Bilangan orang Islam yang berkahwin di Singapura menurun pada 2024, dengan jumlah perkahwinan Islam yang didaftar merosot daripada 5,396 pada 2023 kepada 5,184 pada 2024.
Sebahagian besar daripada mereka merangkumi pengantin lelaki berusia antara 30 dengan 34 tahun dan 45 tahun dan ke atas, serta pengantin perempuan berusia antara 30 dengan 34 tahun dan antara 40 dengan 44 tahun.
Malahan, perangkaan sedekad, dari 2014 hingga 2024, menunjukkan jumlah perkahwinan Islam pada 2024 adalah yang terendah dilaporkan, manakala jumlah tertinggi pula dilaporkan pada 2021, dengan pendaftaran perkahwinan Islam mencecah 6,228.
Inilah antara intipati Laporan Trend Keluarga 2025 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 7 Julai.
Butiran penting Laporan Trend Keluarga 2025 itu turut dibentangkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada Acara Penghargaan Pesta Keluarga Nasional (NFF) 2025, di Hotel One Farrer pada hari yang sama (7 Julai).
Laporan setebal 37 halaman itu memuatkan perangkaan berkaitan pelbagai tahap kehidupan berkeluarga seperti perkahwinan, keibubapaan, peringkat awal kanak-kanak dan penuaan. Ia merupakan edisi kedua, susulan daripada edisi pertama pada 2023.
Menurut laporan itu, bilangan perkahwinan Islam yang melibatkan pengantin lelaki berusia 45 tahun dan ke atas dikatakan merosot sebanyak 97 perkahwinan — daripada 670 pada 2023 kepada 573 pada 2024.
Bagi mereka berusia antara 30 dengan 34 tahun, jumlahnya juga merosot sebanyak 72 perkahwinan, daripada 1,227 kepada 1,155.
Bagi pengantin perempuan dalam perkahwinan Islam pula, penurunan ketara dikesan dalam kalangan mereka yang berusia dari 40 hingga 44 tahun, dengan jumlah menurun sebanyak 58 perkahwinan — daripada 316 pada 2023 kepada 258 pada 2024.
Sementara itu, bagi mereka yang berusia dari 30 hingga 34 tahun, jumlahnya berkurangan sebanyak 82 perkahwinan, daripada 983 kepada 901 dalam tempoh yang sama.
Kemerosotan jumlah perkahwinan Islam, sebanyak 7 peratus, adalah antara penyebab utama yang membawa pada penurunan keseluruhan dalam pendaftaran perkahwinan pada 2024.
Jumlahnya turun daripada 28,310 perkahwinan pada 2023 kepada 26,328 perkahwinan pada 2024.
MSF menjelaskan, trend penurunan perkahwinan Islam itu mencerminkan keadaan yang berlaku di seluruh Singapura, dengan pendaftaran perkahwinan di sini kian merosot.
Penurunan bagi jumlah perkahwinan sivil yang didaftar di bawah Piagam Wanita turut menyumbang kepada perangkaan tersebut.
Hampir semua kumpulan usia dalam kalangan perkahwinan sivil mencatatkan penurunan pada 2024 berbanding 2023, dengan kemerosotan lebih ketara dalam kalangan pengantin lelaki dan wanita berusia antara 25 dengan 34 tahun.
Bilangan perkahwinan sivil yang melibatkan pengantin lelaki berusia 25 hingga 29 tahun merosot sebanyak 758, dari 6,458 pada 2023 kepada 5,700 pada 2024.
Manakala, bagi golongan yang berusia 30 hingga 34 tahun, bilangannya merosot sebanyak 583, dari 8,498 pada 2023 kepada 7,915 pada 2024.
Bagi pengantin perempuan yang mendaftar perkahwinan sivil pula, penurunan ketara dicatat dalam kalangan mereka yang berusia dari 25 hingga 29 tahun, dengan bilangannya turun sebanyak 988 perkahwinan, daripada 9,181 pada 2023 kepada 8,193 pada 2024.
Sementara itu, jumlah perkahwinan sivil dalam kalangan mereka yang berusia antara 30 dengan 34 tahun merosot sebanyak 506 perkahwinan, dari 7,526 pada 2023 kepada 7,020 pada 2024.
Encik Masagos berkata: “Keputusan di sekitar perkahwinan (mendirikan rumah tangga) amat peribadi, tetapi kita boleh lakukan lebih lagi bagi meyakinkan pasangan jika mereka ingin memulakan keluarga.”
Dalam pada itu, kemajuan ketara dilihat pada keutuhan perkahwinan pasangan Islam, dengan kemerosotan paling ketara pada kadar perceraian, mengikut perangkaan dari 2003 hingga 2013.
Jika sekitar 25 peratus pasangan Islam yang bernikah pada 2005 bercerai sebelum ulang tahun perkahwinan ke-10 mereka, peratusannya turun pada 18.2 peratus bagi pasangan yang bernikah pada 2013.
Ini menyusuli pelbagai inisiatif yang diusahakan masyarakat Melayu/Islam dan pemerintah seperti kursus persiapan perkahwinan dan program khusus bagi pasangan suami isteri pada fasa rumah tangga berbeza.
“Meskipun kadar perceraian pasangan Islam kekal lebih tinggi berbanding pasangan perkahwinan sivil, merentasi semua kohort perkahwinan, jurang antara kededua kadar itu telah mengecil dengan ketara bagi kohort perkahwinan lebih terkini,” tambah MSF pula.
Ini menunjukkan perkahwinan Islam semakin stabil dari tahun ke tahun, dan jurang perbezaan kadar perceraian antara perkahwinan Islam dan sivil kini tidak lagi sebesar dahulu.
Encik Masagos turut mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) baru antara MSF dan CapitaLand pada 31 Mei lalu.
MOU tersebut bertujuan memperkenalkan inisiatif mesra keluarga kepada pekerja CapitaLand dan di pusat beli-belah yang di bawah pengurusan mereka. Pengunjung yang hadir boleh menyertai pelbagai aktiviti keluarga di situ.
Merumuskan Laporan Trend Keluarga 2025 itu, Encik Masagos berkata: “Saya rasa terdorong kerana laporan ini menunjukkan bahawa Singapura terus menjadi tempat yang baik untuk membangun keluarga. Keluarga kuat dan tabah, ibu bapa disokong dalam membesarkan anak, dan penduduk Singapura mendakap suasana masyarakat yang mesra keluarga,
“Usaha kolektif kita telah menyatukan kita sejauh ini, dan kita mesti terus membangun usaha baik ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg