Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri bersama ke puncak menara gading, raih PhD

Aug 24, 2025 | 5:30 AM
Bagi Dr Muhammad Faisal Aman dan Dr Nur Diyanah Anwar, PhD bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga alat untuk memberi inspirasi kepada generasi muda dan memacu perubahan positif dalam masyarakat.
Bagi Dr Muhammad Faisal Aman dan Dr Nur Diyanah Anwar, PhD bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga alat untuk memberi inspirasi kepada generasi muda dan memacu perubahan positif dalam masyarakat. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Mereka bukan sekadar suami isteri, tetapi juga pasangan bergelar Doktor Falsafah (PhD).

Pasangan suami isteri, Dr Muhammad Faisal Aman, 42 tahun, dan Dr Nur Diyanah Anwar, 34 tahun; serta Dr Irfan Ismail, 48 tahun, dan Dr Emilia Idris, 46 tahun; adalah antara kalangan penduduk Melayu Singapura yang kini semakin ramai berjaya mencapai kelulusan akademik tertinggi.

Jumlah penduduk Melayu Singapura, termasuk warga dan Penduduk Tetap (PR), berusia 25 tahun dan ke atas yang mempunyai kelayakan universiti atau lebih tinggi, telah meningkat lebih daripada dua kali ganda daripada 15,976 pada 2010 kepada 39,312 pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat).

Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) berkata ia telah menyalurkan sebanyak 45 biasiswa kepada pelajar Melayu yang melanjutkan pengajian ke peringkat PhD sejak 2015.

Pemangku Presiden LBKM, Encik Djuanda Kamid, berkata mereka akan terus menganugerahkan biasiswa kepada para pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang pengajian seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

“Menerusi biasiswa dan dermasiswa yang kami anugerahkan, LBKM berharap dapat meningkatkan bilangan anggota masyarakat kita yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, serta mempertingkatkan mutu lulusan demi mencapai visi masyarakat cemerlang,” jelasnya.

Beliau juga berkata masyarakat Melayu kekurangan peluang untuk belajar dan mencontohi daripada mentor seperti karyawan yang berjaya, serta pelajar berkelulusan tinggi.

“Badan Melayu/Islam mula menyedari ini dan telah mewujudkan program bimbingan seperti Pejabat Pementoran Belia Mendaki pada 2019. Kita perlu mewujudkan lebih banyak inisiatif sedemikian dalam masyarakat kita,” tambah Encik Djuanda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata profesional dari Rangkaian Profesional Mendaki telah tampil untuk membimbing belia.

“Ini supaya mereka dapat pendedahan dunia sebenar dan meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya untuk membuat keputusan termaklum.

“Saya gembira dengan kemajuan berterusan yang dicapai oleh masyarakat dalam mencapai kelayakan pendidikan tinggi. Ini mencerminkan keazaman masyarakat kita, aspirasi yang semakin meningkat, dan nilai mendalam yang kita letakkan kepada pendidikan,” ujarnya.

Mantan Anggota Parlimen (AP) yang juga Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Intan Azura Mokhtar, berpendapat bahawa pencapaian pendidikan tinggi bukanlah hasil daripada satu faktor sahaja.

Tambahnya, faktor seperti sokongan keluarga dan masyarakat, tabiat pembelajaran yang baik sejak kecil, serta bantuan sosioekonomi, membantu membina asas kukuh untuk individu mengembangkan tingkah laku positif dan harga diri.

“Selain itu, sokongan serta teladan daripada orang Melayu yang telah berjaya juga memupuk rasa bangga dan keyakinan dalam kalangan golongan muda kita untuk melangkaui batasan, serta meneroka lebih jauh daripada apa yang mereka sangkakan sebagai had kemampuan mereka,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg