Terdapat kecenderungan dalam masyarakat muda Islam yang kini mendapatkan panduan agama daripada pencipta kandungan dalam talian, yang mungkin bukan guru agama atau ulama bertauliah, kata Ustazah Dr Nur ’Alaniah Wahid.
Ini tidak mengejutkan memandangkan golongan muda lebih dekat dengan media sosial, namun ia telah mengubah dinamik institusi agama tertentu, kehadiran asatizah dan tahap kepercayaan, tambahnya.
Sesuai dengan itu, beliau menggesa lebih ramai asatizah tempatan supaya memanfaatkan wadah tersebut bagi meluaskan jangkauan dakwah mereka, katanya semasa berucap di Muktamar Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) pada 24 Mei.
“Satu ketika dahulu, panduan agama lazimnya diperoleh melalui kelas di masjid atau secara rasmi menerusi fatwa yang dikeluarkan oleh ulama bertauliah.
“Namun, hari ini seorang pencipta kandungan yang karisma dengan ribuan pengikut mungkin mempunyai pengaruh harian yang lebih besar berbanding seorang ulama terlatih secara tradisional.
“Tetapi ini tidak semestinya bermakna seseorang itu lebih baik atau lebih buruk. Apa yang berubah ialah dinamik institusi agama, kehadiran asatizah dan kepercayaan,” ujarnya.
Dihadiri oleh asatizah, pemimpin masyarakat dan pekerja sosial, persidangan itu bertujuan meneliti faktor utama yang mempengaruhi trend keagamaan dan peranan asatizah.
Ustazah Dr ‘Alaniah berkata masyarakat kini lebih tertarik mendengar suara yang lebih dekat dengan hati mereka dan mudah didekati, lantas perkara tersebut perlu menjadi renungan asatizah.
Beliau, yang juga antara anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan mempunyai ijazah PhD (Doktor Falsafah), berkata:
“Sebagai pemimpin dan pendidik agama, kewibawaan kami tidak hanya bergantung pada ilmu, bahkan keupayaan berinteraksi dengan masyarakat secara beradab, membina dan berkesan... sama ada secara fizikal atau dalam talian.
“Ini merupakan sesuatu yang kami perlu muhasabah, adakah kami sebagai asatizah telah menempatkan diri kami secara beretika dan berkesan dalam ruang digital? Bukan sekadar untuk menyampaikan, tetapi juga untuk mendengar dan menjalin hubungan.”
Ustazah Dr ‘Alaniah turut berkongsi bagaimana wadah seperti YouTube, Instagram dan TikTok boleh dijadikan alat untuk mengembangkan dakwah asatizah.
Kini, semakin ramai masyarakat Islam di Singapura terutama belia beralih kepada wadah tersebut untuk mendapatkan kandungan keagamaan.
“Dalam era digital masa kini, wadah seperti TikTok, YouTube dan Instagram bukan sekadar alat hiburan.
“Ia kini menjadi ruang yang berpengaruh untuk pembelajaran, ekspresi diri dan juga panduan rohani,” katanya di hadapan hampir 110 asatizah, pendidik serta pemimpin masyarakat.
Beliau menambah, kandungan agama seperti video pendek, sesi soal jawab bersama asatizah atau podcast di YouTube sering dicari belia di wadah sedemikian.
“Peralihan media ini turut membawa perubahan terhadap cara institusi agama dilihat dan difahami,” ujarnya.
Ustazah Dr ‘Alaniah berkata YouTube ialah wadah media sosial yang paling banyak digunakan di Singapura, dengan lebih lima juta pengguna.
Instagram dan TikTok turut mencatat tahap penggunaan yang tinggi, terutama dalam kalangan golongan muda.
Sejajar dengan itu, beliau gembira melihat beberapa organisasi Islam Singapura – seperti MuslimSG dan Masjid Assyakirin – yang telah mengorak langkah memanfaatkan media sosial untuk usaha dakwah mereka.
Kededua akaun TikTok itu telah mendapat sambutan menggalakkan dengan beberapa video mereka mencapai jutaan tontonan, katanya.
Menurutnya, ia menunjukkan potensi capaian kandungan Islam melalui wadah tersebut.
Penyelidik Utama di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Mathew Mathews, yang juga merupakan antara anggota panel bagi persidangan itu berkata institusi keagamaan hari ini perlu aktif dalam dunia digital – seperti melalui podcast atau media sosial – supaya mereka dapat berhubung dengan masyarakat dengan lebih baik.
Ini termasuk masyarakat yang menganggap diri mereka mempunyai kerohanian yang kuat, tetapi tidak ingin mengikuti agama tertentu.
Walau demikian, golongan itu tetap mencari makna dan panduan dalam kehidupan.
“(Mereka) inginkan pemahaman yang dikatakan benar, relevan dengan kehidupan seharian, dan mengambil kira pelbagai cabaran serta realiti kehidupan harian.
“Sebenarnya, ia tentang memahami apa yang benar-benar diperlukan oleh masyarakat dan dapat memberikan bantuan yang sesuai, di samping mengekalkan tradisi (agama).
Menjelaskan kepada Berita Harian (BH) mengenai kepentingan asatizah di ruang media sosial, Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, berkata kebimbangan anak-anak muda mendapatkan maklumat yang salah di media sosial amatlah besar.
Terutama pengaruh kuat media sosial yang jika tidak ditangani, mampu mempengaruhi diri mereka.
Sesuai dengan itu, asatizah perlu lebih peka terhadap kandungan yang disampaikan mereka di media sosial dan Pergas sedia membantu.
“Kami ingin lebih memahami bagaimana kami boleh membantu asatizah meningkatkan kesedaran dan juga memahami apakah yang mungkin boleh menyelewengkan ataupun mendatangkan fahaman yang tidak benar, yang boleh meradikalisasikan anak-anak muda kita.
“Perlu ada follow up (langkah susulan) mengenai isu ini dan kami sudah bersedia menjalankannya,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg