Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bidang tarian buka jalan bagi bekas jururawat raih PhD

Aug 24, 2025 | 5:30 AM
penari, PhD, Universiti Teknologi Nanyang
Bermula dari ‘breakdancing’ di bilik tidur, kini Dr Ridhuan Johari meraih ijazah PhD dari Universiti Teknologi Nanyang. - Foto BM NUR DIYANA TAHA

Bidang tarian adalah suatu kemahiran atau seni yang sering dianggap hobi, namun untuk jurulatih tarian yang meraih ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Julai 2025 dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Ridhuan Johari tidak menyangka bidang itu telah membawanya ke menara gading.

Malah bagi pengajian PhD, bekas jururawat itu menghasilkan disertasi mereka alat kecerdasan buatan (AI) untuk mengajar tarian secara talian.

Dr Ridhuan Johari, 41 tahun, kini seorang Pensyarah Madya di Universiti Edith Cowan (ECU), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) selain jurulatih tarian bersama sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) bersama Majlis Seni Kebangsaaan (NAC), berkata cintanya pada tarian bermula sejak umurnya semuda empat tahun.

“Saya kagum dengan kumpulan The Jackson 5 dan Michael Jackson sewaktu itu.

“Kemudian saya belajar dengan memerhati penari jalanan, yang membuktikan kepada saya bahawa pergerakan dapat menyampaikan sesuatu mesej tanpa perlu berkata-kata,” singkap Dr Ridhuan tentang detik permulaannya melangkah ke dunia tarian.

Perjalanan PhD Dr Ridhuan bermula pada 2017 dengan tujuan mengkaji kesihatan muskuloskeletal (berkaitan otot dan tulang) dalam kalangan warga emas.

Apabila sekatan Covid-19 melanda pada 2020, beliau mula mengajar kelas tarian secara dalam talian dan melihat sendiri bagaimana pelajar sangat menginginkan maklum balas masa nyata sama seperti ketika dibimbing jurulatih di studio fizikal.

“Dari situ, saya melakar alat Real-Time Augmented Feedback in Learning (ReAL) yang boleh merakam lapan titik data sudut sendi, membandingkannya dengan persembahan model, dan mengesan kesilapan secara serta-merta,” kata Dr Ridhuan yang akui sebelum ini beliau tiada latar belakang dalam bidang sains komputer.

Mendapatkan peserta perintis juga satu cabaran baginya kerana perlu meyakinkan mereka untuk menguji alat AI.

Namun, ketabahan itu membuahkan hasil, dan beliau dapat menghasilkan sebuah sistem yang berjaya menghubungkan teknologi dengan pedagogi.

Cintanya kepada tarian pernah membawanya ke serata dunia sebagai penari dan juga sebagai pelajar dalam usaha memperhalusi kemahirannya itu.

“Saya sentiasa mahu belajar daripada yang terbaik. Jadi saya mengikuti kursus pendek dan bengkel latihan profesional di luar negara. Saya turut telah mencapai kelayakan mengajar tarian dari Australia, yang menajamkan teknik pengajaran dan tarian saya.

“Di Los Angeles (Amerika Syarikat), saya menghadiri kelas induk hip-hop, di mana saya bukan saja menyerap teknik taraf dunia tetapi juga menjalin rangkaian dengan pendidik antarabangsa.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa pendidikan tarian berkembang pesat dalam perkembangan global... setiap perspektif baru menjana idea baru untuk saya meneroka pengajian sendiri di Singapura,” terang Dr Ridhuan, yang sudah berumah tangga.

Sebagai langkah untuk menggabungkan cinta kepada tarian dan pembelajaran, beliau memilih untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan kelulusan dalam bidang Sains Sukan di Universiti Edith Cowan yang diambilnya dari institut pendidikan swasta Kaplan pada 2012.

Ini diikuti dengan program Ijazah Sarjana dalam jurusan yang sama selama setahun di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2015, yang kemudian memberinya inspirasi untuk menyambung ke peringkat PhD.

Walaupun bidang tarian sudah tersemai dalam jiwa, Dr Ridhuan menganggap permulaannya dalam bidang kejururawatan di Politeknik Nanyang, walaupun tidak dijangka, merupakan asas penting terutamanya dalam mempelajari anatomi dan fisiologi yang membantu analisis pergerakan yang penting dalam sukan sains dan tarian.

“Mengimbangi kerja syif mengasah pengurusan masa dan daya tahan saya, kemahiran yang terbukti sangat diperlukan semasa PhD saya.

“Bidang ini (kejururawatan) tidak menjauhkan saya daripada tarian, bahkan ia mengukuhkan komitmen saya untuk memahami aspek anatomi, menjadikan saya seorang guru dan penyelidik yang lebih empati,” terang Dr Ridhuan yang pernah berkhidmat sebagai jururawat selama kurang dua tahun sebelum berbalik kepada bidang tarian, cinta pertamanya.

Sebagai jurulatih (tarian) bebas, beliau banyak terlibat dalam melatih para pelajar, khususnya dalam Pesta Belia (SYF) sejak 2005 lagi, sebagai penolong pelatih sehinggalah koreografer utama selama 10 tahun penglibatannya itu.

“Pada awalnya, saya membangunkan bengkel hip-hop untuk pelajar dan pendidik, menggabungkan bakat kreatif dengan pembelajaran berstruktur. Antara cabarannya ialah menyediakan pasukan SYF dalam masa 15 minggu sahaja... menyelitkan prinsip sains sukan dalam latihan demi menghasilkan prestasi yang baik.”

Menurut Dr Ridhuan, segala pengalamannya itu menunjukkan bahawa perancangan serta pemahaman dalam aspek sains tarian adalah penting – sama ada untuk memberi motivasi kepada bakat muda, mereka bentuk latihan atau menilai kemajuan.

“Setiap langkah mendapat manfaat daripada pendekatan berasaskan bukti yang strategik,” tambah Dr Ridhuan, yang juga pengasas kumpulan tarian Dan.sc.

Baginya, bermula sebagai penari breakdance di bilik tidur, kemudian menyarung seragam jururawat, menyelami bidang sains sukan, dan akhirnya menjadi perintis AI dalam tarian – semuanya terasa seperti satu perjalanan yang tersusun rapi.

“Setiap bab mengajar saya ketabahan (syif panjang sebagai jururawat), rasa ingin tahu (biomekanik di makmal ECU), dan kreativiti (pengajaran dalam talian semasa sekatan pergerakan).

“Pengalaman-pengalaman itu tidak mengubah matlamat saya... sebaliknya ia memperkaya kemahiran saya untuk berinovasi,” terangnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg