Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program ‘CleanHood’ galak pelajar, penduduk pelihara kebersihan ruang awam

Apr 13, 2025 | 8:56 PM
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (dua dari kiri), menyertai pengerusi Majlis Kebersihan Awam (PHC), Encik Andrew Khng (kiri) dan pengarah eksekutif PHC, Dr Christina Liew (dua dari kanan), dalam kegiatan ‘plogging’ (berjoging sambil mengutip sampah) di sepanjang laluan Sentosa pada 13 April.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (dua dari kiri), menyertai pengerusi Majlis Kebersihan Awam (PHC), Encik Andrew Khng (kiri) dan pengarah eksekutif PHC, Dr Christina Liew (dua dari kanan), dalam kegiatan ‘plogging’ (berjoging sambil mengutip sampah) di sepanjang laluan Sentosa pada 13 April. - Foto PHC

Satu program oleh Majlis Kebersihan Awam (PHC) akan bantu memperkasa pelajar dan penduduk dengan menyediakan sumber yang sesuai untuk mereka menjaga kebersihan ruang bersama secara aktif.

Dinamakan ‘CleanHood’, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata daya usaha tersebut akan melengkapi usaha Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk memperkukuh kepimpinan masyarakat dalam menjaga kebersihan ruang awam.

Semasa berucap di pelancaran kempen tahunan, Jaga Kebersihan Singapura (KSC) 2025, pada 13 April di Sky Garden Sentosa @ iFly, Cik Fu, berkata:

“Daya usaha KSC menekankan peranan individu serta masyarakat secara menyeluruh.

“Melalui bengkel di bawah inisiatif ini, setiap individu akan dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran untuk memacu inisiatif alam sekitar dalam masyarakat mereka.”

Bagi pihak sekolah, inisiatif ‘CleanHood’ akan menyediakan pelbagai sumber yang boleh digunakan oleh pendidik untuk memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar.

Antaranya termasuk menggalakkan pelajar menjadi duta alam sekitar menerusi kegiatan praktikal seperti mereka bahan publisiti dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan semasa perhimpunan sekolah.

Di peringkat masyarakat pula, ‘CleanHood’ akan menumpukan kepada pembangunan juara komuniti.

Melalui bengkel pembangunan kapasiti, juara komuniti itu akan dibekalkan dengan ilmu serta kemahiran yang diperlukan bagi menerajui usaha kebersihan dan kelestarian di kawasan kejiranan mereka.

Seramai 13 rakan kongsi juga akan menerima Anugerah ‘CleanHood’ sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang mereka dalam memperjuangkan gerakan KSC.

Penerima anugerah termasuk pihak dari kawasan Bedok dan Zhenghua, yang telah melaksanakan inisiatif bagi menghimpunkan penduduk secara tetap.

Usaha itu dilakukan demi mengekalkan kebersihan kawasan kejiranan serta mengurangkan pembuangan barangan yang masih berguna.

Semasa acara tersebut, Cik Fu turut menekankan usaha menjaga kebersihan Singapura bukan sekadar memungut sampah atau memastikan jalan raya bebas daripada kekotoran.

Beliau turut menambah, kempen 2025 itu lebih bermakna kerana ia bertepatan dengan sambutan ulang tahun Singapura ke-60 atau SG60.

Ia mengukuhkan iltizam bersama untuk mengekalkan tahap kebersihan serta kesihatan awam yang tinggi demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, sihat dan selesa untuk didiami.

“Ia melibatkan pemupukan rasa tanggungjawab peribadi.

“Inilah asas untuk membina sebuah tanah air yang bersih, selamat, sihat dan selesa – yang boleh dibanggakan oleh semua penduduk Singapura,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg