Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia prihatin bahasa Melayu merosot, akar budaya terhakis

40 peserta kongsi pandangan mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam dalam sesi kedua Dialog Belia BH-Mendaki
Jun 19, 2025 | 7:25 PM
Dialog Belia BH-Mendaki, Muhammad Faris Abdul Jalil
Encik Muhammad Faris Abdul Jalil berkongsi bahawa peningkatan penggunaan bahasa Inggeris telah menyumbang kepada kemerosotan penggunaan bahasa Melayu, sekali gus mencerminkan kehilangan akar budaya dalam masyarakat. Beliau berkongsi pandangan itu semasa sesi kedua Dialog Belia BH-Mendaki pada 13 Jun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Isu kemerosotan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda dibangkitkan oleh seorang peserta dalam satu sesi dialog belia, yang dilihat sebagai cerminan kepada kehilangan akar budaya dalam masyarakat.

Encik Muhammad Faris Abdul Jalil, 34 tahun, meluahkan pandangan itu semasa sesi kedua Dialog Belia Berita Harian (BH)-Mendaki pada 13 Jun, yang diadakan di Bilik Berita BH dan Studio +65 di Toa Payoh North.

Beliau adalah antara 40 peserta belia yang berkongsi pandangan mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam hari ini.

Ia termasuk isu bahasa, ketidakseimbangan dalam kehidupan harian dan keperluan memperdalam pendidikan agama. 

Dialog tersebut merupakan sesi kedua anjuran bersama BH dan Yayasan Mendaki di bawah kempen Raikan Ilmu. 

Encik Faris, seorang tutor sepenuh masa, berkata:

“Saya amat terkesan apabila melihat semakin ramai kanak-kanak dan remaja Melayu kurang fasih berbahasa Melayu, sehinggakan sukar memahami soalan asas apabila ditanya dalam bahasa ibunda sendiri. 

“(Pada) 20 tahun dulu, keadaannya amat berbeza.”

Berkongsi pengalamannya, Encik Faris kerap melihat anak muda Melayu hari ini menghadapi kesukaran dalam memahami bahasa Melayu dalam konteks perbualan asas harian.

“Contohnya, bila saya pergi ke kedai makan milik orang Melayu, mereka akan bertanya dalam bahasa Melayu – soalan asas seperti ‘nak bungkus ke tidak?’.

“Malangnya, soalan mudah seperti itu pun sukar difahami oleh anak-anak muda hari ini. Apakah yang telah terjadi sehinggakan masyarakat kita telah pergi ke arah sana?” ujar beliau.

Khuatir dengan perkembangan tersebut, Encik Faris berharap wadah seperti BH “dapat terus membimbing dan mendorong mereka agar kembali menghargai serta memartabatkan bahasa Melayu”. 

Di tengah peningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris dan kemerosotan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda, semakin terserlah keperluan memupuk rasa bangga terhadap bahasa ibunda agar warisan itu terus terpelihara.

Pandangan beliau selari dengan perkongsian Cik Nadia Irdina Md Yuzaimi, 22 tahun, yang berkata bahasa berkait rapat dengan jati diri dan warisan budaya.

Cik Nadia Irdina Md Yuzaimi (dua dari kanan) menekankan bahawa rasa bangga terhadap bahasa ibunda penting demi memelihara jati diri dan warisan budaya generasi akan datang.
Cik Nadia Irdina Md Yuzaimi (dua dari kanan) menekankan bahawa rasa bangga terhadap bahasa ibunda penting demi memelihara jati diri dan warisan budaya generasi akan datang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Saya rasa ramai yang masih tidak sedar bahawa bahasa itu sebenarnya mencerminkan siapa kita. 

“Kalau kita sendiri tidak bangga dengan bahasa kita, sukar untuk generasi akan datang memahami asal usul mereka,” kata mahasiswi Komunikasi dan Media Baru di Universiti Nasional Singapura (NUS) yang bakal memasuki tahun akhir pengajiannya.

“Bahasa menyatukan kita. Dengan menanam rasa bangga terhadap bahasa ibunda, ia dapat membantu menyatukan masyarakat dan menyampaikan pandangan dengan lebih bermakna.”

Bagi Encik Mikhyle Mat Noor, 26 tahun, perkembangan pesat teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut masyarakat Melayu/Islam supaya lebih peka terhadap isu semasa dan pentingnya pendidikan.

“Masyarakat Melayu/Islam harus lebih peka terhadap pendidikan dan hal ehwal masyarakat.

“Dengan teknologi dan AI yang semakin berkembang, maklumat kini tersedia luas – namun kepekaan untuk menilai dan menggunakannya dengan bijak, terutama dalam kalangan anak muda, perlu dipertingkatkan,” kata calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sekitaran Binaan, Prestasi Bangunan dan Kemampanan, di NUS itu.

Encik Mikhyle Mat Noor menyuarakan kebimbangan bahawa masyarakat Melayu/Islam masih kurang peka terhadap pendidikan dan perkembangan semasa dalam era teknologi yang kian pesat.
Encik Mikhyle Mat Noor menyuarakan kebimbangan bahawa masyarakat Melayu/Islam masih kurang peka terhadap pendidikan dan perkembangan semasa dalam era teknologi yang kian pesat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi Encik Syarifuddin Azhar, 29 tahun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan masyarakat hari ini yang terlalu menumpukan kepada satu aspek dalam kehidupan – seperti kejayaan kerjaya atau pencapaian akademik – hingga mengabaikan nilai budaya dan rohani yang sama pentingnya.

“Disebabkan keperluan mencari keseimbangan, kita kadangkala terlupa dan terlalu memberi tumpuan kepada satu aspek sahaja kerana menyangka ia lebih bermanfaat.

“Namun, apabila kita mampu mengimbangkan semuanya, kita sebenarnya dapat meraih manfaat dari setiap sudut.

“Nilai yang diterapkan dalam setiap aspek kehidupan akan menyumbang kepada peningkatan mutu hidup,” jelas Encik Syarifuddin, yang bakal mengikuti kursus Diploma Possiswazah dalam Pendidikan (PGDE) di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Encik Syarifuddin Azhar (tengah) menegaskan bahawa masyarakat perlu memberi perhatian seimbang kepada kerjaya, budaya dan kerohanian agar mutu hidup dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
Encik Syarifuddin Azhar (tengah) menegaskan bahawa masyarakat perlu memberi perhatian seimbang kepada kerjaya, budaya dan kerohanian agar mutu hidup dapat ditingkatkan secara menyeluruh. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dialog tersebut bertujuan mengupas pandangan dan aspirasi golongan belia mengenai masa depan masyarakat Melayu/Islam, termasuk sumbangan yang boleh diberikan anak muda dalam membentuk perubahan positif.

Perbincangan tertumpu kepada visi mereka bagi 2040, cabaran yang bakal dihadapi, serta usaha yang perlu digembleng untuk merealisasikannya.

Antara yang hadir ialah belia daripada masjid, Mendaki dan badan Melayu/Islam (MMO). 

Sesi pertama dialog telah diadakan pada 23 Mei lalu, dengan penyertaan sekitar 50 belia. 

“Saya amat terkesan apabila melihat semakin ramai kanak-kanak dan remaja Melayu kurang fasih berbahasa Melayu, sehinggakan sukar memahami soalan asas apabila ditanya dalam bahasa ibunda sendiri.  (Pada) 20 tahun dulu, keadaannya amat berbeza.”
Encik Muhammad Faris Abdul Jalil, 34 tahun, tutor sepenuh masa.

“Saya rasa ramai yang masih tidak sedar bahawa bahasa itu sebenarnya mencerminkan siapa kita.  Kalau kita sendiri tidak bangga dengan bahasa kita, sukar untuk generasi akan datang memahami asal usul mereka. Bahasa menyatukan kita. Dengan menanam rasa bangga terhadap bahasa ibunda, ia dapat membantu menyatukan masyarakat dan menyampaikan pandangan dengan lebih bermakna.”
Cik Nadia Irdina Md Yuzaimi, 22 tahun, mahasiswi Komunikasi dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Masyarakat Melayu/Islam harus lebih peka terhadap pendidikan dan hal ehwal masyarakat.  Dengan teknologi dan AI (kecerdasan buatan) yang semakin berkembang, maklumat kini tersedia luas – namun kepekaan untuk menilai dan menggunakannya dengan bijak, terutama dalam kalangan anak muda, perlu dipertingkatkan.”
Encik Mikhyle Mat Noor, 26 tahun, calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sekitaran Binaan, Prestasi Bangunan dan Kemampanan, Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Disebabkan keperluan mencari keseimbangan, kita kadangkala terlupa dan terlalu memberi tumpuan kepada satu aspek sahaja kerana menyangka ia lebih bermanfaat. Namun, apabila kita mampu mengimbangkan semuanya, kita sebenarnya dapat meraih manfaat dari setiap sudut.  Nilai yang diterapkan dalam setiap aspek kehidupan akan menyumbang kepada peningkatan mutu hidup.”
Encik Syarifuddin Azhar, 29 tahun, peserta yang bakal mengikuti kursus Diploma Possiswazah dalam Pendidikan (PGDE) di Institut Pendidikan Nasional (NIE).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg