira di peringkat nasional atau individu, Encik Wong menggesa orang ramai untuk terus mendukung usaha sedemikian “demi membawa Singapura maju ke hadapan”.

Bulan Bahasa 2025 dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dari 16 Ogos hingga 12 Oktober.

Bertemakan ‘Cita, Citra, Cinta’, sambutan pada 2025 turut bertepatan dengan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60) dan memberi penekanan kepada nilai kekitaan serta kekayaan warisan budaya setempat.

Sepanjang tempoh ini, pelbagai program fizikal dan digital akan dijalankan, termasuk persembahan seni, forum belia, bengkel bahasa dan acara akar umbi, yang bertujuan menyemai semangat cinta terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg