Sekitar 39 peratus daripada responden tinjauan yang dijalankan oleh Berita Minggu (BM) berkata mereka memberikan paling kurang $5 dalam sampul duit Raya sempena Aidilfitri 2025 ini.
Seramai 30 peratus pula memberikan sekurang-kurangnya $4, manakala kumpulan yang lebih kecil, iaitu sekitar 18 peratus, memilih untuk memberi minimum $10.
Ini bermakna sekitar 69 peratus atau 7 dalam 10 responden memberi $4 atau $5.
Tinjauan yang menerima 56 respons itu bertujuan untuk memahami corak pemberian duit Raya dalam masyarakat Melayu Singapura, termasuk sama ada jumlah tersebut berbeza mengikut umur atau hubungan, serta jumlah bajet keseluruhan yang diperuntukkan sepanjang bulan Syawal.
Baru-baru ini, isu tentang duit Raya menarik perhatian apabila seorang wanita mengaku dalam satu hantaran di wadah Instagram Threads beliau tidak lagi memberi duit Raya kepada kanak-kanak sejak lima tahun lalu kerana berkata “mereka tidak layak menerimanya”.
Menceritakan pengalamannya, wanita yang dikenali hanya sebagai @nrljnhr_ itu berkata beliau tidak lagi memberi duit Raya setelah mengalami situasi apabila seorang kanak-kanak mengeluh setelah menerima duit Raya sebanyak $4.
Hasil tinjauan BM menunjukkan 89.3 peratus yang tidak rasa ‘tertekan’ dan memberi duit Raya mengikut kemampuan.
Selain itu, duit Raya yang diberikan pada 2025 lazimnya bermula dari $4 hingga $10, dengan $5 adalah jumlah paling popular.
Jumlah maksimum bagi satu sampul pula lebih pelbagai, dengan ada yang memberi sehingga $50, $100, malah $1,000, bergantung kepada hubungan dengan penerima dan kemampuan individu.
Secara amnya, jumlah lebih besar diperuntukkan untuk ibu bapa dan saudara-mara yang lebih tua.
Sebahagian besar responden (51 orang) menyatakan bahawa mereka menyesuaikan jumlah duit Raya bergantung pada umur atau hubungan dengan si penerima.
Kanak-kanak kecil mungkin menerima jumlah yang lebih kecil, manakala remaja atau saudara yang lebih rapat diberi jumlah yang lebih besar.
Dari segi bajet keseluruhan, kebanyakan responden (25 peratus atau 14 orang) memperuntukkan antara $401 hingga $600 untuk pemberian duit Raya sepanjang bulan Syawal.
Manakala seramai 23 peratus memperuntukkan antara $201 hingga $400, 21 peratus memberi $801 hingga $1,000, dan 9 peratus meletakkan bajet $601 hingga $800.
Sesetengah keluarga memperuntukkan lebih daripada jumlah tersebut, terutamanya mereka yang mempunyai keluarga besar atau ramai kenalan untuk diziarahi.
Encik Rafil Kamaruddin, 43 tahun, seorang jurusolek dan pelajar sambilan peringkat sarjana di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata beliau mengetepikan antara $800 hingga $1,000 setiap tahun dan tidak berasa ianya satu bebanan.
“Memang sudah menjadi tradisi setiap tahun untuk gembirakan anak-anak buah bila tiba Lebaran, jadi saya tidak rasa ia sebagai satu beban,” katanya.
Seorang responden Cik Huzaimah (bukan nama sebenar) menetapkan antara $2,000 hingga $3,000 untuk dibahagikan sebagai duit Raya untuk kanak-kanak dan orang tua, mengikut kemampuan keluarganya.
“Setiap tahun saya siapkan 100 keping sampul duit, berisikan $10 sepaket. Untuk anak-anak sedara yang rapat, $50 seorang, dan orang-orang tua, $50 seorang. Orang tua sendiri tentunya lebih dari itu,” katanya.
Seramai 32 responden menyatakan bahawa mereka memberikan sejumlah duit Raya yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini mungkin dipengaruhi oleh pemulihan ekonomi, kenaikan kos sara hidup atau semangat untuk lebih bermurah hati selepas beberapa tahun yang mencabar. Ia juga mencerminkan bagaimana tradisi ini terus berubah mengikut kemampuan kewangan dan situasi semasa.
Antaranya ialah Cik Nura Manaf, 39 tahun, seorang penerbit televisyen yang berkata beliau ingin berkongsi rezeki.
“Alhamdulillah, sudah dinaikkan gaji, jadi saya berhasrat ingin memberi lebih demi keberkatan, insya-Allah,” katanya kepada BM.
Walaupun jumlah yang diberikan meningkat, kebanyakan responden (50 orang) menyatakan bahawa mereka tidak berasa tertekan untuk memberi jumlah tertentu.
Ini menunjukkan bahawa tradisi duit Raya kekal sebagai simbol pemberian yang ikhlas, bukan satu kewajipan yang membebankan. Ia terus menjadi amalan yang menyerlahkan semangat memberi, bukan tekanan sosial.
Untuk Hilya Dahlia Mohammad Haarifan, 10 tahun, Hari Raya adalah paling meriah untuknya kerana selain dapat berjumpa saudara-mara dan sepupu-sepapat, dia juga dapat kumpul banyak duit Raya.
“Saya paling suka Raya sebab dapat kumpul banyak duit raya dan saya boleh beli sesuatu tanpa menggunakan wang ibu atau ayah saya,” katanya yang dapat mengumpul sekurang-kurangnya $300 pada hari pertama.
Encik Amat Sopingi, 69 tahun, seorang pesara berkata beliau teringat sewaktu zaman kanak-kanak dan duit Raya yang diberi pada zaman 60-an dulu.
“Dulu saya ditanya dulu oleh imam masjid, sama ada saya dapat puasa penuh sebulan. Bila saya menjawab iya, barulah saya diberi 20 sen sebagai ganjaran berpuasa,” kata Encik Amat, mengimbas keseronokan duit Raya yang diterimanya dulu.
Menurutnya, masyarakat sekarang memberi duit Raya kerana ia telah menjadi satu budaya dan kebiasaan, tetapi ia tidak dimestikan.
“Ada kalanya, orang nak bagi $2 pun berat, apa lagi kalau ada ramai anak buah,” kata Encik Amat.
SEKILAS DAPATAN TINJAUAN BM
Seramai 56 responden menyertai tinjauan Berita Minggu mengenai jumlah yang diperuntukkan bagi duit Raya pada 2025. Berikut sekilas dapatan tinjauan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg