Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bishan East kejiranan terbaru dapat kemudahan awam pungut sampah

May 11, 2025 | 4:19 PM
CleanPod yang dilancarkan pada 11 Mei akan membantu penduduk memupuk inisiatif membersihkan sampah dalam masyarakat dengan menyediakan peralatan seperti penyepit dan baldi.
CleanPod yang dilancarkan pada 11 Mei akan membantu penduduk memupuk inisiatif membersihkan sampah dalam masyarakat dengan menyediakan peralatan seperti penyepit dan baldi. - Foto ST

Lebih banyak kemudahan pungut sampah akan diperkenalkan di serata negara bagi memupuk tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan tempat awam, kata Majlis Kebersihan Awam (PHC).

Dengan itu, kawasan Bishan merupakan bandar terbaru yang menerima kemudahan CleanPod baru-baru ini.

Terletak bersebelahan kawasan perumahan Bishan Street 13 dan sepanjang penghujung taman, CleanPod yang dilancarkan pada 11 Mei akan membantu penduduk ambil inisiatif membersihkan sampah di kawasan mereka dengan menyediakan peralatan seperti penyepit dan baldi.

Pelancaran ini menandakan penutup bagi kempen Jaga Kebersihan Singapura (KSC) 2025 yang berlangsung selama sebulan, dengan lebih 13,000 peserta mengambil bahagian dalam sekitar 250 aktiviti pembersihan di kawasan perumahan, taman dan ruang masyarakat.

Pertambahan CleanPod ini – di Bishan Cresta adalah yang ke-23 – merupakan sebahagian daripada inisiatif CleanHood yang dilancarkan pada April.

Ia bertujuan memperdalam tanggungjawab bersama terhadap kebersihan awam dengan membekalkan sumber dan kemudahan kepada anggota masyarakat.

Selepas acara pelancaran itu, lebih 50 penduduk dan sukarelawan, bersama Anggota Parlimen (AP) baru GRC Bishan-Toa Payoh, Cik Elysa Chen, turut serta dalam aktiviti memungut sampah di sekitar kawasan itu menggunakan peralatan CleanPod.

Salah seorang daripada mereka ialah pengerusi Rangkaian Belia Bishan, Encik Jonathan Ng, 28 tahun, yang telah menjadi sukarelawan di Bishan selama 10 tahun.

Beliau berkata inisiatif CleanPod memudahkan logistik dan meringankan tugas sukarelawan, lapor The Straits Times.

Beliau menambah bahawa pondok itu juga menjadi peringatan kepada semua untuk menjaga kebersihan taman.

Menurutnya, walaupun kawasan perumahan itu kelihatan bersih, masih terdapat sampah seperti pembungkus makanan, risalah, beg plastik dan cawan di kawasan kediaman dan berhampiran penghubung taman.

Pengerusi PHC, Encik Andrew Khng, berkata semasa pelancaran tersebut bahawa menjaga kebersihan Singapura adalah misi bersama dan sesuatu yang mencerminkan nilai seperti tanggungjawab, hormat, dan pemilikan bersama terhadap kediaman sendiri.

CleanPod yang pertama dilancarkan pada Julai 2019, dan pada awalnya diletakkan di taman dan pantai, telah diperluaskan ke kawasan kejiranan perumahan.

Kini, terdapat CleanPod di kawasan perumahan Beach Road, Pek Kio dan Yuhua, Taman Pulau Coney dan Gardens by the Bay.

Menurut Encik Khng, PHC sedang mencari lokasi sesuai untuk menambah CleanPod, supaya penduduk dan organisasi mudah menyertai aktiviti pembersihan atau merancang acara masyarakat.

Dalam pada itu, Cik Chen, yang baru dilantik pada 3 Mei, memberitahu pemberita di acara tersebut bahawa beliau telah melahirkan rasa bangganya terhadap pelajar Sekolah Ai Tong atas semangat kemasyarakatan mereka.

Beliau, yang juga merupakan pengarah eksekutif sebuah badan amal CampusImpact yang membantu golongan belia kurang bernasib baik, juga berkata beliau tersentuh dengan sambutan penduduk sejak pilihan raya umum tahun ini.

Kini, antara keutamaan beliau termasuk memperkenalkan inisiatif kesihatan mental untuk masyarakat.

“Terdapat minat yang mendalam daripada golongan muda kita yang ingin tampil membantu, maka ini merupakan proses dari masyarakat.

“Justeru akan ada proses konsultasi, bekerjasama dengan akar umbi, dan melihat apa sebenarnya pelan tersebut,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg