Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian Rima: ‘Aisha’ nama paling popular wanita Melayu/Islam S’pura

Aug 25, 2025 | 3:53 PM
Rima, Aisyah, Aisha, nama popular melayu
‘Aisha’ merupakan nama paling popular dalam kalangan wanita Melayu/Islam yang lahir antara 1987 dengan 2016 di Singapura, diikuti dengan ‘Safiyyah’, ‘Diyana/Dinah/Dini’, ‘Raudhah/Radhiah/Mardhiah’ dan ‘Zahra’, berdasarkan kajian yang dijalankan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima). Gambar janaan kecerdasan buatan (AI). - Foto HASIL KECERDASAN GOOGLE AI

Anda kenal Aisha?

Tanya sesiapa sahaja di sekeliling, dan pasti ramai antara kita yang mengenali seorang ‘Aisha’, ‘Aisyah’, ‘Aishah’ atau ‘Aysha’ dalam kalangan anggota keluarga, sahabat atau kenalan.

Justeru itu, tidak menghairankan apabila ‘Aisha’ muncul sebagai nama paling popular dalam kalangan wanita Melayu/Islam, yang lahir antara 1987 dengan 2016 di sini.

Demikian menurut dapatan kajian yang dijalankan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima).

Selain ‘Aisha’, nama lain yang secara tekal popular bagi wanita dalam masyarakat Melayu/Islam dalam tempoh yang sama ialah ‘Safiyyah’, ‘Diyana/Dinah/Dini’, ‘Raudhah/Radhiah/Mardhiah’ dan ‘Zahra’.

Kajian tersebut telah menyelidik trend nama Melayu/Islam di Singapura berdasarkan nama 1,811 murid madrasah yang semua pelajarnya perempuan.

Disebabkan Singapura tidak menerbitkan rekod kelahiran dan senarai nama bayi secara awam, para penyelidik Rima telah memperolehi maklumat tersebut daripada tiga buku tahunan pelajar atau yearbook madrasah, dengan pelajar tersebut dianggarkan lahir antara 1987 dengan 2016.

Kajian trend nama Melayu/Islam itu dipercayai, yang pertama seumpamanya dilakukan di Singapura, dengan dapatannya dimuat naik di laman sosial Instagram Rima telah menarik perhatian ramai.

Menjelaskan mengapa mereka melakukan kajian tersebut, penganalisis penyelidik kanan Rima, Cik Sabrina Hardy, berkata pihak mereka percaya nama adalah bentuk warisan budaya tidak ketara yang menarik tetapi kurang dipelajari, dan adalah seronok untuk dibincangkan dengan beberapa pemerhatian berasaskan bukti.

“Ia bermula dengan dua pengalaman biasa.

“Pertama, bagaimana sesetengah nama seolah-olah dikaitkan dengan usia tertentu – contohnya, bagi kita, ‘Salmah’ mungkin secara automatik menimbulkan imej seorang wanita dalam lingkungan usia 50-an atau 60-an tahun, manakala ‘Jannah’ pula mungkin seorang wanita yang berusia 20-an atau 30-an tahun.

“Kedua, adalah usaha untuk cuba merujuk individu tertentu dan menerima soalan susulan: ‘Yang mana?’.

“Contohnya: ‘Aisyah? Aisyah yang mana?’. Sesetengah nama begitu terkenal sehingga kita kemungkinan mengenali lebih daripada seseorang dengan nama yang sama,” kata beliau.

Dibahagikan kepada tiga kumpulan, kajian itu mendapati nama ‘Aisha’, ‘Amirah’, ‘Nadiah’, ‘Diyana/Dinah/Dini’, ‘Raudhah/Radhiah/Mardhiah’ dan ‘Fatin/Fatinah/Fatanah’ adalah nama paling popular untuk mereka yang lahir antara 1987 dengan 1996.

Nama popular yang lain dalam kumpulan itu termasuk ‘Farhanah/Farah/Farhah’ dan ‘Jannah’.

Bagi yang lahir antara 1997 dengan 2006 pula, nama paling popular termasuk ‘Insyirah’, diikuti dengan ‘Aisha’, ‘Ain/Aini’, ‘Izzati/Izzah’, ‘Diyana/Dinah/Dini’ dan ‘Safiyyah’.

‘Humairah’ dan ‘Aqilah’ juga antara nama pilihan lain yang terkenal bagi kumpulan itu.

Bagi kumpulan terakhir yang lahir antara 2007 dengan 2016, ‘Safiyyah’ menduduki tempat pertama dalam senarai nama popular, diikuti ‘Zahra’, ‘Aliah’, ‘Aisha’, ‘Iman/Imani’ dan ‘Sumayyah’.

Kajian itu turut menemui beberapa pemerhatian menarik.

Antaranya, penggunaan nama pertama yang menunjukkan identiti perempuan seperti ‘Siti’, ‘Nur’, ‘Nurul’, ‘Noor’ atau ‘Sharifah’ didapati gaya nama pilihan untuk anak perempuan yang lahir dalam kumpulan lebih awal, contohnya ‘Siti Aisyah’ atau ‘Nur Sabrina’.

Trend gaya nama sedemikian bagaimanapun semakin kurang digunakan saban tahun.

Sebaliknya, trend dua atau tiga nama pula semakin meningkat populariti, misalnya ‘Aisyah Zahra’ atau ‘Sabrina Izzatie Alia’.

Penganalisis, Cik Sabrina, berkata dari segi sejarah, nama dan gaya penamaan biasanya mencerminkan pilihan semasa dalam tempoh masa tertentu.

“Hipotesis kami adalah kerana nama identiti perempuan ini (seperti ‘Siti’ dan ‘Nur’) semakin dikaitkan dengan ‘ketinggalan zaman’ atau ‘tradisional’, dan mungkin lebih ramai ibu bapa mahu mencerminkan identiti moden untuk anak-anak mereka,” kata beliau.

Kajian turut mendapati sebahagian besar nama anak-anak perempuan itu diambil daripada perkataan bahasa Arab, dan terdapat hanya segelintir individu dengan nama yang berasal daripada bahasa Melayu berdasarkan sampel keseluruhan.

Bagaimanapun, Cik Sabrina berkata oleh sebab kajian skala kecil itu dijalankan berdasarkan sampel pelajar madrasah, aspek keagamaan mungkin menjejas pilihan nama yang mempunyai pengaruh Arab atau Islam.

“Selain itu, dalam kumpulan terakhir terutamanya (anak perempuan yang lahir antara 2007 dengan 2016), terdapat trend nama, yang kecil tetapi semakin meningkat, yang berasal dari Barat atau tidak diketahui asal usulnya.

“Ini menunjukkan terdapat kededua peningkatan pengaruh Barat terhadap budaya dan keinginan bagi nama yang unik dan kreatif untuk anak-anak.

“Berdasarkan pemerhatian peribadi kami, hipotesis kami adalah trend ini berterusan dengan kanak-kanak yang lahir selepas 2016 juga,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg