Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bengkel Mendaki bantu pelajar madrasah teroka peluang pendidikan, kerjaya

Jul 16, 2025 | 6:48 PM
Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah menimba ilmu daripada karyawan dalam bidang seperti perniagaan, perundangan dan multimedia sempena bengkel, ‘EXPLORE@Madrasah’ pada 12 Julai di Guoco Midtown, di Beach Road.
Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah menimba ilmu daripada karyawan dalam bidang seperti perniagaan, perundangan dan multimedia sempena bengkel, ‘EXPLORE@Madrasah’ pada 12 Julai di Guoco Midtown, di Beach Road. - Foto KELAB MENDAKI

Lebih 160 pelajar dari tiga madrasah sepenuh masa dan karyawan merentasi 10 sektor berbeza, serta mentor Kelab Mendaki (MClub) berhimpun bagi berkongsi ilmu sebagai sebahagian daripada bengkel EXPLORE@Madrasah, pada 12 Julai.

Bengkel yang diadakan di Guoco Midtown di Beach Road itu dianjurkan sukarelawan MClub yang pernah menuntut sebagai pelajar madrasah sepenuh masa.

Ia dihadiri Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, selaku tetamu terhormat.

Menurut kenyataan MClub pada 16 Julai, edisi kelima bengkel itu menyaksikan pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah menimba ilmu daripada karyawan dalam bidang seperti perniagaan, perundangan dan multimedia.

Semasa berucap, Cik Rahayu berkata bengkel tersebut adalah peluang bagi pelajar mempelajari tentang diri masing-masing.

Malah, beliau berkata pelajar madrasah “menerima pendidikan menyeluruh” yang dapat melengkapkan mereka dengan “nilai kukuh dan kemahiran kritikal”.

“Jangan rasa gentar untuk meneroka di luar bidang (yang dipelajari). Nilai anda akan membimbing anda melalui dunia yang lebih luas,” ujarnya.

MClub berkata tiga komponen yang diterapkan dalam bengkel itu termasuk mengenal pasti kekuatan masing-masing, memahami spektrum luas peluang pendidikan tinggi di peringkat pengajian tinggi, dan meneroka pelbagai kerjaya di luar sektor keagamaan.

Hal sedemikian sejajar dengan usaha badan itu memperkasa pelajar madrasah untuk meneroka dan mencapai aspirasi mereka – apatah lagi golongan pelajar itu bakal tamat pengajian madrasah.

Ketua EXPLORE@Madrasah, Encik Muhammad Zulkarnain Azman, berkata:

“Dengan adanya masa kini sebelum tamat pengajian, ia masa yang sesuai untuk membina kemahiran dan portfolio mereka, yang akan menyokong usaha mengejar kerjaya yang diinginkan.”

Beliau menambah, program sebegitu menunjukkan pelajar tersebut bukan sahaja dapat mengejar apa sahaja impian yang diinginkan, bahkan mereka juga meraih ilmu daripada individu yang pernah melalui pengalaman seperti mereka suatu ketika dahulu.

Itulah yang ingin dicurahkan Cik Shaza Amran, yang telah menyumbang tenaga sebagai sukarelawan bersama MClub selama lima tahun.

Bekas pelajar madrasah itu, yang kini seorang penyelidik psikolinguistik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata beliau terdorong berkongsi pengalaman dengan pelajar madrasah kerana ingin mereka menyumbang semula, seperti dirinya, kelak.

Beliau berkata: “Saya ingin berada dalam satu wadah di mana saya dapat menyumbang dan berkongsi pengalaman saya bersama pelajar madrasah serta tunjukkan bahawa mereka juga boleh menyumbang kepada sesuatu yang bermanfaat dan penting pada masa hadapan.”

Hal ini dikongsi salah seorang pelajar Madrasah Al-Arabiah program itu, ‘Afiyah Abdul Rahman, yang berkata dia dapat menikmati perkongsian ilmu bersama rakan-rakan lain.

“Saya sangat bersyukur dapat sertai program ini.

“Saya suka segmen Perpustakaan Manusia atau ‘Human Library’ kerana saya dapat mendengar dan berinteraksi dengan karyawan dalam bidang perniagaan, sains dan penjagaan kesihatan, antara lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg