Sebuah pasukan petugas baru bagi memperkukuh pembangunan dan usaha mendekati belia Melayu/Islam akan ditubuhkan dalam usaha memahami dan membantu mencapai aspirasi golongan ini.
Pasukan tersebut akan menyokong Pelan Belia SG nasional, sebuah rancangan tindakan lima tahun untuk memperkasa belia menjadi versi terbaik diri mereka dan mencapai aspirasi mereka, yang diusahakan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) bersama dengan rakan kongsi lain.
Rancangan tersebut diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap di Pesta Belia M Kuasa Tiga (M³) 2025 di Wisma Geylang Serai pada 12 Julai.
Menurut beliau, pasukan petugas baru itu akan menyatukan belia Melayu/Islam dari pelbagai latar belakang, termasuk pelajar, karyawan bekerja, artis dan asatizah.
“Kami ingin mendengar suara dan aspirasi mereka dan menyediakan strategi kolektif dalam menangani isu-isu yang dekat di hati masyarakat,” kata beliau.
“Belia kita mempunyai pelbagai minat. Ini adalah sumber potensi besar untuk mewujudkan peluang baru untuk masyarakat kita dan menyumbang kepada masa depan Singapura,” tambah Dr Faishal.
Butiran lanjut mengenai pasukan baru itu akan diumumkan kelak.
Bertemakan ‘Belia untuk SG60 dan Seterusnya’, Pesta Belia M³ 2025 itu mengajak belia Melayu/Islam untuk tampil sebagai rakan utama dalam membentuk masa depan negara.
Dr Faishal berkata beliau berharap belia akan terus menegakkan nilai-nilai masyarakat, menyumbang secara aktif kepada kemajuan negara, dan bekerjasama untuk membina masyarakat lebih kukuh dan bersatu padu untuk generasi akan datang.
Beliau melahirkan rasa terdorong melihat bagaimana belia Melayu/Islam telah tampil menyumbang dalam kapasiti berbeza – sama ada sebagai mentor atau sukarelawan yang memenuhi keperluan penduduk dalam masyarakat.
Semangat kewarganegaraan itu adalah sesuatu yang harus diraikan, kata beliau.
“Acara hari ini adalah bukti kepada kepelbagaian kemahiran dan pengalaman yang dimiliki belia Melayu/Islam kita, dan potensi yang boleh kita manfaatkan apabila kita bersatu.
“Kami komited mewujudkan lebih banyak wadah untuk pembangunan belia.
“Melalui program latihan sukarelawan, peluang pementoran berstruktur, dan sokongan dipertingkat untuk inisiatif diterajui belia, kami mahu memperkasa anda bukan hanya untuk menyertai dalam khidmat masyarakat, tetapi untuk memimpin dan mengambil tindakan untuk menangani cabaran masyarakat dengan cara yang inovatif,” kata beliau.
“
“Kami ingin mendengar suara dan aspirasi mereka dan menyediakan strategi kolektif dalam menangani isu-isu yang dekat di hati masyarakat,” kata beliau. Belia kita mempunyai pelbagai minat. Ini adalah sumber potensi besar untuk mewujudkan peluang baru untuk masyarakat kita dan menyumbang kepada masa depan Singapura.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg