Pada awal pagi 28 Jun, seorang pembantu paramedik berusia 22 tahun mengikat kasut lariannya, bukan hanya untuk melengkapkan perlumbaan lima kilometer, malah untuk berlari ke arah lembaran baru dalam hidupnya.
Pernah ditahan pada 2023 kerana kesalahan seperti vandalisme, Cik Shahnaaz Abdullah kini antara peserta perlumbaan lari, The Unlabelled Run 2025, yang berdiri sebaris dengan bekas pesalah lain yang ingin membuktikan mereka wajar diberi peluang kedua.
Perlumbaan tahunan itu, yang dianjurkan pertubuhan tidak meraih keuntungan, The New Charis Mission, dan disokong Reben Kuning Singapura (YRSG), memperjuangkan penghapusan label negatif terhadap bekas pesalah, belia berisiko dan golongan terpinggir lain.
Menyentuh tentang stereotaip, Cik Shahnaaz berharap orang ramai akan “berhenti menilai seseorang hanya berdasarkan rupa luar mereka”.
“Ada majikan yang terus menolak permohonan kerja apabila mereka tahu pemohon pernah ditahan. Tapi majikan tidak tahu cerita sebenar atau betapa seseorang itu benar-benar ingin berubah,” ujar Cik Shahnaaz selepas tamat perlumbaan itu.
Perlumbaan itu yang diadakan di OCBC Square, Hab Sukan Singapura, dirasmikan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga memulakan segmen larian 10 kilometer.
Segmen larian lima kilometer pula dimulakan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua.
Bertemakan ‘Drop the Label, See the People’, ia menyeru masyarakat agar tidak cepat menghukum, sebaliknya lebih memahami dan memberi peluang kedua kepada mereka yang ingin berubah.
Cik Shahnaaz, yang sebelum ini menjalani latihan reformasi selama hampir setahun di Pusat Latihan Pemulihan (RTC), berharap masyarakat lebih terbuka dan memahami kepada bekas pesalah.
“Stereotaip dan pelabelan wujud di mana-mana. Tetapi kadangkala orang gagal melihat bahawa bekas pesalah benar-benar berusaha untuk berubah... tiada siapa yang sempurna, jadi setiap orang berhak diberi peluang kedua.
“Saya berharap dapat bekerja dengan belia berisiko suatu hari nanti. Sebagaimana saya pernah lalui jalan itu, saya mahu bantu mereka pula,” katanya.
Selain bekas pesalah, pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) seperti Penolong Superintendan 1 (ASP1) M Saddiq Mohamad, turut mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.
Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Integrasi Semula Kanan, berpendapat perlumbaan itu bukan sekadar acara simbolik, malah satu wadah penting untuk membina keyakinan masyarakat dan menyokong pemulihan yang mampan.
“Menerusi acara ini, saya harap orang ramai faham yang belia ini tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan kesilapan masa lalu mereka.
“Mereka masih dalam proses membesar. Mereka pernah lakukan kesilapan tetapi mereka masih cari laluan hidup.
“Seperti orang lain, mereka juga berhak diberi peluang kedua untuk ubah hidup mereka,” jelas ASP1 Saddiq, 34 tahun.
Walaupun sudah membantu membimbing Pelatih Pemulihan (RT) selama empat tahun, beliau berkata stigma terhadap bekas pesalah masih wujud.
“Ramai belia ini datang daripada latar belakang yang rumit, ada yang tidak dapat sokongan keluarga atau kawan yang positif.”
“Bagi yang berjaya kembali ke dalam masyarakat, mereka mempunyai satu ciri penting, iaitu kemahuan untuk berubah. Ia mesti datang daripada diri mereka sendiri.
“Tetapi selain itu, mereka perlukan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan sokongan keluarga yang kukuh. Di sinilah kami cuba bantu mereka,” tegasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg