Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir setahun timba ilmu di menara gading, banduan tekad banggakan keluarga

Ceramah Tahunan Mufti kelima untuk banduan tumpu pada penerimaan takdir
May 7, 2025 | 8:39 PM
suss, banduan, penjara, belajar
‘Azhar’ bukan nama sebenar, sedang mengambil jurusan Sarjana Muda dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik, di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) sejak Julai 2024.   - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sejak membuat keputusan untuk menyambung belajar di penjara, Azhar (bukan nama sebenar), sering menenangkan anggota keluarganya dengan kata-kata jaminan dia tidak akan sia-siakan peluang memburu ilmu.

Mahasiswa jurusan ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), yang mengikuti pengajiannya sejak Julai 2024, berkata:

“Jangan risau, anggap saya sedang belajar di sekolah, dan bukan di penjara.”

Dia mengambil jurusan tersebut sambil menjalani hukuman penjara, atas kesalahan pemerasan dan penipuan dengan menyamar antara 2013 dengan 2015.

Walau demikian, ia bukanlah mudah untuknya ‘bersekolah’ di penjara.

Azhar, 34 tahun, memberitahu Berita Harian (BH), kali terakhir dia memegang pena untuk belajar ialah pada 2010, ketika mengambil kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

Mahasiswa tahun pertama itu menambah, sumber serta kebolehcapaian juga menjadi cabaran, memandangkan dia tidak mempunyai akses kepada Internet.

Namun, segala cabaran itu dapat diatasi dengan sokongan keluarga, pensyarah dan banduan lain.

Ia tidak menggentarkannya dek ingin membanggakan keluarga terutama sekali bagi memperingati arwah ayahnya.

“Bagi saya kembali memegang pena selepas 10 tahun, ia adalah sukar.

“Kami di sini juga tiada akses kepada Internet, maka untuk mendapatkan sumber seperti bahan kajian untuk tugasan sekolah kami agak terhad,” katanya.

Dia sering meminta bantuan pensyarah atau keluarga yang menziarahinya untuk membantunya mendapatkan maklumat di Internet.

Menurutnya, keluarganya akan mengirimkan butiran maklumat yang diperlukan melalui surat.

Dia juga kerap berbincang dengan banduan lain pada waktu malam untuk memperbaiki kerja sekolah masing-masing.

“Di sini, kami berikan 100 peratus kerana apa lagi yang boleh kami lakukan?” ujarnya.

Azhar ditangkap pada 2018 sebelum dijatuhkan hukuman penjara pada 2022. Dia dijangka dibebaskan pada 2031.

Sejak itu, dia tidak berputus asa dan bertekad untuk mencapai cita-cita ke menara gading.

Ketakutan terbesarnya ketika itu ialah pemergian ayahnya ketika dia berada di dalam penjara.

Arwah ayahnya meninggal dunia pada Februari 2024 setelah terjatuh di tandas dan mengalami serangan jantung ringan.

“Saya ingin banggakan arwah ayah saya.

“Jika beliau tahu apa yang saya sudah belajar, beliau mesti bangga,” katanya sambil tersenyum.

Azhar mempunyai dua kakak dan enam anak saudara, serta seorang ibu tiri.

Ibu kandungnya meninggal dunia pada 2013.

Menurutnya, sepanjang dia berada di dalam penjara, kakak dan anak saudaranya sering menziarahinya.

Banduan (dari kiri) Azhar dan Afiq, bukan nama sebenar, adalah antara sekitar 30 banduan yang menyertai Ceramah Motivasi Mufti tahunan kelima di Kompleks Penjara Tanah Merah pada 7 Mei 2025. 
Banduan (dari kiri) Azhar dan Afiq, bukan nama sebenar, adalah antara sekitar 30 banduan yang menyertai Ceramah Motivasi Mufti tahunan kelima di Kompleks Penjara Tanah Merah pada 7 Mei 2025.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Azhar merupakan antara 600 hadirin – terdiri daripada sekitar 30 banduan serta penghuni rumah tumpangan Jamiyah, Pertapis dan Rise Above – yang menyertai Ceramah Motivasi Mufti tahunan kelima di Kompleks Penjara Tanah Merah pada 7 Mei 2025.

Mereka menghadiri secara fizikal dan menerusi wadah Zoom.

Acara itu merupakan anjuran Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melalui Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah).

Turut hadir dalam ceramah tahunan itu adalah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, selaku tetamu terhormat.

Ceramah itu disampaikan oleh Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, bertajuk Memahami Takdir dan Memperkukuh Iman.

Tajuk itu dipilih berdasarkan maklum balas dan soalan yang dikumpulkan pihak penjara daripada banduan berkaitan penerimaan takdir Allah, kata Ustaz Dr Izal.

“Ceramah motivasi kepada banduan diadakan agar mereka tidak tinggalkan masyarakat… serta cetus harapan cerah untuk mereka apabila mereka dibebaskan.

“Bimbingan agama boleh bantu banduan bina kompas moral dan hadapi cabaran masa depan,” katanya, yang kali pertama menyampaikan ceramah motivasi itu.

Apabila ditanya BH bagaimana beliau menyesuaikan ceramah itu untuk banduan, Ustaz Dr Izal berkata beliau harus mempunyai lebih empati apabila menyampaikannya kerana ujian yang dihadapi banduan itu lebih mendalam.

Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, berkata beliau harus menyampaikan ceramahnya dengan lebih empati kerana ujian yang dihadapi banduan itu lebih mendalam. 
Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, berkata beliau harus menyampaikan ceramahnya dengan lebih empati kerana ujian yang dihadapi banduan itu lebih mendalam.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ceramah itu merupakan yang kelima sejak kali pertama diadakan pada 2020 oleh mantan Mufti Singapura, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Buat julung kalinya, ceramah tersebut diluaskan kepada penghuni rumah tumpangan itu.

Menjelaskan sebab langkah tersebut dibuat, Pengarah Eksekutif Fitrah, Encik Mohamed Farik Omar, berkata terdapat banduan Melayu/Islam yang ditempatkan dalam Program Berasaskan Masyarakat di rumah tumpangan, ketika mereka menjalani baki hukuman di dalam masyarakat.

Lantas, SPS dan Fitrah ingin meluaskan Ceramah Mufti itu kepada mereka kerana kandungannya mempunyai pandangan yang bermanfaat untuk mereka, katanya.

Pengarah Eksekutif Fitrah, Encik Mohamed Farik Omar, berkata SPS dan Fitrah ingin meluaskan Ceramah Mufti itu kepada rumah tumpangan Jamiyah, Pertapis dan Rise Above kerana kandungannya mempunyai pandangan yang bermanfaat untuk mereka
Pengarah Eksekutif Fitrah, Encik Mohamed Farik Omar, berkata SPS dan Fitrah ingin meluaskan Ceramah Mufti itu kepada rumah tumpangan Jamiyah, Pertapis dan Rise Above kerana kandungannya mempunyai pandangan yang bermanfaat untuk mereka - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg