Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura perlu bina ekosistem bagi umat Islam hidup bermakna

Faishal: Jati diri agama, sokongan utuh keluarga, sumbangan aktif kepada masyarakat jadi sandaran lakar visi bersama
Jul 21, 2025 | 9:06 PM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Singapura, masyarakat Islam. Muis
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (duduk, dua dari kanan) menghadiri sesi dialog bersama hampir 50 pemimpin pelajar daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara di Seminar Kepimpinan Pelajar Pengajian Tinggi Islam, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 19 Julai. - Foto FACEBOOK ASSOC PROF MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Singapura perlu membina ekosistem di mana umat Islam boleh hidup dengan bermakna, berasaskan identiti agama, disokong institusi keluarga utuh dan mampu menyumbang kepada masyarakat lebih luas, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu catatan Facebook pada 21 Julai.

Pengamatan ini awalnya disampaikan kepada hampir 50 pemimpin pelajar daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara di Seminar Kepimpinan Pelajar Pengajian Tinggi Islam, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), di pejabat Muis, pada 19 Julai.

Di dalam sesi tersebut, belia yang hadir telah mengutarakan soalan seperti cara mengimbangi antara pegangan agama dan masyarakat Singapura yang berbilang kaum serta budaya, bagaimana mereka boleh bersiap sedia menghadapi masa depan serta keutamaan Dr Faishal dalam menggalas jawatan barunya selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Berkongsi tiga keutamaan yang dekat di hatinya, Dr Faishal berkata:

“Sebuah masyarakat yang berteraskan kesyukuran bukan sahaja mengukuhkan iman, malah lebih berupaya menunjukkan rasa prihatin dan belas ihsan terhadap orang lain.

“Kedua, kita perlu membina satu ekosistem yang membolehkan umat Islam hidup dengan penuh makna, berteraskan jati diri keagamaan, disokong institusi keluarga yang kukuh, dan boleh menyumbang dengan aktif kepada masyarakat umum.

“Akhir sekali, kita mesti menggembleng tenaga masyarakat dan membentuk visi bersama.”

Beliau menambah golongan belia prihatin terhadap isu pekerjaan dan pembangunan diri mereka.

Justeru, adalah penting untuk bekerja rapat dan menyediakan sokongan supaya golongan belia dapat mencapai kemajuan.

Bagi memacu usaha tersebut, Dr Faishal telah mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam semasa berucap di Pesta Belia M Kuasa Tiga (M³) 2025 di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 12 Julai.

Pasukan petugas baru itu akan menyatukan belia Melayu/Islam daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar, karyawan bekerja, artis dan asatizah.

Ia akan menyumbang kepada kemajuan dan membangkitkan semangat belia di peringkat tempatan, tambah Dr Faishal.

“Saya mengalu-alukan penyertaan aktif mereka dalam pasukan bertindak ini.

“Walaupun cabaran akan sentiasa wujud, saya menggalakkan mereka untuk merebut peluang, mengejar aspirasi dan memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan yang mereka impikan untuk diri mereka, keluarga dan juga untuk Singapura,” kata Dr Faishal.

“Walaupun cabaran akan sentiasa wujud, saya menggalakkan mereka untuk merebut peluang, mengejar aspirasi dan memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan yang mereka impikan untuk diri mereka, keluarga dan juga untuk Singapura.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg